Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


ISA, juga ada manfaatnya

Fathi Aris Omar

Saya berasa sungguh sakit hati setiap kali membaca surat-surat kepada editor malaysiakini, khususnya tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak minggu lalu. Pembaca seolah-olahnya hanya memandang akta ini dari sisi buruk, tanpa mengkaji kesan positif.

Cara seperti ini tidak adil, dan tidak objektif. Sesuatu undang-undang diluluskan di Dewan Rakyat digubal untuk manfaat orang ramai dan negara, bukan semata-mata untuk menjaga Perdana Menteri atau Umno seperti didakwa oleh pembangkang.

Pembangkang memang akan memburuk-burukkan ISA kerana aktivis dan pengikut mereka yang sering menganjurkan keganasan, termasuk ketika berceramah, akan berasa terhalang dengan wujudnya akta ini. Tetapi bagaimana kehidupan rakyat biasa, nelayan, pesawah dan penoreh getah?

Bukankah mereka juga berhak hidup dengan aman damai, sekurang-kurangnya dapat kais pagi makan pagi untuk menyara anak-anak ke sekolah. Pembaca malaysiakini golongan terpelajar yang mempunyai sumber kewangan yang cukup - sebab itu mereka tidak tersentuh oleh kesengsaraan kaum tertindas ini.

Sepatutnya sebagai makhluk yang rasional, kita juga harus melihat sisi-sisi kebaikan ISA. Dengan ada akta ini, akan timbul kebimbangan kepada banyak kelompok masyarakat, daripada golongan siswa hingga tukang kebun sekolah. Pengikut pembangkang yang melampau misalnya akan sentiasa was-was untuk bertindak di luar batasan undang-undang. Dengan itu akan terselamatlah negara ini daripada gejala puak-puak pelampau ini, misalnya penyokong reformasi. Setiap kali mereka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur, mereka mengganggu lalu lintas dan penjaja-penjaja di tepi jalan. Tidakkah kegiatan ini berbahaya kepada keselamatan nyawa pengguna jalan raya dan gedung perusahaan penjaja-penjaja ini?

Tentunya! Oleh itu langkah kerajaan untuk menggunakan ISA ke atas puak reformasi masih mempunyai kesan yang positif ke arah mengurangkan kemalangan di ibukota, misalnya akibat perlumbaan haram, dan meningkatkan taraf penjaja-penjaja Bumiputera di ibukota – yang semakin dihimpit ekonomi kaum asing.

Minggu lalu polis telah mendedahkan satu pakatan sulit puak reformasi untuk menggunakan pelancar bom, bahan letupan, bom petrol dan bebola penggalas bagi menyerang anggota-anggota polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai berkata laporan risikan polis (yakni pasukan SB atau Cawangan Khas) mendapati puak reformasi merancang mengumpulkan 50,000 orang bagi menyambut apa yang dinamakan ‘Black 14.’

Bayangkan jika 50,000 orang ini masing-masing membawa pelancar bom, bahan letupan, bom petrol dan bebola penggalas ketika menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sabtu lalu, maka akan wujud suasana tegang yang tidak dapat kita sendiri bayangkan lagi di kawasan itu.

Mujurlah dengan adanya ISA, polis boleh bertindak awal dan pantas dengan menahan tujuh aktivis Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi. Maka, suasana yang tidak dapat dibayangkan itu dengan sendiri dapat dielakkan dan tidak berlaku sebarang pertumpahan darah seperti yang kita cuba elakkan.

Malah dengan kebijaksanaan Norian dan tindakan pantas polis itu, beberapa ratus penyokong reformasi yang berkumpul di bawah bangunan Suhakam itu tidak berani membawa pelancar bom, bahan letupan, bom petrol dan bebola penggalas seperti yang mereka rancangkan awalnya.

Walaupun polis tidak mengadakan sebarang sekatan jalan raya atau memeriksa kenderaan di tempat-tempat strategik di ibukota, tetapi oleh kerana mereka sedar bahawa ISA sedang menunggu mereka, maka semua senjata berbahaya itu ditinggalkan sahaja di rumah-rumah mereka.

Kerana itu, saya fikir pengkritik ISA sebenarnya tidak seimbang dan tidak objektif sama sekali. Mereka semuanya terpengaruh dengan dakyah pembangkang dan idea-idea hak asasi Barat yang diketuai oleh kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan Russia.

Sayang, mereka terpelajar tetapi berfikiran sempit dan kolot serta antipembangunan tetapi kononnya cuba maju dalam era siber.

Kerajaan seharusnya membanyakkan program kesedaran sivik, tetapi kali ini bukan di kampung-kampung, tetapi di kalangan masyakat bandar dan golongan profesional yang sudah semakin hilang jati diri dan menganut idea-idea asing.

.....................................................................................
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai pengarang berita malaysiakini.com


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : [email protected]