Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Persiapan Meng'update' diri untuk perjuangan siber

Alhamdulillah, kembalilah saya ke tanah air tercinta semalam dengan keadaan sempurna dan sihat wal’afiat.

Oleh kerana pertukaran waktu yang belum sempat saya sesuaikan, maka sukar bagi saya untuk tidur bila tiba masanya. Jadi terpakulah saya di depan komputer dalam usaha untuk meng”update’kan diri saya dengan perkembangan yang telah berlaku selama lebih tiga minggu.

Semasa di luar negara, saya hanya sempat tiga kali sahaja menyentuh komputer untuk melayari internet. Itu pun hanya untuk jangkamasa yang amat terbatas.

Hampir kesemua negara yang saya lawati mempunyai infrastruktur telekomunikasi dan internet yang amat terbatas. Bagi kita yang mana telefon bimbit sentiasa dalam genggaman dan dapat membuat panggilan hampir dari mana saja mungkin tidak dapat bayangkan bagaimana sukarnya untuk bertelekomunikasi tanpanya.

Banyak pengalaman yang saya perolehi dan akan saya ceritakan, Insha Allah. Antaranya, terdapat di sebuah negara di mana adalah menjadi kesalahan jika seseorang kakitangan kerajaan solat di pejabatnya hasil dari pemerintahan sekular.

Ada pula suatu negara di mana tiada imam masjid yang berani semasa membaca doa’, mendoa’kan kemenangan untuk pejuang-pejuang Chechen akibat dari hubungan akrab pemerintahan negara tersebut dengan pentadbiran Rusia.

Umumnya, di setiap tempat yang dilawati, bila disebut bahawa saya ini dari Malaysia, mereka akan bertanya perihal Brother Anwar Ibrahim. Sempat juga semasa di sebuah masjid yang diasaskan semenjak pemerintahan kerajaan Umayyah, imam besar masjid tersebut, yang sudah tua tetapi mempunyai daya ingatan yang amat kuat hal-hal Malaysia, mendoa’kan bersama rombongan kami untuk DSAI.

Dalam perjalan pulang, saya duduk bersebelahan dengan seorang bekas pegawai kanan Polis yang sudah bersara. Beliau yang seingat saya pernah menjawat pangkat Senior Assistant Commissioner (SAC I), memang mengenali bapa saya, walaupun bapa saya jauh lebih senior umurnya. Banyak perkara yang pesara SAC I ini ceritakan sepanjang perjalanan kami di kerusi empuk kelas perniagaan.

Cerita yang diluahkan oleh pesara tadi kebanyakannya sekitar kehampaan beliau semasa menjadi pegawai kanan polis tetapi tidak mampu membendung sesetengah jenayah yang dilakukan kerana ada pihak-pihak tertentu di dalam PDRM/atasan yang membela para “penjenayah” dan aktiviti mereka. Antara yang ketara ialah berleluasanya pelacuran. Sesetengah aktiviti kongsi gelap memang dibiarkan kerana didokong oleh pihak tertentu yang sukar untuk diambil tindakan. Malah banyak lagi yang dicerita.

Jika diizinkan Allah Azzawajalla, akan saya terus menulis pelbagai lagi. Cukuplah untuk ketika ini.

Sekian
Ibrahim Baba
9 Februari 2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : [email protected]