Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

OPS STATIK - Sejauhmana keberkesanannya ?

Ops Statik 2000 baru berakhir. Tulisan ini tidak bertujuan memperkecilkan usaha mana-mana badan (termasuk pihak Polis) dalam mengurangkan kemalangan di jalanraya. Segala usaha bagi menjadikan jalanraya kita di seluruh negara selamat amat dialu-alukan.

Tetapi, dari statistik yang dikeluarkan setiap hari, setiap kali diadakan Ops Statik, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba menyalahgunakannya serta mengabui mata dan fikiran rakyat untuk kepentingan mereka. Ini termasuklah beberapa iklan yang telah disiarkan oleh syarikat konsesi lebuhraya.

Sebagai contoh, kita kerap dengar bahawa oleh kerana bilangan kemalangan di lebuhraya adalah lebih rendah dari jalan-jalan biasa, maka lebuhraya adalah lebih selamat. Ini adalah suatu kesimpulan yang salah dan penyelewengan terhadap statistik kemalangan. Dan TV3 dalam berita mereka selalu menekankan bilangan kemalangan yang lebih tinggi di jalan biasa.

Jika benarlah statistik tersebut merumuskan demikian, maka bukankah kerajaan patut berasa bertanggungjawab untuk mengadakan jalanraya yang lebih selamat. Tidak timbul soalnya untuk perlu atau tidak. Jangan dikempen lagi. Buat saja.

Tetapi IB yakin kesimpulan tersebut sememang boleh dipertikaikan. Inilah yang cuba IB kemukakan beberapa persoalan demi memperbetulkan beberapa tanggapan yang salah.

Saya tidak mempunyai data yang tepat berhubung jumlah jarak jalan-jalan di Malaysia. Tetapi setakat yang pernah saya baca beberapa tahun lepas, saya menganggarkan terdapat sepanjang lebih 15,000 km jalan yang klasifikasikan sebagai jalan perseketuan (tidak termasuk bertol) dan lebih 50,000 kilometer lagi jalan-jalan negeri.

Manakala jumlah jarak lebuhraya saya anggarkan lebih kurang dari 2,000 km. Atau saya lebihkan menjadi 3,000 km. (Jarak dari sempadan Siam ke Singapura dianggarkan dalam 800km sahaja).

Berdasarkan kepada anggaran jarak jalanraya di negara kita di atas, jumlah jarak semua jalan-jalan tidak termasuk lebuhraya adalah 65,000 km dan jumlah jarak lebuhraya ialah 3,000 km. Maka, jumlah jarak lebuhraya berbanding dengan jalan-jalan perseketuan dan biasa/negeri ialah hanya sekadar 4.6 peratus (ambillah 5.0%) sahaja.

Bolehkah saya rumuskan bahawa jika jumlah kemalangan dilebuhraya melebihi 5.0% dari jumlah kemalangan di jalan-jalan lain, MAKA LEBUHRAYA MEMPUNYAI KADAR KEMALANGAN PER KILOMETER YANG LEBIH TINGGI? Lihat statistik Ops Statik: pada 8 Feb, Jumlah kemalangan 720, di lebuhraya 73. Maka, sebanyak 10% dari kemalangan berlaku di lebuhraya. Dan carilah lain-lain hari lagi – peratusan kemalangan di lebuhraya memang melebihi 4.6% dari jumlah kemalangan.

Berdasarkan fakta yang sama, jika 73 kemalangan berlaku di 3000 km lebuhraya, maka setiap 41 km terdapat satu kemalangan. Manakala hanya 647 kemalangan berlaku di jalan-jalan lain. Iaitu setiap 100km terdapat satu kemalangan. Jalan yang mana lebih merbahaya?

Penelitian dari aspek lain.

Jika saya tidak mengambil kira jumlah jarak kilometer jalan-jalan di sesebuah negeri, bolehkah saya rumuskan bahawa sesebuah negeri yang mempunyai bilangan kemalangan yang lebih tinggi adalah kurang selamat untuk pengguna jalan manakala sesetengah negeri pula adalah negeri selamat?

Adakah boleh saya rumuskan bahawa jalanraya di Selangor amat bahaya bagi pengguna jalanraya manakala Perlis adalah sebuah negeri yang amat selamat? Bukankah di Selangorlah yang mempunyai jumlah jarak lebuhraya yang paling tinggi? Bukankah di Perlis pula adalah satu-satunya negeri yang tidak mempunyai jaringan lebuhraya melintasi negeri tersebut?

Jadi negeri yang mempunyai paling banyak lebuhraya adalah lebih merbahaya dari negeri yang langsung tak ada lebuh raya? Macam tak percaya je!

Bagaimana pula hendak saya rumuskan bila pada 8 Feb, di Perak terdapat 110 kemalangan dan tiada kematian manakala di Kelantan pula hanya terdapat 20 kemalangan tetapi mempunyai jumlah kematian sebanyak 3? Negeri manakah yang lebih selamat?

Sebenarnya statistik adalah suatu kumpulan angka yang boleh digunakan menurut citarasa mereka yang mengulasnya. Bagi mereka yang belajar pengkhususan perangkaan (statistik) di peringkat IPT, sebuah buku lama “How To Lie With Statistics” (Bagaimana Menipu Dengan Statistik) sememangnya menjadi rujukan utama. Dari tajuk buku tersebut sudah jelas bahawa sememangnya angka-angka statistik hanyalah bermakna bila pengulas atau pembaca meneliti apa yang terselindung di sebalik rumusan yang cuba disuapkan kepada kita.

Lain-lain persoalan

Saya ingin memetik Setiausaha Parlimen Donald Lim yang menyatakan bahawa purata harian di musim perayaan untuk 1998 dan 1999 ialah 15.7 kematian sehari. Manakala beliau menyatakan bahawa semasa perayaan Krismas dan Raya Aidil Fitri baru-baru ini, terdapat hanya 13.6 kematian sehari. Statistik tersebut boleh dipertikaikan kerana, ianya mengguna jumlah kemalangan atau kematian dan dibahagikan dengan jumlah hari. Lazimnya tempuh 14 hari (dua minggu digunakan), tetapi statistik (Krimas/Raya baru-baru ini) 13.6 kematian sehari tadi adalah untuk tempuh 23 hari lebih dari 3 minggu!).

Di awal-awal perlantikannya sebagai Gabenor bank Negara, TS Ali pernah mengeluarkan statistik dengan merujuk kepada penurunan jumlah hutang tak berbayar (NPL). Perkara yang tidak dinyatakan oleh beliau ialah tempoh yang dikategorikan sebagi hutang tak berbayar dilanjutkan dari 3 bulan ke 6 bulan. Itu satu penipuan! (rujuk: Economic Disinformation Campaign).

Kalau nak dikira dari jumlah kenderaan di jalanraya, kita seharusnya bandingkan dengan negara-negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Apakah kadar kemalangan mereka lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah kenderaan? Saya tidak mempunyai statistik itu tetapi yakin kadar negara mereka jauh lebih tinggi.

Pernah beberapa tahun lalu, negara kita diistiharkan sebagai di antara tiga negara yang mempunyai kadar kemalangan yang tertinggi di dunia. Tidak dapat saya pasti bagaimana rumusan tersebut dibuat dan apakah dasar atau statistik yang digunakan.

Menggalakkan berfikiran kritis.

Sekian
Ibrahim Baba
16 Februari 2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : [email protected]