Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

UMNO semakin parah akibat tindakan Ali Rustam

Dalam saat sokongan terhadap parti yang kian pupus, seorang pengampu Mahathir telah bertindak di luar norma susila seorang Ketua Menteri. Sokongan orang-orang Melayu (bagi yang masih ada) semakin pudar dan semakin parah akibat Ketua Menteri yang tidak professional menghukum para doktor, kontraktor, institusi bank (dan terbaru para peguam pula). Mereka ini hanyalah sekadar mengamalkan kebebasan memilih parti yang telah diperakui oleh perlembangaan negara kita.

Ali Rustam telah mencampur adukkan kebebasan rakyat memilih parti dengan pegangan politik sempitnya sendiri. Dalam pada kaum-kaum UMNO ingin memisahkan Islam dari politik sempit, pemimpin UMNO ini pula menyekat kebebasan berparti seseorang rakyat Malaysia, sebuah negara yang merdeka.

Bank Islam dan Bank Bumi, yang telah dihukum, adalah dua institusi yang telah dikaitkan sebagai institusi Melayu. Bank Islam kalau tidak silap saya mempunyai 100% pekerja Islam (kalau adapun yang bukan Islam dan bukan Melayu mungkin terlalu kecil bilangannya sebab saya belum bertemu kakitangan bukan Melayu/Islam sejak berurusan dengan Bank 12 tahun lalu).

Bank Bumi pun mempunyai majoriti pekerjanya Melayu dan beragama Islam. Walaupun ada juga pekerja bukan Melayu tetapi bilangannya tidaklah ramai.

Ketika sokongan dari bangsa Melayu terhadap UMNO amat minimal, tindakan UMNO untuk menyisih dan menghukum institusi Melayu sedemikian rupa akan menjauhkan lagi sokongan yang masih ada di celah-celah sokongan padu dari Melayu lain. Bayangkan kesan dari segala tindakan negatif tersebut kepada mereka yang mencari makan di intitusi-institusi itu.

Sudah PASti kontraktor-kontraktor, para doktor dan peguam mempunyai rakan-rakan dan keluarga mereka yang akan turut bersimpati. Ini akan menambahkan lagi derita yang bakal dialami oleh UMNO.

Yang sedihnya, institusi bukan Melayu yang akan mendapat keuntungan dari tindakan pemimpin Melayu yang ada dalam UMNO (ingat dalam UMNO terdapat makin ramai yang bukan Melayu kerana UMNO telah membuka keahliannya kepada bukan Melayu dan bukan Islam!!!).

Maka yang akan untung mungkin Hong Leong Bank, Multipurpose Bank dan beberapa lagi yang lain. Namun jika pekerja HLB dan MPB memberi sokongan kepada DAP atau KeADILan (atau mungkin juga PAS), tidak mungkin berani pemimpin-pemimpin UMNO menyakiti hati kaum Cina.

Yang jelas, pemimpin UMNO hanya berani menghukum orang-orang Melayu yang tidak lagi mahu mengundi mereka. Dan tidak ke atas orang-orang Cina atau India yang tidak menyokong MCA atau MIC. Ini adalah kerana hanya kepada kaum-kaum inilah para pemimpin UMNO dapat menagih harapan untuk mengundi calon UMNO.

Sekian
Ibrahim Baba
20 Mac 2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : [email protected]