Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Banner Hidup Melayu Dikoyak!

Petang tadi ketika IB pulang dari tempat kerja melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Kuching, IB ternampak beberapa banner (kain rentang) "Hidup Melayu Hidup UMNO" yang dibentang di beberapa tempat strategik di sekitar KL didapati telah dikoyakkan.

Ketika itu, IB berbincang sesama rakan sekerja yang sama-sama kami "car-pool", menyatakan ada dua kemungkinan kain-kain rentang itu dikoyakkan.

Pertama, ianya dikoyakkan oleh orang yang benar-benar marahkan UMNO. Mereka ini samada orang dalam UMNO sendiri yang sangat marah dengan UMNO atau mereka yang bekas ahli UMNO yang amat marah dengan keadaan kepimpinan parti sekarang. Tidak mungkin mereka ini dari kalangan PAS, kerana orang-orang PAS tahu bahawa pengaruh UMNO sudah berkurangan dan tidak perlu lagi bencikan UMNO malah mereka kesiankan ahli-ahli UMNO.

Kemungkinan kedua ialah, ianya sebahagian dari agenda propoganda yang akan dilaksanakan untuk dua kemungkinan. Kain-kain rentang tersebut sebenarnya dikoyakkan oleh gangster-gangster yang diupah oleh UMNO untuk kemungkinan berikut.

Kemungkinan pertama ialah strategis UMNO sedang merancangkan suatu kempen untuk mewawarkan serta mencanangkan suasana bahawa bangsa Melayu dan UMNO kini sudah dikoyak-koyakkan. Maka dalam ucapan-ucapan nanti para pemimpin parti akan menaikkan dan membakarkan semangat para perwakilan dan orang-orang Melayu amnya supaya bersatu bangsa Melayu kita sedang dikoyak-koyakkan. Suasana adalah lebih berbentuk kebencian terhadap orang-orang maka kita terancam dan harus bersatu. Dan seterusnya.

Kemungkinan kedua ialah strategis UMNO sengaja mengupah ganster-gangster tersebut supaya dapat digambarkan bahawa musuh-musuh parti adalah jahat, pengkhianat bangsa, perosak harta awam dan sebagainya. Dengan kerjasama media (TV3/4 dll) mereka akan menyiarkan fitnah seolah-olah ianya dilakukan oleh musuh bangsa dan musuh parti.

Malam tadi, IB menerima panggilan dari mertua IB dari kampung yang ingin mendapat kepastian berhubung berita yang disiarkan oleh TV bahawa terdapat kain-kain rentang UMNO yang dikoyak-koyak.

Malangnya IB tidak menonton sangat berita semenjak kempen boikot media. Jadi IB tidak dapat ulas apa yang disebut dalam berita tersebut. Selepas selesai makan malam, IB bergegas keluar memandu bersama jiran sebelah rumah untuk mengambil gambar kain-kain rentang yang diberitakan telah dikoyakkan.

IB siarkan dua keping gambar yang sempat IB ambil. (Gambar 1 - di jejantas hadapan Perpustakaan Negara, dan Gambar 2 - di jejantas antara Hospital KL dengan Panggung Negara - kedua-duanya di Jalan Tun Razak). Cuba saudara sekelian lihat sendiri dan fikirkan - buatlah analisa dan rumusan sendiri - jangan terima bulat-bulat fitnah terancang.

IB dapati terdapat suatu "pattern" cara kain-kain tersebut dikoyakkan. Tidak satupun kain-kain tersebut dikoyakkan pada perkataan "Hidup". Ianya hanya dikoyakkan pada perkataan Melayu (mengapa begitu?).

Cuba perhati dengan lebih lagi. Garisan yang dikoyakkan AMATLAH konsisten. Satu garisan (torehan) mulai dari huruf "M" hingga huruf "U". Garisannya betul-betul di tengah-tengah perkataan "Melayu" Perhatikan garisan itu pada huruf "E" dan "A". Sungguh konsisten untuk kedua-kedua gambar. Dan begitulah keadaannya setakat kain-kain rentang yang IB jumpa.

IB turut menunggu sehingga jam 12 malam untuk merakam berita Inggeris TV3/4. Sungguh menakjubkan. Analisa di atas amat konsisten dengan kain-kain rentang yang telah dikoyakkan yang disiarkan dalam Fitnah TV3/4 adalah sama. (lihat Gambar 3)

Hanya Allah AzzawaJalla sahaja yang mengetahui niat mereka yang mengoyakkan kain-kain tersebut.

Sekian.
Ibrahim Baba
10 Mei 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : [email protected]