Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Kesetiaan PDRM terbukti hanya untuk menjaga Mahathir

Kita sentiasa menyatakan bahawa sememangnya Polis cepat bertindak terhadap para penyokong DSAI, para Reformis, para penegak keadilan malah semua mereka yang meyokong parti-parti dalam Barisan Alternatif dan sesesiapa yang menentang UMNO/BN.

Kita katakan demikian kerana kita lihat dengan mata kasar kita sendiri semasa demonstrasi-demonstrasi hari Sabtu yang lalu. Kita lihat sendiri layanan Polis (baik yang berpakaian biru gelap dan bertopi merah mahupun yang berbaju hijau atau pun yang berpakaian awam) terhadap mereka yang berkumpul demi menyatakan haq dan kebenaran.

Kita baca afidavit-afidavit penyeksaan yang dilakukan oleh Polis. Dan yang anehnya tiada satu afidavit ini dinafikan oleh pihak Polis. Kita turut membaca keganasan yang dilakukan terhadap ratusan tahanan OKT.

Kita sendiri tonton melalui Video Tape dan VCD yang banyak dijual suatu ketika dulu. VCD-VCD yang dirakam oleh jurukamera bebas amatur dan profesional kesemuanya menunjuk detik-detik dan suasana keganasan dan kebiadapan Polis. Segala rakaman-rakaman tersebut akan menjadi bahan bukti di suatu hari nanti dan menjadi pengajaran untuk generasi berikut. (Perlu ada pihak yang menyimpan semua rakaman tersebut dengan baik untuk dijadikan bahan bukti tribunal penyiasatan terhadap keganasan Polis di suatu hari nanti – Insha Allah).

Bahawa apa yang disebut di atas hanyalah sekadar apa yang kita katakan bahawa Polis cepat dan ganas dalam bertindak terhadap kami yang yang tidak bersenjata dan tidak melakukan sebarang kekacauan.

Namun, apa yang dilaporkan dalam kebanyakan akhbar beberapa hari ini dan telah pun diulaskan oleh beberapa pihak menunjukkan Polis LAMBAT dalam bertindak terhadap mereka yang betul-betul melakukan kerosakan dan keganasan bersenjata. Contoh terbaik ialah apa yang berlaku di Melaka dalam sambutan kemerdekaan baru-baru ini. Keganasan yang dilakukan oleh ratusan remaja yang bersenjata telah banyak merosakkan harta persendirian dan harta awam. (TV3 terlupa nak rakam ke untuk disiarkan berkali-kali).

Pada malam itu, ramai yang telah menelefon Polis, kebanyakan pengadu menyatakan mereka langsung tidak melihat Polis bertindak pantas untuk menghantar anggota mereka. Ada pengadu yang menyatakan Polis langsung tidak kelihatan selepas mereka membuat panggilan kecemasan.

Malah ini telah menjadi kelaziman dan suatu imej yang telah melekat pada intitusi Polis. Itulah sebabnya tidak lama dulu bekas KPN Rahim Noor (BA) terpaksa melaungkan “CEPAT dan …” kepada moto Polis. Ini kerana sememangnya stigma “lambat” dan “tidak cekap” itu telah terpahat pada intitusi yang sudah bankrap maruahnya. Tetapi Polis LAMBAT bertindak terhadap aduan mata lebam DSAI!

Kenapakah Polis (sebenarnya Mahathir) telah membuat andaian bahawa sebelum peristiwa “Black 14” dulu, para reformis akan membawa molotov cocktail dan melakukan kekacauan walaupun terbukti ini tidak berlaku malah telah dinafikan berkali-kali oleh Ezam dan rakan-rakan beliau.

Bagaimana Polis begitu “cekap” dan “tahu” bahawa para penuntut keadilan akan melakukan “keganasan” tetapi di Melaka pada malam yang malang itu SB-SB Polis tidak “sangka” ratusan pemuda tersebut akan melakukan keganasan? Kenapa tiada sekatan jalanraya pada jalan-jalan yang menuju ke tempat sambutan? Kenapa tidak diperiksa pada mereka ini apakah senjata yang mereka bawa bersama? Bukankah Polis biasa membuat pemeriksaan senjata seperti ini hinggakan ahli jemaah yang hendak sembahyang pun diperiksa sepenuhnya (OCPD Bakri sendiri mengesahkan bahawa sembahyang jemaah pun kena ada permit!).

Atau apakah Polis hanya mempunyai kepentingan untuk menjaga apa yang perlu sahaja?

Sekian
Ibrahim Baba
4 September 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]