Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Tangguhkan Pembangunan di PutraJaya

“Malaysia Faces Excess Property” – begitulah satu tajuk dalam AWSJ hari ini. Memetik kata-kata Timbalan Menteri Kewangan, Chan Kong Choy, terdapat lebih RM28 billion nilai hartanah yang tidak terjual sehingga Dis 2000.

Menurut AWSJ lagi, yang paling ketara ialah “oversupply” dalam sektor ruang pejabat dan runcit. Ini bermakna terlalu banyak ruang pejabat yang tidak disewakan dan kosong. Malah di blok yang sama pejabat IB di salah sebuah Wisma “X” di KL pun terdapat banyak tingkat yang tidak disewa untuk sekian lama.

Melihat dengan kemegahan KLCC dan serba kecanggihan dan promosi yang dibuat ianya masih mempunyai banyak ruang kosong adalah suatu petunjuk yang jelas. Dan apabila keseluruhan blok Tower 1 dari Menara Petronas KLCC dimuatkan untuk pejabat-pejabat Petronas, maka beberapa bangunan-bangunan yang dulunya menempatkan pejabat-pejabat Petronas (contoh: Dayabumi, Berjaya KL Tower, Faber Towers, Empire Tower dll) terpaksa mencari penyewa baru. Dan ini berlaku ketika negara mengalami kegawatan 1998/99. Banyak dari mereka masih kosong.

Bertambah lagi pula bangunan menjadi kosong di KL apabila pejabat-pejabat kerajaan berpindah ke Putrajaya. Beberapa tingkat Wisma PKNS di Jalan Raja Laut ditinggal kosong apabila beberapa Bahagian dan Unit di bawah JPM berpindah lebih setahun lalu. Kini keseluruhan kompleks pejabat JPM sebelah Bank Negara kosong apabila kesemua pejabat-pejabat JPM berpindah dan yang terakhir Kementerian Dalam Negeri berpindah bulan lepas. Buat sementara, Kementerian Belia dan Sukan dipindahkan ke (sebahagian) bangunan pejabat EPU dulu sebelum ianya juga akan dipindahkan ke PutraJaya.

Dalam bulan depan Wisma Putra pula akan di kosongkan. Dan begitulah seterusnya kesemua bangunan-bangunan di KL akan bertambah lagi lengang.

Yang menarik juga, dalam laporan liputan berita yang sama, Star (hari ini juga) menyebut pula bahawa 7 dari 8 bangunan-bangunan pejabat yang baru disiapkan adalah di Putrajaya. Dan bayangkan pula banyak mana ruang pejabat bakal menjadi kosong.

Apa yang akan jadi pada pemilik-pemilik bangunan-bangunan yang kosong ini? Apakah nanti akan ada usaha lain untuk “bail-out” mereka.

Tidak cukup dengan Putrajaya, pembangunan di Cyberjaya turut diperhebatkan. Kini syarikat-syarikat yang telah mendapat status MSC dipaksa berpindah ke kawasan MSC. Apakah yang di maksud kawasan MSC?

Menurut gembar-gembor MSC – ialah kawasan 25 x 50 km di antara KLCC dan KLIA yang akan disediakan dengan prasarana komunikasi tercanggih. Apakah benar? TIDAK. Hanya segelintir kawasan “kepulauan” di dalam lingkungan tersebut sahaja yang di iktirafkan sebagai kawasan MSC. Tidak semua pembangunan di kawasan antara KLCC dan KLIA ini akan diperakui sebagai MSC.

Dengan ombak kedua kegawatan yang mula kembali melanda negara, apakah wajar pembangunan Putrajaya dan Cyberjaya diteruskan? Mestikah juga MDC berkeras memaksa lebih 400 syarikat-syarikat MSC berpindah ke Cyberjaya dan seumpamanya. Tidak bolehkah ditangguhkan sehingga kemelesetan hartanah menampakkan tanda-tanda pemulihan? Ditambah pula dengan prasarana yang belum memuaskan di sekitar Cyberjaya … “terasa seolah-olah berkerja di tempat jin bertendang”, kata rakan IB yang kini telah pun terpaksa berulang alih hampir 80 km setiap hari.

Apakah tidak boleh ditangguh permindahan pejabat-pejabat kerajaan ke Putrajaya? Apakah siap betul bila mereka dipaksa pindah ke Putrajaya? IB banyak kali ke Putrajaya. Dalam banyak mesyuarat yang dihadiri, kerap kali kakitangan merungut kesediaan tempat baru menerima penghuni-penghuni. Dengan pelbagai kerja dalaman yang belum siap dan kadang kala membahayakan pekerja dan pelawat. Tanya mana-mana kakitangan pejabat kerajaan yang dipindahkan ke Putrajaya. Apakah yang dialami mereka pada awal 2-3 bulan pertama. Siksa! Segala-galanya. Hinggakan ada tandas tak berfungsi dan aircond yang menjadi panas …

Apakah tidak boleh ditangguhkan pembangunan Putrajaya tersebut sehingga keadaan ekonomi dan pasaran hartanah mula menunjuk tanda-tanda positif. Dan kenapakah tidak dibelanjakan suntikan RM 3 ribu juta untuk keperluan asas rakyat jelata daripada dibelanjakan untuk meneruskan nyawa ikan kroni-kroni?

Sekian
Ibrahim Baba
6 April 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : [email protected]