Oleh : Johari Alwi,
Marang, Terengganu.
Julai 14, 2000
Pilihanraya umum yang lepas memperlihatkan gabungan pembangkang
mempergunakan sepenuhnya isu penganiayaan ke atas Anwar Ibrahim dan
penyelewengan yang berlaku untuk memancing sokongan menolak kerajaan
yang sedia ada. Tidak dinafikan, isu tersebut telah memberikan
kelebihan kepada parti pembangkang.
Walaupun begitu, BA tidak wajar bergantung selama-lamanya kepada
sokongan 'simpati' terhadap penganiayaan dan sokongan 'kerana benci'
terhadap penyelewengan.
Sebagai langkah jangka panjang untuk lebih memberikan keyakinan
kepada rakyat jelata menyokong perjuangan menegakkan keadilan, BA
perlu menunjukkan keinginan dan kebolehan mereka membincangkan dan
seterusnya menangani isu yang lebih kukuh, lebih luas dan lebih
penting.
Isu yang perlu perlu disentuh dan diperkatakan ialah seperti isu yang
berkaitan dengan sosial, pendidikan, ekonomi, perundangan dan
pemerintahan.
Oleh kerana institusi pengajian merupakan tunjang ke arah mewujudkan
masyarakat yang baik, sistem pendidikan hendaklah disusun dan
diubahsuai bermatlamat ke arah melahirkan individu yang sempurna
(baca: hampir sempurna kerana realitinya, tiada yang sempurna).
Keberkesanan sistem pendidikan boleh diukur daripada keupayaan dan
kemampuannya melahirkan individu yang serba boleh, rajin berusaha,
berfikiran positif, kritis dan merdeka, berdaya saing yang tinggi,
ingin maju, jujur, ikhlas, amanah, menghormati, berkeyakinan diri,
tidak sombong dan bongkak, dan dengan sifat-sifat baik yang lainnya.
Untuk mereka yang beragama islam, selain daripada ciri-ciri yang
dinyatakan di atas, keberkesanan sistem pendidikan hendaklah diukur
daripada kemampuannya untuk melahirkan individu yang bertaqwa.
Sistem ekonomi negara pula harus dikemaskinikan supaya mendorong
persaingan yang sihat dan adil. Polisi yang mengurangkan ruang dan
peluang ke arah pemonopolian perlu diperkenalkan.
Selain daripada ruang yang terbuka untuk persaingan yang sihat dan
adil, sistem ekonomi yang dikemaskinikan haruslah juga mampu
bertindak dengan cekap dan berkesan dalam mengagihkan kekayaan negara
seadilnya -- seperti memberi insentif, peluang dan keutamaan kepada
mereka yang ingin maju, berinovatif dan berusaha gigih dan
memperkenalkan sistem percukaian yang tidak membebankan, jauh lagi
menjadi penghalang ke arah perkembangan ekonomi yang pesat dan
berterusan.
Kejayaan sistem ekonomi yang diperkenalkan boleh dinilai daripada
peningkatan bilangan kelas menengah. Ia juga boleh dinilai melalui
keberkesanannya memberi ruang dan keutamaan kepada mereka yang
berkemampuan dan sanggup berusaha -- mereka yang 'berusaha ingin
menjadi kaya' akan menjadi kaya dan mereka yang 'tidak berusaha untuk
menjadi kaya' tidak akan menjadi kaya.
BA juga perlu mampu menangani permasalahan sosial yang melibatkan
golongan muda seperti budaya lepak, penagihan dadah dan gejala
keruntuhan akhlak. Menggalakkan penglibatan dalam aktiviti sukan
mampu menghindarkan golongan muda daripada terjebak dengan anasir
yang tidak sihat.
Melihat kepada sistem perundangan negara yang dicengkam oleh kuasa
eksekutif, BA perlu memikirkan kepada penggubalan dasar dan
perlembagaan negara supaya kuasa badan eksekutif tidak akan melebihi
kuasa badan kehakiman. Dengan itu, selain daripada memastikan
kebebasan sistem kehakiman, ia juga akan membantu ke arah menghalang
penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
Sistem pemerintahan yang cekap perlu dilaksanakan. Kecekapan boleh
dimengertikan dalam bentuk pengagihan 'human resource', penglibatan
golongan profesional dan cerdik pandai dalam menyumbangkan idea
kepada pentadbiran dan peloporan ke arah menyediakan bakat yang serba
boleh untuk mentadbir dan memastikan kedaulatan negara sentiasa
terjaga.
Isu penting yang lain seperti globalisasi perlu juga diperbincangkan.
BA perlu menyatakan pendirian mereka terhadap golobalisasi. Apakah
tindakan yang wajar diambil untuk melambatkan process globalisasi
supaya industri bisnes tempatan lebih bersedia dan apakah polisi yang
akan memastikan kewujudan ruang untuk persaingan yang sihat dan adil
(?). Kita tidak mahu apa yang telah berlaku ke atas ekonomi Rusia --
akibat pembukaan pasaran secara terburu buru -- akan pula berlaku ke
atas ekonomi negara kita.
Penglibatan BA dalam menangani isu seperti yang dibangkitkan di atas
secara tidak langsung menjadikan BA sebagai gabungan pembangkang yang
selamanya relevan. Ia juga perlu dilihat sebagai persediaan
sebelum diberikan peluang untuk mentadbir negara nanti.