Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Pemerintahan Islam ajaran sesat kata JAKIM

Assalamualaikum,

JAKIM telah menyenaraikan semua ajaran yang menyeru umat Islam kepada tanggungjawab mereka untuk mendirikan negara Islam dan melaksanakan pemerintahan Islam sepenuhnya sebagai ajaran sesat. Konsep Negara Islam itu ajaran sesat, kata JAKIM. Ajaran sesat? Innaa lillaahi wa-innaa ilaihi raaji’uun. Apa sudah jadi kepada JAKIM?

Tindakan JAKIM dalam menyenarai hitamkan konsep negara Islam serta pelaksanaan pemerintahan Islam sebagai ajaran sesat telah diketahui dari beberapa maklumbalas yang diterima dari mereka yang sudah menghadhiri siri ceramah mengenai al Maunah dan ajaran-ajaran sesat yang diadakan oleh JAKIM. Siri ceramah JAKIM ini akan menjangkau semua pertubuhan-pertubuhan, jabatan-jabatan awam, syarikat-syarikat swasta dan korporat, institut-institut pengajian tinggi dan lain-lain. Sungguh memeranjatkan apabila JAKIM yang sepatutnya memperjuangkan pelaksanaan pemerintahan Islam sudah bersubahat dengan UMNO dalam memijak dan memperkosakan aqidah dan kehormatan Islam.

Di pertengahan tahun 80an dahulu, Pusat Islam (yang sekarang ini JAKIM) telah menyambut dengan penuh usaha cadangan Dato Seri Anwar Ibrahim (yang ketika itu baru dilantik Menteri oleh Dr Mahathir) supaya dilaksanakan dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pemerintahan barat ala Webminster yang diikuti oleh kerajaan UMNO-BN. Malah dasar tersebut pada mulanya menjadi isu yang hangat dan ada dikalangan orang UMNO yang khuatir kalau-kalau Anwar Ibrahim punyai ajenda tersembunyi untuk secara beransur-ansur merobah sistem pemerintahan barat itu kepada sistem pemerintahan Islam sepenuhnya.

Nampaknya, dalam terlalu melutut kepada tekanan UMNO, pihak JAKIM sudah berubah 360 darjah dan kini menganggap sistem pemerintahan Islam yang diperjuangkan dahulu oleh Pusat Islam sebagai sesuatu yang sesat. Semakin jelas dilihat bahawa beberapa badan agama Islam seperti JAKIM sudah terlalu takut dengan UMNO hinggakan hilang ketaqwaan mereka terhadap Allah SWT. Badan-badan agama ini kelihatan seolah-olah bukan lagi bertindak kerana Allah SWT tetapi semata-mata kerana UMNO.

Di ceramah-ceramah yang telah diadakan, penceramah JAKIM dilaporkan telah mengatur penyampaian supaya masa tidak mengidzinkan untuk diberi penjelasan mengapa ajaran yang menyeru kepada pelaksanaan pemerintahan Islam itu dianggap oleh JAKIM sebagai ajaran sesat. Malah tidak disebut pun (mungkin takut dirakam dan disebarkan), dan hanya dipamerkan secara sepintas lalu dengan powerpoint di atas skrin di minit-minit akhir ceramah sebagai lain-lain ajaran sesat yang tidak sempat dihuraikan kerana kesuntukkan masa.

Penceramah JAKIM yang selalunya digunakan untuk siri ceramah ini adalah seorang yang berasal dari Kelantan (nama sengaja tidak disiarkan untuk keselamatan beliau). Di semua ceramah yang telah diadakan, penceramah tersebut lebih menghabiskan masa untuk menyakinkan pendengar bahawa walau pun beliau dari Kelantan, beliau terpaksa mengaku orang-orang Kelantan banyak yang jahat-jahat dan negeri asal beliau itu merupakan sumber utama bagi segala ajaran sesat di Malaysia. Walau pun tidak disebut secara spesifik, tetapi mudah dirumuskan bahawa penceramah JAKIM itu cuba mempengaruhi pendengar bahawa ulama-ulama dari Kelantan adalah sumber ajaran sesat. Jelas sasaran utama beliau adalah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan ulama-ulama PAS.

Walau pun kumpulan anti-hadith juga digulungkan sebagai ajaran sesat, tetapi nampak sangat semasa sessi soal jawab bahawa penceramah JAKIM itu mencuba sebolehnya untuk melindungi kumpulan anti hadith Jamaah Al-Quran Malaysia (JAM). Sikap JAKIM membela JAM tidak menghairankan kerana kumpulan ajaran sesat tersebut dilindungi dan dibela pegangan dan kegiatan anti Hadith mereka oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri. Harus diingat beberapa bulan yang lalu, Pengerusi JAM, Kassim Ahmad diperhimpunan tahunan pertubuhan anti hadith itu telah berkata sebahagian mereka selamat dari ISA kerana dilindungi oleh Dr Mahathir. Malah Kassim Ahmad pernah berkata bahawa beliau dan Dr Mahathir mempunyai pegangan yang sama tentang agama Islam.

Selepas sandiwara Sauk, pihak UMNO begitu rioh hendak menyiasat ajaran sesat di tanah air. Secara ikhlas ingin disyorkan supaya UMNO memulakannya dengan menyiasat Presiden mereka sendiri. Bukan sahaja beberapa kenyataan Kassim Ahmad tetapi kenyataan-kenyataan dari Dr Mahathir sendiri telah menunjukkan mungkin Presiden UMNO itu adalah anti Hadith. Contohnya, Dr Mahathir dalam ruangan bulanannya di akhbar Jepun, Mainichi Daily keluaran 15 Februari, 2000 telah menulis bahawa tidaklah menjadi kesalahan bagi orang Islam untuk duduk semeja dengan mereka yang sedang minum arak, dan bukanlah budaya orang Malaysia untuk memberitahu orang lain yang mana itu baik dan yang mana buruk.

Ini suatu bukti bertulis dari Dr Mahathir sendiri yang menunjukkan beliau adalah anti Hadith. Adalah mudah dirumuskan dari kenyataan di akhbar Jepun itu bahawa niat Dr Mahathir adalah untuk memperlekehkan Hadith-Hadith Rasulullah SAW yang melarang umat Islam duduk semeja dengan mereka yang sedang minum arak, dan sekiranya tidak dapat dielak undangan ke sesuatu majlis yang mensajikan arak, maka hendaklah pergi dengan niat untuk memberitahu bahawa minuman arak itu adalah haram dan buruk di sisi Allah SWT.

Nampaknya JAKIM bukan lagi mengendalikan hal ehwal agama Islam tetapi tugas utamanya sekarang adalah mempertahan dan mempromosikan pegangan sekularisma Dr Mahathir dan UMNO. Sebenarnya pihak JAKIM telah berlaku kurang ajar terhadap agama Islam kerana menyenaraikan semua ajaran yang menyeru kepada penubuhan negara Islam dan pemerintahan Islam itu sebagai ajaran sesat. Adalah diseru kepada semua umat Islam di Malaysia supaya lupakan perbedzaan fahaman politik mereka untuk bersatu menentang usaha terbaru oleh UMNO, melalui JAKIM, untuk memijak dan memperkosakan aqidah serta kehormatan Islam.

Semata-mata kerana Allah SWT dan takut hanya kepada Allah SWT.

Tarabulsi
17 September, 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]