BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Bencana Kerana Perbuatan Sendiri

Kebelakangan ini, kita sering mendengar pelbagai berita mengenai tragedi yang berlaku di seluruh dunia. Ini termasuklah pembunuhan yang berpunca daripada perasaan tamak serta dengki khianat sesama manusia itu sendiri.

Selain daripada itu, bencana alam seperti banjir, taufan, gempa bumi, kemarau, letupan gunung berapi, peperangan serta banyak lagi tragedi lain semakin kerap melanda sebahagian besar muka bumi yang kita diami.

Kesan daripada bencana itu, berlakulah kehilangan ribuan nyawa manusia, ternakan dan juga kerugian harta benda yang tidak ternilai. Dalam pada itu, ada juga tempat-tempat yang jarang atau tidak pernah kita dengar berlaku gempa bumi, kini dilaporkan mengalami kejadian itu.

Begitu juga dengan peperangan, hampir setiap hari beribu-ribu manusia terkorban kerana bencana buatan manusia sendiri. Daripada peristiwa itu, dapat kita melihat bagaimana manusia dan alam kini semakin kalut dengan pelbagai kemelut. Bagaimanapun, qada' dan qadar Allah ternyata berlaku terhadap manusia berasaskan perbuatan mereka sendiri.

Apabila datang bencana, ia adalah balasan yang setimpal daripada Allah kepada segelintir hamba-Nya yang tidak pernah mahu menginsafi perbuatan masing-masing dengan meneruskan penderhakaan terhadap Allah.

Kalau direnung secara mendalam, kita akan dapati bahawa segala malapetaka yang berlaku sekarang membuktikan keagungan Allah terhadap hamba-Nya.

Kemarau dan banjir umpamanya menakutkan manusia di serata dunia. Ini kerana ia boleh berlaku di mana saja tanpa mengira keadaan iklim atau fizikal sesuatu tempat itu lagi hingga ia kadangkala turut mengelirukan pihak yang terbabit untuk membuat kajian saintifik mengenai bencana tersebut.

Dalam hubungan itu, masing-masing lupa bahawa bencana itu adalah ketetapan Allah lantaran kedurjanaan yang dilakukan oleh kelompok manusia tertentu. Kini, maksiat berlaku di merata tempat dan manusia kian gila dengan kehidupan sosial tanpa batasan.

Kalau dikaji secara mendalam, bencana seperti kemarau yang begitu teruk sebenarnya adalah bala Allah terhadap manusia yang enggan mensyukuri nikmat Allah.

Rezeki dan kurniaan Allah terhadap mereka banyak dilaburkan ke jalan maksiat dan sia-sia. Apabila diuji oleh Allah dengan kepapaan dan kemiskinan, mereka begitu mudah berputus asa dan mula menderhakai Allah dengan melakukan alternatif yang tidak direstui Islam.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu."
(Surah As-Syura: ayat 30)

Sebagai umat Islam yang meyakini keesaan dan keadilan Allah, maka adalah perlu bagi kita semua untuk merenungi dan meneliti setiap kejadian ngeri, termasuk pelbagai musibah yang berlaku dengan penuh keinsafan.

Insaf kerana segala apa yang berlaku adalah kekuasaan Allah dan insaf untuk beringat-ingat bahawa bencana yang terjadi akan menimpa sesiapa jua nanti, andainya mereka melakukan penderhakaan terhadap Allah.

Dalam hal ini, setiap kita perlu merenung ke dalam diri kita dengan serius, mengkaji setiap tingkah laku dan tindakan yang kita ambil sekian lama, apakah semuanya menepati kehendak masyarakat keseluruhannya atau menyeleweng daripada landasan kebenaran dan keredaan Allah.

Apabila Allah sendiri berjanji seperti di dalam firman-Nya itu, maka tidak mustahil setiap bencana yang berlaku adalah balasan di atas sikap dan perlakuan manusia itu sendiri.

Dalam pada itu, jika ada kesederhanaan dalam malapetaka yang menimpa seseorang atau sesuatu umat, maka ia barangkali menjadi satu ingatan dan pesanan daripada Allah agar mereka yang terbabit segera insaf dan kembali kepada kebenaran.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Wahai kaum-Ku, mintalah ampun kepada Tuhanmu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruan-Ku dengan terus melakukan dosa."
(Surah Hud: ayat 52)

Keengganan menunaikan beberapa tuntutan Islam seperti mengeluarkan zakat juga mempunyai hubungan dengan bencana, antaranya kemungkinan berlaku kemarau panjang seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan, kalaulah tidak kerana binatang (di muka bumi) nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan selama-lamanya."

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:

1. Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.

2. Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).

3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.

4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.

5. Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.

6. Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.

7. Apabila kedengaran banyak bunyi bising.

8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.

9. Apabila sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.

10. Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.

11. Apabila arak menjadi minuman biasa.

12. Apabila lelaki memakai sutera.

13. Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.

14. Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.

15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu, maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi.

Seandainya kita sama-sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri.

Oleh itu, sama-samalah kita kembali kepada tatacara hidup seperti yang dituntut oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke akhirat.







______________________
Terbitan : 31 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]