Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Ikhlas

DALAM satu Hadis Qudsi, Rasulullah saw bersabda, maksudnya:

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala berfirman: "Akulah yang paling tidak memerlukan sekutu. Sesiapa mengamalkan sesuatu dan menyengutuinya dengan yang lain (selain daripada-Ku), maka bahagian-Ku adalah untuk yang lain itu, kerana aku tidak menerima kecuali apa yang dikerjakan dengan ikhlas untuk-Ku". Demikianlah betapa pentingnya ikhlas dalam menjalani hidup yang semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Ikhlas menentukan penerimaan amal ibadat. Tanpa ikhlas, satu-satu amalan itu ditolak oleh Allah swt.

Ikhlas bermaksud, menumpukan niat bagi setiap kerja ibadat atau amalan semata-mata kerana Allah dan untuk Allah. Ikhlas yang sebenar-benarnya ikhlas sudah tentulah bersih hati daripada unsur riya', nifaq dan ‘ujub. Antara ayat-ayat lain dalam al-Quran yang memperkatakan tentang ikhlas ialah :

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dalam mengikhlaskan agama (ibadah) kepada-Nya”. (Surah al-Zumar:11); Katakanlah: “Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agamaku kepada-Nya”. (Surah Az-Zumar:14);Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepada-Nya. (Surah al-Bayyinah : 5).

Ulama’ terdahulu membahagikan ikhlas itu kepada dua, berdasarkan matlamat amalan yang dilakukan:

Pertama, ikhlas beramal;
Kedua, ikhlas menuntut pahala.
Ikhlas Beramal :

Maksud ikhlas beramal ialah keikhlasan mengerjakan amalan / ibadat semata-mata untuk mencapai matlamat :

menghampirkan diri dan hati (taqarrub) dengan Allah Taala;
menjunjung tinggi atau mengagungkan perintah Allah Taala;
merelakan atau memperkenankan seruan Allah Taala.
Matlamat-matlamat pencapaian ibadah tersebut adalah selari dengan dorongan ijtihad dan iktikad yang betul dan selaras dengan firmah Allah yang mafhumnya:

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan semesta alam. (Surah Al-An'am: 162) Amalan yang dikerjakan secara ikhlas beramal ini kosong daripada niat mengharapkan sesuatu pulangan atau balasan manfaat, sama ada di dunia maupun di akhirat. Malah amalan itu sampai tidak dikehendaki dapat dilihat oleh iblis agar tidak diganggu-gugat atau dirosakkan oleh musuh manusia itu dan tidak juga dikehendaki dapat dilihat dan dicatatkan oleh malaikat. Hendaknya biarlah amalan itu termasuk dalam ilmu Allah sahaja. Inilah darjat ikhlas yang paling tinggi.

Niat ikhlas beramal hendaklah serentak dengan bermulanya amalan yang dikerjakan dan hendaklah berterusan. Tidak termasuk dalam ikhlas beramal, jika niatnya terkemudian atau selepas amalan.

Lawan ikhlas beramal ialah nifaq, iaitu iktikad dan perlakuan orang munafik yang berpura-pura menghampirkan diri kepada Allah tetapi sebanarnya mengaitkan amalannya dengan yang lain daripada Allah. Nifaq itu membatalkan amalan, sekali gus terkeluar jauh daripada lingkungan qurbah dengan Allah Taala.

Ikhlas Menutut Pahala :

Maksud ikhlas menuntut pahala pula ialah mengharapkan pulangan atau manfaat akhirat iaitu pahala untuk menempah hidup bahagia di syurga dan untuk dijauhkan daripada seksaan (azab) di neraka, iaitu sebagai ganjaran daripada amalan ibadat / kebajikan yang dikerjakan. Matlamat ini selari dengan firman Allah yang mafhumnya :

Katakanlah : “Sesungguhnya aku takut , jika aku mendurhakai Tuhanku, akan azab hari yang besar. (al-An’am : 15) Lawan ikhlas menuntut pahala ialah riya’, iaitu mengharapkan manfaat jangka pendek di dunia yang lumrahnya datang daripada manusia atau makhluk Allah yang lain. Riya’ merupakan penyakit kalbu yang merosakkan ikhlas lantas memusnahkan amalan.

Dalam menghuraikan perbezaan di antara dua jenis ikhlas tersebut, Imam al-Ghazali mengatakan : “Ikhlas beramal itu semata-mata menjadikan amalan itu sebagai wahana untuk bertaqarrub dengan Allah Taala dan tidak menuntut sesuatu yang lain. Manakala ikhlas menuntut pahala itu lebih mengharapkan amalan diterima oleh Allah di samping mengingini ganjaran pahalanya.

Para Hawariyyun (pengikut-pengikut nabi 'Isa a.s.) bertanya kepada nabi 'Isa a.s, "Bagaimanakah orang-orang yang ikhlas itu dengan amalan mereka?".

Nabi 'Isa a.s. bersabda, "Mereka beramal kerana Allah dan tidak berhajat kepada pujian daripada manusia".

Membicarakan tentang ikhlas, para ulama mengaitkannya dengan amalan berikut:

1. ibadat zahir (amalan jasmaniyah / khususiyah), seperti sembahyang, puasa, haji, umrah dan sebagainya. Dalam ibadat zahir ini diperlukan kedua-dua jenis ikhlas tersebut (ikhlas beramal dan ikhlas menuntut pahala).
2. ibadah batin (amalan batiniyah), iaitu seperti jujur, amanah, setia, tafwidh dan sebagainya. Tidak timbul soal ikhlas dalam ibadat batin ini, kerana sifatnya sendiri sudah merupakan ciri ikhlas. Tanpa ikhlas tidak wujud sifat jujur, misalnya. Dalam ibadat ini akan timbul nifaq dan riyak apabila pengamalnya mengharapkan manfaat dunia, untuk mendapat pujian, sanjungan dan penghormatan manusia.
3. amalan harus yang dikerjakan untuk membantu kerja ibadat yang lain, khususnya ibadat zahir tersebut. Contohnya, makan, minum, tidur dan sebagainya. Dalam ibadat ini hanya terdapat ikhlas jenis yag kedua sahaja, iaitu ikhlas menuntut pahala.

Menurut Imam al-Gazali: Dalam kebanyakan ibadat ada kaitan dengan kedua-dua jenis ikhlas_ikhlas beramal dan ikhlas menuntut pahala. Ini termasuklah ibadat yang wajib dan sunat. Dalam ibadat yang harus yang dikerjakan untuk membantu ibadat wajib atau sunat, hanya terdapat sejenis ikhlas sahaja, iaitu ikhlas menuntut pahala. Kerana, ibadah yang harus itu bukan bertujuan qurbah , tetapi hanya untuk membantu atau membolehkan ibadah zahir atau amalan khususiyah itu dikerjakan.

Waktu niat ikhlas menuntut pahala boleh terkemudian daripada mengerjakan amalan yang berkenaan. Sebahagian ulama mengatakan, waktunya ialah sebaik-baik sahaja selesai mengerjakan sesuatu amalan. Ketika itulah ditentukan sesuatu amalan itu sama ada dikerjakan dengan ikhlas atau dengan riak. Sebab, riak sewaktu mengerjakan ibadat itu mungkin diubah kepada ikhlas selepas mengerjakan ibadat itu. Keihkhlasan ini diterima selagi matlamat riak belum tercapai. Umpamanya jika kita mengerjakan ibadat untuk mendapat pujian orang (satu contoh riak), selagi kita belum menerima pujian itu, kita boleh menukarkannya kepada ikhlas. Tetapi apabila sudah mendapat pujian (matlamat riak telah tercapai), maka terjatuhlah dalam riak dan sia-sialah ibadat itu.

Darjat ikhlas yang paling rendah :

Di samping ikhlas beramal dan ikhlas menuntut pahala, ada satu lagi jenis ikhlas yang dikatakan paling rendah darjatnya. Ikhlas jenis yang ketiga ini khusus kepada niat mengerjakan amal ibadat untuk keselamatan diri dan keselesaan atau kesenangan hidup di dunia. Contohnya, mengerjakan shalat sunat hajat, shalat sunat istisqa’, membaca doa, ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Qur’an semata-mata untuk mendapat manafaat segera duniawi daripada Allah swt (manfaat yang harus, tidak bercanggah dengan larangan agama, tetapi tidak termasuk matlamat ikhlas beramal dan ikhlas menuntut pahala yang tersebut).

Kesimpulan :

Adalah wajib kita mengerjakan amal ibadat dengan ikhlas dan hendaklah sentiasa sedar, bahawa tergeraknya hati dan anggota kita mengerjakan ibadat itu adalah di bawah taufik dan hidayah Allah Taala. Dengan hal yang demikian, amalan kita, insya Allah, akan diterima dan disempurnakan pahlanya oleh Allah Taala. Sebaliknya, jika kita tidak ikhlas mengerjakan ibadat dan merasakan segala tindak-tanduk mengerjakan amalan yang baik itu adalah berpunca daripada diri kita sendiri, maka kita terjatuh ke dalam riak dan ujub. Riak, ujub dan nifaq itu membinasakan amal ibadat yang berkenaan; sedangkan ikhlas sering menjernihkan kekeruhan segala amalan, menghapuskan ingatan dan keinginan kepada segala kesukaan dan kesenangan (kepentingan nafsu sendiri) dan mengekalkan perhubungan dengan Allah Taala, terutama kalau kikhlasan itu ikhlas beramal. Selain itu ikhlas juga menjadi benteng untuk mempertahankan diri daripada godaan atau tipu daya syaitan. Allah Taala berfirman, maksudnya :

Berkata (Iblis), ya Tuhabnku, oleh sebab Engkau telah memutuskan aku sesat, pasti aku menjadikan mereka memandang baik (terhadap perbuatan maksiat) di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali di kalangan hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) - (al-Hijr : 39 - 40). Juteru, amat besar kerugian yang akan menimpa mereka yang bukan mukhlis dan tidak ikhlas mengerjakan amal ibadat mereka. Virus riyak akan memusnahkan amalan mereka.






______________________
Terbitan : 27 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]