Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Sikap Tidak Gopoh Gapah

"Apabila engkau mahukan sesuatu, hendaklah engkau bersabar hingga Allah menunjukkan jalan keluarnya kepadamu" (Riwayat olah Al Bukhari)

Huraian.

Hadis ini menyarankan kepada setiap orang mu'min yang yakinkan rahmaniah Allah agar selalu bersikap sabar, tidak terburu-buru dan tidak tergopoh-gapah dalam memperjuangkan sesuatu cita-cita atau menjayakan sesuatu rancangan atau dalam mengatasi seseatu kesulitan yang dihadapinya. Segala sesuatu di alam ini dijadikan Allah mengikut undang-undang dan peraturan sebab munasabab dan sebab musabab itu pula berlangsung menurut waktunya yang wajar, sementara kelansungan proses sebab musabab harus tunduk kepada iradat Allah yang Maha Agung.

Berdasarkan hakikat ini sikap terburu-buru,tergesa-gesa dan bergopoh-gapah merupakan sikap yang sia-sia kerana ia tidak akan dapat mempercepatkan sesuatu yang belum tiba waktunya,malah sikap itu akan membawa akibat-akibat buruk yang tidak diingininya.

Sifat sabar,sikap berpelahan-lahan yang sanggup menunggu bukan sahaja melambangkan keimanan dan penyerahan diri kapada Allah, malah melambangkan kebijaksanaan kerana sikap sedemikian melapangkan kepada akal berfikir lebih berhati-hati, lebih mendalam dan matang dan melapangkan kepada bakat-bakat dan potensi-potensi yang wujut dalam jiwa seseorang berkembang subur hingga dapat memberikan kekuatan-kekuatan dan tangga yang perlu bagi mencapai kejayaan.

Anjuran bersabar dan berpelahan-lahan dan melarang bergopoh itu begitu banyak disebutkan di dalam AlQuran dan hadis-hadis Rasul kerana tabiat menusia selalunya tidak sabar dan tidak sanggup menunggu-nunggu, selalunya dikungkung konflik anak manja yang mahukan segala kehendaknya dipenuhi segera dan kesulitannya harus dipercepatkan. Dalam tekanan-tekanan keadaan muram suram yang menyedihkan tidak sedikit manusia yang berdoa agar ia dimatikan segera atau dibinasakan terus. Inilah hakikat kejiwaan manusia yang digambarkan oleh Al Quran:

"Manusia sanggup berdoa memohon malapetaka sebagaimana ia berdoa memohon kebaikan, dan sesungguhnya manusia bertabi'at amat gopoh" (Isra' 11)

Walaupun bagaimanapun anjuran bersabar dan berpelahan-lahan itu bukanlah kesabaran dan keperlahanan yang nagetif iaitu kesabaran tanpa usaha yang gigih, kerana kesabaran tampa usaha yang gigih itu adalah sama sahaja sia-sianya dan bahayanya dengan gopoh-gapah . Apa yang perlu dilakukan oleh setiap mu'min ialah apabila ia merancangkan sesuatu atau apabila ia berusaha untuk mengatasi sesuatu kesulitan ia harus berusaha dengan kesungguhan yang semestinya kemudia menunggu hasilnya atau jalan keluar dengan penuh sabar hingga diizinkan oleh Allah.

Pokok tujuan anjuran bersabar ialah berusaha mempergunakan pertimbangan akal yang waras dan menjauhi pertimbangan yang berdasarkan sentiman dan nafsu yang boleh membawa seseorang kepada tindakan terburu-buru yang merugikan.






______________________
Terbitan : 1 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]