Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kisah Imam Ahmad Hanbal

SEBAGAI 'pewaris' para nabi, ulama silam sering tabah menghadapi pelbagai seksaan, antaranya ialah Ahmed bin Hanbal atau lebih dikenali sebagai Imam Hanbal. Dalam zaman Khalifah Harun al-Rasyid, timbul suatu fahaman bahawa al-Quran adalah suatu makhluk. Basyar al-Murisy telah menyebarluaskannya pendapat itu. Namun, Khalifah Harun membanterasanya habis-habisan. Sekali gus ia memerintahkan agar penyebar itu ditangkap dan diadili. Basyar menyembunyikan diri sebaik mengetahui perintah itu dikeluarkan. Dia menyembunyikan diri hingga Khalifah Harun meninggal. Khalifah al-Amin, anak Khalifah Harun, menghidupkan perintah itu sebaik sahaja mewarisi kerajaan ayahnya.

Setelah Khalifah al-Amin meninggal, Khalifah al-Makmun pula mewarisi pemerintahan. Namun, beliau berfaham muktazilah (golongan yang mengutamakan pemikiran logik). Makmun menyokong fahaman Basyar. Para ulama, secara bersembunyi, berfatwa ajaran Basyar itu sesat, lagi menyesatkan. Demi takut dizalimi, ramai ulama berhijrah ke negara lain. Ramai pula yang terpaksa bersembunyi. Imam Hanbal berpendapat al-Quran hanyalah kalamullah (pena Allah). Akibat pendapatnya itu, dia ditangkap dan dihadapkan kepada Khalifah Makmun. Hanbal dirantai dan dibawa ke bilik persidangan. Seorang pengawal kemudian tampil dengan membawa al-Quran dan diletakkan di hadapannya.

"Al-Quran bukan makhluk, al-Quran adalah Kalamullah." Imam Ahamad menegaskan.

Akibatnya, Imam Ahmad dipenjara dan diseksa. Setiap hari dalam penjara seorang pegawai disuruh menemui Imam Hanbal supaya pendapatnya diubah. Namun, Imam Hanbal terus tegas. Suatu pertemuan kemudian diadakan. Tujuannya untuk menghukum Imam Ahmad. Berbagai-bagak peralatan seperti pedang, lembing dan cabuk disediakan. Jika beliau masih teguh dengan fahamannya, senjata itulah yang akan digunakan untuk menyeksanya. Namun, Imam Hanbal masih tegas. Beliau dicabuk. Pada sebatan pertama, Imam Ahmad berkata 'Bismillah'. Pada sebatan kedua beliau membaca 'La haula wala kuata illa billah'. Pada sebatan ketiga beliau membaca firman Allah bermaksud:

"Katakanlah sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami."

Kini sudah 29 kali Imam Hanbal dicabuk. Akibatnya kulitnya terkupas. Darah mengalir. Ketika sedang dicabuk, Imam Hanbal merasa tali seluarnya terputus. Seluarnya sedikit demi sedikit menurun. Auratnya dirasakan hampir terbuka. Beliau segera mengangkat pandangnnya ke langit. Bibirnya bergerak. Bisikan doanya dikabulkan. Tiba-tiba seluarnya yang tadi turun, naik semula ke tempat semula. Auratnya tidak sempat terbuka. Setelah dicabuk, beliau kemudian dibawa ke penjara. Al-Muktasim telah menggantikan Khalifah Makmun yang wafat. Namun, faham muktazilah masih berkembang. Akibatnya Imam Hanbal terus diseksa. Debat terbuka antara Imam Hanbal dengan Kadi Besar Ahmad bin Ali Daud dianjurkan Khalifah al-Muktasim. Namun, Imam Hanbal pintar menjawab secara jitu segala soal dan bidasan.

Walau terpengaruh, hadirin majlis masih takutkan seksaan khalifah. Oleh malu kerana melihat kadi besarnya itu ditewaskan Imam Ahmad dalam debat itu, khalifah memaksa Imam Hanbal mengakui kesilapannya. Namun, Imam Hanbal masih tabah. Seksaan dan penjara untuknya diteruskan. Khalifah al-Muktasim meninggal dunia dan digantikan oleh Khalifah al-Watsik yang masih terpengaruh oleh ajaran sesat itu. Seksaannya ditambah kepada Imam Hanbal. Hanya setelah al-Watsik meninggal dan digantikan oleh al Mutawakkil Billah, barulah berakhir seksaan ke atas Imam Hanbal. Khalifah itu menyedari kesilapan para pendahulunya dan memerintahkan pengikut muktazilah ditangkap dan dihukum. Imam Hanbal bersyukur kepada Allah kerana terselamat. Namun, pada usia tua dan sakit, beliau masih terus berdakwah menentang ajaran sesat sehingga akhir hayatnya.






______________________
Terbitan : 21 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com