Oleh Herman Samsudeen
Pemuda PAS kesal, pengurus kondominium kaut untung tetapi abaikan keselamatan penduduk
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana terdapat syarikat yang menguruskan kondominium di sekitar Kuala Lumpur cuai dalam memastikan keselamatan kediaman penghuni-penghuninya.
Semalam DPPWP menerima maklumat bahawa kediaman wartawan Harakah, Hazayani Zakaria telah dimasuki pencuri dan kerugian lebih dari RM 10,000 selepas beberapa barang berharga dicuri. Beliau yang tinggal di Kondominium Teratai Mewah, Setapak bersama 4 lagi orang rakannya menjadi mangsa akibat kegagalan sistem keselamatan disitu.
Walaupun kawasan kondominium berkenaan dipagari dengan tembok yang tinggi dan terdapat pengawal keselamatan yang berkawal 24 jam, namun kejadian yang dilaporkan berlaku pada siang hari itu gagal dikesan. Pihak Keselamatan memaklumkan mereka bahawa kamera CCTV rosak ketika waktu kejadian. Kamera CCTV hanya ada satu dan diletakan dipintu masuk utama sahaja, begitulah cuainya syarikat yang menguruskan kondominium ini.
Pihak keselamatan juga mengakui bahawa mereka telah menerima banyak aduan tentang rumah-rumah kediaman yang dipecah masuk disitu, namun mereka tidak berbuat apa-apa.
DPPWP tidak dapat menerima sikap lepas tangan yang ditunjukan dan sewajarnya pihak keselamatan dan pengurus kondominium berkenaan bertanggungjawab kerana pihak penghuni telah membayar yuran penyelenggaraan dan keselamatan setiap bulan. Mereka sewajarnya membayar gantirugi kepada pihak penduduk yang menjadi mangsa
DPPWP khuatir kerana penjenayah kini sudah tidak dapat dikawal, dan kehadiran pengawal di kawasan kondominium dan beberapa Taman perumahan sudah tidak ada maknanya. Mereka hanya mengaut untung atas angin tanpa melakukan apa-apa kerja bagi melindungi penduduk yang.
Rakyat diseluruh Kuala Lumpur kini tidak dapat hidup tenteram kerana, penduduk kondominium yang dikawal dan tertutup semacam itu pun boleh dimasuki pencuri.
DPPWP berharap agar pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan melihat isu ini. Begitu juga dengan pihak Polis, supaya kadar jenayah di Kuala Lumpur dapat dibanteras.
Herman Samsudeen
Timbalan ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan