Oleh : Savesandakan
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,,
Ramai rakyat di Sabah (kebanyakkannya telah mengundi Barisan Nasional dan mengekalkan parti Datuk Seri sebagai Kerajaan pada pilihanraya umum tahun 2008) amat kecewa apabila Datuk Seri meminta rakyat Sabah supaya ‘membuat pengorbanan’ dengan menerima stesen janakuasa ARANG BATU YANG KOTOR DAN MENGANCAM ALAM SEKITAR.
Datuk Seri sendiri baru sahaja berucap kepada Tenaga Nasional Berhad di Kuala Lumpur, pada hujung bulan Oktober yang lalu, bahawa Datuk Seri TIDAK SUKA dengan dasar tenaga (energy policy) yang sedia ada. Malah, Datuk Seri seterusnya berkata bahawa dasar tenaga tersebut adalah “tidak betul” (It is not right). Khususnya mengenai arang batu, Datuk Seri dengan tepatnya berkata bahawa “arang batu adalah teknologi yang KOTOR, ia MENGANCAM ALAM SEKITAR.” (Sebenarnya, Jemaah Menteri Sabah juga memegang pandangan yang sama dan telah menolak arang batu pada tahun 2008) Yang peliknya, hanya dalam masa seminggu selepas itu, Datuk Seri pula datang ke Sabah untuk meminta supaya rakyat Sabah “berkorban” — menerima arang batu YANG KOTOR!
(Much time wasted in solving Sabah’s power woes, says PM; Daily Express, Ahad, November 08, 2009)
Tetapi 2 minggu kemudian, Datuk Seri pula menegaskan tanggungjawab kita semua sebagai ‘pembela’ (custodians) kepada/terhadap generasi-generasi masa depan, supaya memastikan satu Malaysia yang ‘hijau’, dan mengurangkan pelepasan karbon (carbon footprint). Bagaimana kita boleh mencapai matlamat ini jika Kerajaan Datuk Seri menambahkan pembakaran arang batu (di Sabah) — dan bukan sebaliknya??
Kami sangat keliru dengan pendirian Datuk Seri yang tidak konsisten dan saling bercanggah. Kami berharap agar ucapan Datuk Seri kepada TNB tersebut (di mana arang batu disifat sebagai “KOTOR dan MENGANCAM ALAM SEKITAR“) adalah ikhlas dan jujur, dan bukanlah (seperti yang telah diperkatakan secara sinis) semata-mata suatu “rangkaian propaganda/gimik perhubungan awam” untuk memujuk rakyat supaya menerima teknologi nuklear yang lebih berbahaya lagi.
Kami masih mengharapkan bahawa Kerajaan Datuk Seri adalah serius dan komited untuk MENGURANGKAN kegunaan arang batu dalam penjanaankuasa elektrik di negara ini – bermula dari Sabah.
Datuk Seri telah salah faham/diberi maklumat yang tidak tepat apabila Datuk Seri berkata bahawa:
“Tetapi, kalau tidak (menerima arang batu), kita takkan mendapat tenaga elektrik. Kita mesti membuat keputusan, kamu mahukan elektrik tetapi pada masa yang sama tidak mahu stesen janakuasa elektrik itu. Kamu mahukan stesen itu di tempat lain, bukan di kawasan sendiri.”
(Much time wasted in solving Sabah’s power woes, says PM; Daily Express, Ahad, November 08, 2009)
Kami ingin mengulangi/menegaskan bahawa mereka yang membantah penggunaan arang batu di Sabah BUKANNYA membantah pembangunan atau pembinaan stesen janakuasa. Kami hanyalah meminta supaya sumber tenaga yang digunakan adalah sumber yang bersih, tidak mengancam alam sekitar atau kesihatan umum – seperti gas semulajadi kepunyaan kami sendiri dari Kimanis, Sabah, ataupun tenaga hidro (air) dari Bakun dan sumber-sumber lain yang juga terdapat di Sabah.
Datuk Seri juga berkata:
“Pertama kali, ia sepatutnya akan dibina di Lahad Datu tetapi rakyat di sana membantah. Kemudian, ia dipindahkan ke Sandakan, tetapi rakyat di sana juga membantah. Jadi, akhirnya, sebagai Menteri yang bertanggunjawab terhadap Felda, saya membuat keputusan untuk membinanya di kawasan Felda. Tiada masalah.”
(Much time wasted in solving Sabah’s power woes, says PM; Daily Express, Ahad, November 08, 2009)
Kenyataan ini jelas membuktikan bahawa Datuk Seri MEMANG MENGETAHUI SEPENUHNYA DAN MENYEDARI tentang bantahan yang kuat dan keras oleh rakyat Sabah terhadap stesen janakuasa elektrik arang batu yang dicadangkan itu. Jadi, MENGAPA PULA Kerajaan Datuk Seri MASIH MEMAKSA kami untuk menerimanya? Walaupun di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan, Felda Sahabat masih terletak di dalam negeri Sabah dan berdekatan dengan Lahad Datu, Kunak dan bandar-bandar yang berdekatan.
Jikalau Kerajaan Persekutuan betul-betul ‘komited’ dengan seikhlasnya untuk menyelesaikan masalah kekurangan elektrik di negeri Sabah, maka cara yang terbaik adalah dengan menggunakan sumber-sumber tenaga yang sedia ada di Sabah juga – seperti gas semulajadi yang diekspot oleh Kerajaan Persekutuan ke Sarawak, dan potensi tenaga hidro (air) yang kaya di Sabah, seperti dari Sungai Liwagu.
Sebagai alternatif, kalaulah Kerajaan Persekutuan adalah ‘komited’ dengan seikhlasnya, maka Kerajaan Datuk Seri harus – paling sedikit pun - mendapatkan bekalan tenaga hidro dari Bakun, Sarawak – sekurang-kurangnya sebagai balasan terhadap gas semulajadi yang diekspot oleh Sabah ke Sarawak – dan bukannya mencuba untuk menjualkan tenaga hidro ke Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Datuk Seri adalah tepat apabila berkata bahawa Sabah adalah seumpama negeri ‘simpanan tetap’ kepada Barisan Nasional yang boleh diharap memberi sokongan kepada Barisan Nasional.
Kami telah mengembalikan kuasa kepada Barisan Nasional – dalam hampir semua kawasan pilihanraya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri – manakala Semenanjung Malaysia mulai meninggalkan parti Datuk Seri. Kami membuat demikian kerana kami YAKIN bahawa BN akan memberi GANJARAN dan MEMBAYAR BALIK kesetiaan kami dengan usaha-usaha yang TULEN untuk menyelesaikan masalah-masalah kami – dan BUKANNYA dengan KETIDAK-IKHLASAN seperti ini.
Datuk Seri telah berkata, “Sabah akan terus menerima perhatian daripada Kerajaan Persekutuan kerana sokongannya terhadap Barisan Nasional boleh dilihat bertambah kuat dari hari ke hari.”
(No need for alternative: Najib; Daily Express, Sunday, November 08, 2009)
Kami hanya akan mempercayai ini apabila ia DIBUKTIKAN DENGAN TINDAKAN, BUKAN DENGAN PERKATAAN SAHAJA. Namun malangnya, kami amat kecewa apabila Datuk Seri meminta supaya kami membuat PENGORBANAN sekali lagi — pengorbanan yang langsung TIDAK PERLU.
MENGAPA kami harus ‘berkorban’ sedangkan kami ADA BANYAK ALTERNATIF, seperti gas semulajadi di Kimanis yang sedang diekspot oleh Kerajaan Persekutuan ke Sarawak, dan tenaga hidro dari Bakun, Sarawak yang akan diekspot ke Brunei, Indonesia dan Semenanjung Malaysia (melalui kabel bawah laut) — kecuali Sabah? Dan MENGAPA PULA kami harus MENGIMPOT arang batu yang “KOTOR DAN MENGANCAM ALAM SEKITAR” dari Indonesia??
Hakikatnya,
a) Kerajaan Persekutuan telah mengambil sumber-sumber kami di Sabah dan memberikannya kepada orang lain (Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia),
b) dan kemudiannya memaksa kami untuk menerima pengganti (substitute) yang KOTOR dan BAHAYA.
Adakah “pengorbanan” ini ADIL kepada rakyat Sabah??
Mengapa pula Kerajaan Persekutuan tidak meminta supaya Sarawak “berkorban” dengan MENGEMBALIKAN gas semulajadi KAMI dari Kimanis;
atau meminta supaya rakyat-rakyat Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia “berkorban” dengan MELEPASKAN tenaga hidro dari Bakun supaya ia boleh diberi kepada Sabah;
ataupun meminta supaya TNB ‘mengorbankan’ sedikit daripada keuntungan mereka dengan menggunakan sumber-sumber tenaga yang selamat dan bersih — walaupun mahal — supaya menguntungkan rakyat Sabah?
Inikah semangat sebenar “1Malaysia” – dengan asyik mengharapkan Sabah sahaja yang berkorban, tapi yang lain TIDAK PERLU berkorban? Adakah Sabah sudah menjadi sebuah “wilayah jajahan”??
Begitukah caranya Barisan Nasional menunjukkan kesyukurannya terhadap negeri Sabah, yang disifatkan sebagai “Simpanan Tetap”, “Negeri Biru (warna parti BN)”?!
Wahai YAB Perdana Menteri yang dicintai,
Sudah tiba masanya pihak Barisan Nasional/Kerajaan Persekutuan TIDAK LAGI mempersoalkan apakah sumbangan yang boleh diberi oleh Negeri Sabah KEPADA Barisan Nasional/Kerajaan Persekutuan, tetapi mulai bertanya:
Apakah sumbangan yang boleh diberi OLEH Barisan Nasional/Kerajaan Persekutuan kepada Negeri Sabah??
Kami yakin bahawa Datuk Seri akan terus membela nasib rakyat Sabah. Terima kasih banyak-banyak.
http://sandakan.wordpress.com/