Fitnah Terhadap Anwar, Ujian Terhadap Kita
Tarikh : Wednesday, April 27 @ 06:00:00 MYT
Topik : Analisis Isu


Selama hampir 14 tahun Malaysia diselubungi oleh episod suka duka seorang manusia bernama Anwar Ibrahim. Sama ada anda penyokong atau musuhnya, kita sama akui bahawa tiada warganegara atau manusia yang begitu diberi perhatian sebagai musuh oleh pemerintah negara kita sejak merdeka. Kita juga sama akui dia telah dikenakan pelbagai tuduhan, tahanan dan liputan negatif oleh media massa rasmi negara, namun dia kelihatannya masih berani menentang. Juga nampaknya majoriti rakyat masih enggan percaya kesalahannya. bahkan perbicaraannya dianggap memalukan sistem pendakwaan dan perundangan negara yang sebelumnya dianggap suci meski pun ada cacat celanya

Kebelakangan ini ada yang telah muak dengan fenomena ini. Di sebalik mereka yang makin keras mengutuk kerajaan yang semakin tersasar haluan politik dan hilang pertimbangan kemanusiaan, terdapat mereka yang `patah hati'. Mereka sebaliknya menyalahkan orang yang ditimpa malang dalam episod suram pertimbangan rasional keadilan di negara ini. Maka kedengaran suara mereka yang meminta di`hapuskan' sahaja watak malang itu kononnya agar perjuangan politik negara ini terus berkembang mencapai kejayaan yang sepatutnya. Kemungkinan mereka adalah golongan yang diupah untuk mencetuskan `reformasi songsang' atau golongan keliru atau juga mereka yang termakan umpan propaganda bernilai ratusan juta. Atau kanak-kanak jalanan politik yang kurang membaca dan merasa.

Fitnah terhadap Anwar adalah ujian terhadap kita. Justeru Anwar dihukum lantaran berjaya menyuntik kesedaran dan kebangkitan rakyat. Oleh itu Anwar mesti dihukum lagi agar dia tidak mampu menerajui rakyat membuat perubahan sebagai mana yang sepatutnya. Anwar mungkin silap dalam tindakan dan perancangan bahkan mungkin lemah sehingga diambil kesempatan oleh musuh. Namun siapa lagi yang sanggup dan terbukti berwibawa untuk menyelamatkan negara ini sebagaimana yang disedari? Mulut yang berkata tidak sama seperti bahu yang memikul perjuangan. Meski pun lisan dan pena boleh menjadi senjata ampuh perjuangan, namun perwira sejatilah yang menahan senjata di medan pertempuran.

Anwar bukan manusia sempurna. jauh sekali malaikat, nabi atau insan karamat. Namun jika ada yang mengangkat P. Ramlee sebagai insan seni bertaraf wali, kenapa manusia ini yang menongkah setiap hari dengan caci maki pemerintah hanya kerana berjuang untuk ummah tidak layak digelar sebuah anugerah? Bila para nabi difitnah, dihina dan didera, pengikutnya turut berkongsi azab bahkan hilang nyawa. Namun mereka redha dan terus berjuang walau pun para nabi telah hilang ditelan zaman. Perjuangan kemanusiaan dan kemerdekaan di seluruh dunia pun begitu jua. Tiada batasan bangsa mahu pun agama. Pimpinanlah yang berada di puncak penindasan dan sasaran fitnah. Manakala pengikut sentiasa bersedia melindungi pimpinan dan bersedia pula meneruskan perjuangan.

Anwar telah diuji. Jasad dan mindanya telah berhadapan dengan ujian. Kita yang mengaku cintakan keadilan bagaimana? Perjuangan keadilan ini untuk Anwar sahaja atau untuk kita dan keturunan kita? Anwar sedang berjuang. Kita lebih banyak memerhati dan membuat kesimpulan. Anwar telah menawarkan diri sebagai pemimpin dan bersedia menghadapi apa juga cabaran. Kita layak untuk menjadi orang yang dipimpin dan seharusnya bertindak seperti orang yang dibawah pimpinan. Anwar berani berhadapan isu tetapi tidak hilang fokus dengan perjuangan. Kita tiada isu, mungkin tidak berani berhadapan jika ditakdirkan dan apakah jaminan kita masih fokus kepada perjuangan untuk anak cucu cicit kita?

Anda yang mengkritik pimpinan Pakatan Rakyat secara leluasa konon atas dasar muhasabah meski pun ada kala lupa adab dan sedar status dan tahap diri anda. Mereka sedang  berjuang. Anda sedang mengintip ruang untuk dibicarakan. Mereka sedang membina laluan kejayaan (di dunia dan akhirat) lantaran kedudukan pemimpin amanah dan mujtahid sentiasa berpeluang menerima ganjaran Allah. Anda rasa anda masih di medan?

Lihatlah Anwar. Dia adalah seorang tua yang suatu ketika akan meninggalkan kita. Dialah seorang tua yang sedang mengukir sejarah untuk kita. Tidakkah anda boleh mengasihani dia. Sekurang-kurangnya kerana orang tua itulah terbuka jalan bagi kita mengenal kejahatan dan keangkuhan sebuah pemerintahan regim bernama Barisan Nasional.

JOM SELAMATKAN MALAYSIA. MULAKAN DARI DIRI KITA.



Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : tranung2006@yahoo.com atau tranung2006@gmail.com
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online v11
http://www.tranungkite.net/v11
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=5214