Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:32 pm Post subject: Tazkirah Facebook
TAZKIRAH FACEBOOK 1 (Disember 12, 2011)
Ilmu ada 2 bahagian :
1. Ilmu fardhu 'ain
2. Ilmu fardhu kifayah.
Ilmu fardhu 'ain, semua kena tahu dan buat. Kalau sengaja tak tahu, berdosa. Ilmu fardhu kifayah, cukup kalau ada orang yang tahu dan buat, orang lain semua terselamat daripada dosa. Tapi kalau semua dalam sesuatu komuniti itu tak tahu, semua berdosa.
Ilmu fardhu 'ain (yang semua mesti tahu itu) ada 3 bahagian utama.
1. Tauhid/ Usul
2. Fiqh/ Syariat
3. Tasawuf/ Akhlak zahir dan batin.
Seandainya sengaja tak tahu salah satu...berdosa.
Dalam banyak-banyak ilmu agama ini, hanya ada 2 ilmu yang merupakan jalan ke akhirat iaitu :
1. Ilmu mukasyafah
2. Ilmu mu'ammalah.
Ilmu-ilmu agama yang lain, belum merupakan ilmu jalan ke akhirat lagi. Semuanya masih bersangkutan dengan maslahat keduniaan...... walaupun menghafaz Quran 30 juzuk, hadith 100,000, mahir ilmu mustalah hadith, pakar dalam ilmu haraki, jaguh dalam bahasa Arab, tok guru dalam ilmu solat-solat sunat dan lain-lain.
Ilmu mukasyafah... tak semua orang mampu menanggungnya. Hanya orang-orang terpilih. Tapi, paling kurang :
1. mesti mengakui kewujudan ilmu ini, dan
2. menghormati ahli-ahlinya.
Jika tidak, dikhuatiri 'buruk kesudahan kita' (kata Imam Al-Ghazali).
Ilmu mu'amalah pula, semua orang berupaya menanggungnya. Maka ia wajib (dah fardhu 'ain, tentu le wajib) mempelajarinya. Tak berusaha belajar... berdosa.
Persoalannya... sudah selesaikah ilmu-ilmu fardhu 'ain kita?
Raaaamai orang menyibukkan diri dalam ilmu-ilmu fardhu kifayah (kononnya pejuang/pendakwah/ agamawanlah tu)... tapi... mengabaikan yang fardhu 'ain.
Antara yang fardhu 'ain dengan yang fardhu kifayah, yang fardhu 'ain adalah lebih utama untuk diselesaikan. Utamakan YANG LEBIH PENTING, berbanding YANG PENTING-PENTING. Begitu salah satu saranan dalam dakwah tajdid yang sebenar.
Bagaimana dengan ILMU LADUNI? Ilmu laduni ialah ilmu yang datang terus daripada Allah, tetapi ia tidak sekuat wahyu.
Dengan istiqamah melakukan 3 syarat di bawah, barulah pintu ilmu laduni terbuka.
Bagaimana cara hendak mendapatkan ilmu laduni?
1. Kena mengambil tahu semua aspek ilmu agama, dan kuasai dengan agak banyak.
2. Amalkan apa yang sudah kita ketahui selama ini.
3. Kena banyak berfikir.
PENUTUP - Semua isi tazkirah hari ini bukan main pakai tulis, semuanya ada dalam kitab Ihya' 'Ulumiddin dan Risalah Al-Laduniyyah. Kedua-duanya karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Sekian, Wassalam : )
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:35 pm Post subject:
TAZKIRAH FACEBOOK 2 (Disember 13, 2011)
Dalam usaha kita berdakwah memperbaiki diri dan orang lain, pastinya kita akan diuji oleh Allah SWT. Antara ujian yang mesti kena pada kita ialah... diperlekehkan orang. Para rasul yang jelas-jelas benar pun menerima lekehan orang, apatah lagi kita yang faqir lagi hina.
Buat baik pun orang kata, buat jahat pun orang kata. Pakai purdah pun orang kata, tak bertudung pun orang kata. Berserban orang mengata, berseluar pendek pun orang mengata juga.
Rajin pergi dengar tok guru mengajar pun orang perlekeh, tak pergi-pergi pun orang perlekeh juga.
Pendek kata, kita buat baik ke, buat yang tak baik ke, biasanya tak terlepas daripada lekehan orang.
Oleh kerana buat yang mana satu pun kita tetap akan diperlekehkan orang, maka terus sahajalah buat dan sebarkan kebaikan.
Teruslah berdakwah walau sekadar satu ayat, walau sekadar menunjukkan satu contoh.
Selamat berjaya kepada semua orang yang berjiwa da’i. Amin.
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:35 pm Post subject:
TAZKIRAH FACEBOOK 3 (Disember 14, 2011)
Hampir setiap hari kita membaca akhbar, tulisan-tulisan di internet, sarikata di televisyen, buku, majalah, tulisan-tulisan berkaitan dengan kerjaya dan pelajaran kita... dan sebagainya. Begitu juga dengan menonton dan mendengar muzik. Banyaknya kan? Tapi...
...berapa lamakah kita peruntukkan sehari untuk menatap dan membaca kata-kata Tuhan? Ada tak? Ke tak ada langsung? Allamak...!!!
Al-Quran terdiri daripada 30 juzuk. Hari-hari dalam sebulan juga umumnya berjumlah 30 hari. Oleh itu, memang sesuai sangatlah jika kita CUBA menghabiskan 1 juzuk Al-Quran sehari. Begitulah antara harapan Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna kepada umat Islam, khususnya para da’i.
Tak mampu? Tidak mengapalah. Pelan-pelan lah, ye tak? Tapi... takkanlah dalam tempoh 24 jam itu tak mampu untuk membuka Al-Quran dan membaca 1 ayat? Tak mampu juga? Tak apalah. Tapi... takkanlah tak mampu untuk sekadar membuka dan melihat selama satu saat? Tak mampu juga? Hmmm... beginilah. Paling kurang... dalam sehari, sentuhlah kitab Al-Quran itu sekali, tak perlu buka pun. Bolehkah istiqamah yang ini?
Tak boleh jugak? Amboih! Melampau dah tu! : )
Tahniah kepada mereka yang berjaya menatap dan membaca Al-Quran setiap hari. Ada yang istiqamah 2 mukasurat, ada yang setengah juzuk, ada yang satu juzuk, ada yang lebih lagi... dan lain-lain.
Kepada yang tidak mahir bahasa Arab, dakwah tajdid yang segar menyarankan... memadailah membaca setengah juzuk sahaja sehari, DAN... bacalah terjemahannya.
Kepada yang belum bermula, mulakan hari ini. Boleh?
Mulakan dengan 2-3 ayat sehari? Sudah cukup cantik dah tu. Asalkan...istiqamah... berterusan setiap hari. Pakailah gear 1 dahulu,kemudian barulah naik ke gear-gear seterusnya. _________________ http://alexanderwathern.blogspot.com/<br>http://myalexanderwathern.blogspot.com/<br>
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:36 pm Post subject:
TAZKIRAH FACEBOOK 4 (Disember 15, 2011)
Ada satu tanggungjawab yang sangat ramai orang lupakan, iaitu menjaga kehormatan darah yang sedang kita bawa pada setiap hari. Darah siapakah yang kita bawa? Ke manakah kita membawanya setiap hari, dan selama ini?
Darah yang kita bawa ini ialah darah yang mulia. Semua orang membawa darah yang mulia, kecualilah dia anak buluh betung, junjung buih, muntah lembu atau sebagainya.
Ada orang membawa darah mulia Nabi Muhammad dalam tubuhnya, iaitu para keturunan baginda. Orang lain?
Tetap membawa darah-darah yang mulia. Mungkin darah Nabi Ibrahim. Boleh jadi darah Nabi Nuh.
Sekurang-kurangnya pun... darah Nabi Adam. Maksudnya, semua kita membawa darah-darah yang mulia. Semua kita berketurunan orang-orang mulia.
Amanah memelihara kehormatan darah suci yang kita kandung ini bukan main-main tanggungjawab.
Kesuciannya dijaga dengan mengamalkan Ilmu Penahan Api Neraka...
iaitu berusaha mengerjakan segala yang Tuhan suruh, sekalipun yang kecil-kecil...
dan berusaha meninggalkan segala yang Tuhan larang, sekalipun yang kecil-kecil.
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:38 pm Post subject:
Scofield7 wrote:
Tajuk ingt nk hentam tazkirah2 dalam facebook
Takdelah... ini betul2 tazkirah di Facebook.
TAZKIRAH FACEBOOK 5 (Disember 16, 2011)
Cacing berada di dalam LAUTAN tanah, tetapi ia tidak menyedarinya. Ikan berada dalam LAUTAN air, tetapi ia tidak menyedarinya. Manusia berada dalam LAUTAN udara, tetapi kita juga tidak menyedarinya. Hanya setelah orang memberi tahu yang kita sedang berada dalam lautan udara, barulah kita menyedarinya, kerana selama ini yang kita tahu hanyalah lautan air, iaitu yang dinamakan laut.
Kita juga sebenarnya sedang berada dalam LAUTAN ruang langit iaitu angkasa lepas, kerana bumi itu sendiri dan ruang di sekelilingnya berada di tengah-tengah lautan angkasa lepas. Kita tidak pernah menyedarinya, kecuali setelah diberitahu oleh seseorang. Langit dan isinya pula berada dalam LAUTAN rahmat dan kasih sayang Allah.
Jadi, LAUTAN itu ada banyak, bukanlah lautan air sahaja. Kita menyedari semua ini setelah minda kita dibuka oleh seseorang. Maksudnya, kita memerlukan guru. Lebih-lebih lagi dalam bidang agama, bidang kerohanian.
Dengan bantuan guru-guru, ruang pemahaman dalam diri kita akan lebih mudah terbuka. Dari itu, carilah guru-guru. Berguru biar banyak, jangan bergantung penuh hanya kepada seorang guru, walaupun kita mungkin akan menghabiskan lebih banyak masa dengan seseorang guru itu. Setiap guru ada kekurangannya kecuali Rasulullah saw. Dengan mengambil ilmu daripada beberapa orang guru, barulah kelemahan seseorang guru itu dapat ditampung oleh guru-guru yang lain.
Selamat mencari guru. Selamat mencari pembimbing. Selamat mencari mursyid. Cuma yang mesti kita ingat selalu... bahawa PADA HAKIKATNYA... ilmu datang daripada Allah, bukan daripada guru. Guru hanyalah tempat laluan. _________________ http://alexanderwathern.blogspot.com/<br>http://myalexanderwathern.blogspot.com/<br>
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:40 pm Post subject:
TAZKIRAH FACEBOOK 6 (Disember 17, 2011)
Umumnya manusia jenis yang pelupa, termasuklah saya. Suatu hari saya mencari-cari cermin mata saya di dalam bilik tidur. Puas saya cari tapi tidak terjumpa juga. Akhirnya saya berhenti rehat dengan duduk di tepi katil.
Saya mendongak memandang ke cermin almari di hadapan saya, saya tertawa seorang diri. Kenapa ya?
Rupa-rupanya cermin mata itu sudah sedia saya pakai, dan saya sedang memandang melaluinya sekarang.
Bagaimanalah saya saya boleh terlupa sehingga tidak dapat membezakan antara penglihatan kabur dengan penglihatan cerah...?
Itu satu contoh betapa pelupanya manusia.
Atas dasar itulah maka manusia perlu sering memperingat dan diperingat, lebih-lebih lagi dalam hal ehwal yang bersangkutan dengan hidupnya yang selama-lamanya... yang bakal didudukinya di akhirat nanti.
Di sinilah berperanannya tazkirah, sebagaimana yang sedang anda baca sekarang.
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:41 pm Post subject:
TAZKIRAH FACEBOOK 7 (Disember 18, 2011)
Dulu kita di medan roh. Kemudian di medan kandungan. Sekarang di medan dunia. Selepas ini kita akan melalui beberapa medan lagi... yang tempoh masanya tidaklah kita ketahui.
Apa persiapan kita untuk ke medan sakaratul maut?
Apa persiapan kita untuk ke medan alam kubur?
Apa persiapan kita untuk ke medan mahsyar?
Apa persiapan kita untuk ke medan timbangan amal?
Apa persiapan kita untuk ke medan titian?
Berapa lama untuk setiap satu medan?
WaAllahua’lam.
Berapa banyak persiapan yang sudah kita buat untuk pergi ke medan-medan itu?
Ataupun kita tak habis-habis sibuk memenuhkan keperluan kita di medan dunia ini sahaja?
Buatlah persiapan, siapkanlah perbekalan. Kalau kita sendiri tidak menyiapkan perbekalan kita,siapa lagi yang kita hendak harap menyiapkannya? Kawan-kawan? Jiran? Majikan?
Apa persiapan yang sudah dibuat, yang hendak dibawa itu nanti? Gaji? Wang simpanan di bank? Pangkat sekarang? Jawatan akan datang? Rumah kita dan hiasan luar dalamnya? Pakaian kita yang cantik-cantik di dalam almari? Tugas-tugas kita yang cemerlang di tempat kerja? Kenderaan kita yang selesa itu?
Bolehkah dibawa itu semua ke medan-medan yang disebutkan tadi?
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:48 pm Post subject:
Ok Riwaha : )
TAZKIRAH FACEBOOK 8 (Disember 19, 2011)
Jangan meletakkan kebenaran itu pada masyhurnya nama, tingginya pangkat, besarnya jawatan, banyaknya gaji, ramainya pengikut, banyaknya tulisan, pelbagainya protfolio, berlambaknya kelulusan, panjangnya janggut, besarnya serban, berjelanya sanad, banyaknya hafazan, sedapnya suara mengalun Quran, banyaknya pujian orang, selalunya masuk radio tv, padatnya jadual kuliah, banyaknya mengIslam dan mengislah orang, ada PHD, orang universiti, ber'title' mulia dan seumpamanya.
Kebenaran tetap kebenaran sekalipun seseorang itu langsung tiada nama, pangkat rendah, berjawatan kecil, bergaji sedikit, tiada pengikut, tiada tulisan, tiada sebarang portfolio, sedikitnya kelulusan, nipisnya janggut, tidak berserban, tidak bersanad, sedikit hafazan, suara tak sedap, dihina orang, tak pernah masuk media, tidak mengajar agama, kelulusan Darjah 6 dan sebagainya.
_________________ http://alexanderwathern.blogspot.com/<br>http://myalexanderwathern.blogspot.com/<br>
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:49 pm Post subject:
TAZKIRAH FACEBOOK 9 (Disember 20, 2011)
Dalam bidang apa pun, jika kita hendak menjadi antara yang terpilih, kita mestilah mengorbankan banyak masa kita untuknya. Tidak sanggup mengorbankan masa kita? Pendek kata, tak ada harapanlah untuk menjadi antara yang terpilih.
Tanyalah mana-mana ahli sukan, untuk menjadikan diri mereka antara yang terpilih ke peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa, berapa banyak masa yang sudah mereka korbankan untuk sukan yang mereka ceburi itu?
Bolehkah terus-terus sahaja dipilih sebagai wakil negeri dan negara tanpa mereka mengorbankan banyak masa sebelum itu? Tentunya tidak boleh.
Berapa jam sehari mereka peruntukkan untuk sukan yang mereka ceburi itu? Contohnya sukan badminton, bolasepak, bina badan, tinju, lumba basikal dan lain-lain.
10 minit sehari? Setengah jam sehari? 6 jam sehari?
Sudah berapa lama mereka berbuat begitu sebelum berjaya ke peringkat negari, negara dan antarabangsa? Sebulan? Setahun? Lima tahun?
Mana mungkin bercita-cita untuk bermain sebagai wakil negeri dan negara tanpa mengorbankan banyak masa sebelum itu. Angan-angan kosong namanya.
Begitulah juga cita-cita kita untuk ke syurga. Berapa banyak masa dalam sehari, seminggu, sebulan dan lain-lain yang sudah kita korbankan untuk layak ke syurga?
Cukupkah dengan 10 minit sehari? 1 jam sehari?
Untuk menjadi antara yang terpilih ke syurga, kita mestilah sanggup mengorbankan banyak masa juga untuknya.
Jika tidak, kita seumpama seorang yang berlatih bermain bolasepak sejam sehari, tetapi berangan-angan untuk terpilih bermain di peringkat antarabangsa. _________________ http://alexanderwathern.blogspot.com/<br>http://myalexanderwathern.blogspot.com/<br>
Joined: Apr 13, 2007 Posts: 121 Location: Malaysia
Posted: Fri Oct 05, 2012 9:51 pm Post subject:
TAZKIRAH FACEBOOK 10 (Disember 21, 2011)
Apa yang kita cintai? Apa yang PALING kita cintai? Antara tanda cinta itu adalah SELALU TERFIKIR-FIKIR dan selalu TERSEBUT-SEBUT dalam keadaan SUKA. Perkara yang kita suka dan selalu berada di fikiran kita dan selalu bermain di bibir kita, itulah yang kita cintai. Sedar atau tidak, begitulah hakikatnya. Seseorang yang mencintai seseorang yang lain, tentunya SUKA untuk selalu teringat dan selalu menyebut-nyebutnya.
Renungkan kembali... muhasabah diri... dalam sehari-hari, apakah yang banyak kita ingat dan banyak kita sebutkan tentangnya (dalam keadaan suka)? Apakah yang paling banyak kita ingat dan paling banyak kita lafaz-lafazkan, bual-bualkan (dalam keadaan suka)?
Allah? Rasul-Nya? Agama? Dakwah?
Atau kerjaya? Hobi? Rumah? Kenderaan? Keluarga? Wang? Hiburan? Gossip? Isu semasa? Pelajaran? Sukan? Pasangan?
Yang PALING BANYAK kita suka fikir-fikirkan, lafaz-lafazkan dan sembang-sembangkan... itulah yang PALING KITA CINTAI. Jadi, selama hari ini dalam sehari-hari, mana yang paling banyak, yang PALING kita cintai?
Pesan Nabi : “Tidak beriman seorang dari kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya LEBIH DICINTAINYA daripada yang lain-lain.” (Bukhari & Muslim)
Pesan baginda lagi : “Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) LEBIH DICINTAI daripada isterinya, hartanya dan sekelian manusia.”(Bukhari & Muslim)
All times are GMT + 8 Hours Goto page 1, 2, 3, 4, 5Next
Page 1 of 5
You cannot post new topics in this forum You cannot reply to topics in this forum You cannot edit your posts in this forum You cannot delete your posts in this forum You cannot vote in polls in this forum
Mega link (link-link yang lain)
* Link laman yang dipaparkan adalah yang aktif sahaja. Laman tidak dikemas kini lebih daripada sebulan akan dikeluarkan secara automatik..
[Untuk yang lain-lain sila klik Mega Link atau Link Pilihan pada atas Homepage ini]
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER @ IBT (IKATAN BLOGGER TERENGGANU - IBT) Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan. (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)