Trauma kerana ekzema
Tarikh : Sunday, February 19 @ 13:17:28 MYT
Topik : Kesihatan


KULIT merupakan tisu nipis membaluti keseluruhan tubuh manusia yang amat sensitif. Sedikit perubahan iklim mahupun tekanan boleh menyebabkan kulit kita menjadi sakit dan terdedah dengan pelbagai penyakit kulit.

Antaranya penyakit ekzema yang ternyata boleh mengundang kemudaratan sekiranya tidak dirawat awal.

PERSEKITARAN BERSIH PUNCA UTAMA

Kulit manusia merupakan organ tubuh yang mudah bertindak balas secara langsung dengan elemen-elemen di luar tubuh seperti cuaca, sinar matahari, haba, suhu dan lain-lain.

Tindak balas ini menyebabkan kulit secara tidak langsung terdedah dengan pelbagai persekitaran yang boleh mengakibatkan ketidakselesaan. Ia juga punca terjadinya salah satu penyakit kulit yang dipanggil Ekzema.

Ia boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, jantina mahupun kaum.

Ramai menyangka persekitaran kotor punca utama pada jangkitan atau kegatalan kulit, tetapi adakah anda tahu bahawa persekitaran yang bersih juga boleh mengakibatkan jangkitan serta alahan pada kulit?

Penyakit ekzema, kegatalan atau radang kulit misalnya, lebih banyak ditemui di negara maju yang kebiasaan rakyatnya mengambil berat mengenai kebersihan.

Bilangan penghidap Ekzema yang tinggi dicatatkan di negara maju sejak tiga dekad yang lalu.

Ia barangkali disebabkan persekitaran terlalu bersih di negara maju hingga membuatkan sistem imun badan seseorang itu mengelirukan, seterusnya sukar untuk membezakan antara unsur baik ataupun jahat.

Sistem imun malas ini akan bertindak balas dengan setiap bakteria yang ada hingga membuatkan seseorang terlampau sensitif serta mudah mendapat alahan.

SEKSA MENGGARU SEHINGGA LUKA

Faktor genetik atau imunologik merupakan risiko mendapat seseorang mengalami masalah penyakit kulit ini.

Jika ada keturunan keluarga yang menghidapnya, tidak mustahil anaknya juga berisiko.

Selain itu, keadaan persekitaran disebabkan oleh banyak faktor pemakanan, persekitaran, penggunaan minyak wangi, penggunaan sabun, alahan makanan dan sebagainya juga menjadi punca Ekzema.

Berikutan dengan sensitiviti kulit manusia, pesakit Ekzema kebiasaannya akan berasa sangat gatal, kemerahan di kulit dan seterusnya melepuh.

Kemudiannya akan menyebabkan kegatalan kulit yang membuatkan pesakit untuk terus menggaru. Akibat kerap menggaru, kulit bukan saja semakin rosak, tetapi membolehkan bakteria Staphylococcus aureus yang 95 peratus ada pada kulit penghidap ekzema atopik (permukaan), berjangkit dan membiak.

“Apabila bakteria memasuki bahagian kulit yang renggang dan rosak kerana digaru, resapan toksin membuatkan kulit terus membengkak dan kegatalan yang teramat.

Jangkitan ini akan memperlahankan lagi penyembuhan penyakit ini. Lama-kelamaan, kulit semakin bersisik tebal dan berkerak”, jelas Perunding Dermatologi di Hospital Hammersmith, United Kingdom, Prof Anthony Chu.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/x3
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=33646