PAS Bayan Baru Usul batalkan Tahaluf Siyasi Dengan PKR
Tarikh : Monday, March 20 @ 07:58:55 MYT
Topik : Laporan




Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bayan Baru kali ke-29 pada 19 Mac 2017 bertempat di Hotel Seri Malaysia Bayan Baru juga telah mengambil langkah yang sama dengan mengusulkan supaya PAS membatalkan hubungan Tahaluf Siyasi atau Kerjasama Politik dengan Parti Keadilan Rakyat, berasaskan hujah hujah berikut:

PKR tidak sedikit pun menghormati PAS sebagai sebuah rakan tahaluf ketika dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila:

A) PKR dengan jelas telah *menurut telunjuk DAP yang mengumumkan pembubaran PR serta mengisytiharkan kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

B) Tindakan DAP memecat Pimpinan PAS dan Ahli PAS di Pulau Pinang seperti pemecatan Ahli Majlis MPPP pada tahun 2014 tanpa merujuk kepada Pas ketika itu tanpa sebab yang munasabah dan tidak memberi pembelaan sewajarnya oleh PKR malah Penasihat PKR Dato Seri Anwar Ibrahim ketika itu ada mengeluarkan kenyataan tidak akan memberi pembelaan kepada pemecatan berkenaan.

C) PKR juga telah gagal membela dan mempertahankan Islam di Pulau Pinang apabila secara terang-terangan mencampuri urusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang
.
– Hasil dari campurtangan itu dalam urusan Fatwa terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan malah ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

– Tindakan tidak bertanggungjawab Exco Agama dari PKR ini telah menunjukkan kepentingan politik DAP lebih diutamakan mendahului kepentingan Islam.

D) Selain dari itu PKR telah menunjukkan Sikap lebih menunjukkan komitmen dan mesra dalam membantu DAP dan PAN dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar, Sungai Besar dan pilihanraya negeri Sarawak.

E) Dasar PAS di peringkat Pusat juga telah membuat penetapan tidak akan bekerjasama dengan mana mana parti yang menjalinkan hubungan dan kerja sama dengan DAP dan PAN. Maka tindakan hubungan mesra PKR dengan DAP dan PAN ini telah jelas menunjukkan ia pertentangan dengan dasar PAS.

Berdasarkan hujah hujah di atas, PKR tidak mampu menjadi rakan yang baik, tidak memberi nilai hatta merosakan usaha memartabatkan Islam dan tidak menghormati persahabatan ,kerjasama serta bantuan jentera PAS selama ini dalam Pilihanraya lalu sejak tahun 1999 sehingga 2013 yang telah diberi oleh PAS kepada PKR.

Maka dengan ini diusulkan supaya hubungan tahaluf PAS dengan PKR dibatalkan.

Sekian terima kasih.

Iszuree Ibrahim
Yang Dipertua Pas
Kawasan Bayan Baru





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/x3
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=34095