PAS Kolektifkan Peranan Ulama Dan Teknokrat
Tarikh : Monday, March 20 @ 12:14:23 MYT
Topik : Berita


Oleh IZWAN ABDUL HALIM

CYBERJAYA: Walaupun mempunyai Majlis Syura Ulamak (MSU), yang memastikan perjalanan PAS tidak bercanggah Quran, hadis, ijmak ulama dan qias, tetapi dalam permasalahan semasa, MSU memanggil pakar-pakar dalam jurusan berkait untuk membuat keputusan.



Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerangkan, dalam menghadapi masalah dualisme pendidikan, PAS telah cantumkannya menerusi penubuhan Institut Latihan Kepimpinan dan Pengkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

"Ilham ini ialah nak mengulamakan mereka yang berpendidikan Barat dan mengordinarikan mereka yang mengaji agama, itu tujuan Ilham. Tapi kecil lagi, tak sampai peringkat yang besar.

"Pak Nasir di Indonesia daripada Parti Masyumi pernah nak mengulamakan profesional, memprofesionalkan ulama. Sepatutnya ulama (dan) profesional ini dua-dua satu sahaja.

"Ulama juga profesional dalam bidang perkara yang berkait dengan agama, tak ada pemisahan itu, patutnya tak ada pemisahan ini, ini kerana kita terikut dengan media," ujarnya.

Beliau menegaskan perkara itu dalam sesi dialog pada Konvensyen Profesional Malaysia bertema "Mempersada Kerajaan Teknokrat" di Promenade, Garden Residence, di sini 18 Mac baru-baru ini.

Tuan Guru mengimbas kisah Al-Marhum Syeikh Mahmud Shaltut yang berfatwa halal faedah bank apabila ditanya mengenai perkarabitu sedangkan beliau tidak tahu masalah ekonomi semasa.

Lalu ceritanya, ahli-ahli ekonomi Islam yang memahami ekonomi Barat berjumpa Mahmud Shaltut dan memberitahunya faedah bank adalah riba yang lebih dahsyat daripada riba perseorangan.

Shaltut katanya, merujuk balik fatwa beliau, menunjukkan perlunya ulama mengetahui masalah semasa kerana kitab-kitab fekah banyak menerang disekitar ia dikarang dan berkumpul bersama teknokrat secara kolektif.

Tuan Guru turut menerangkan mengenai pemisahan kuasa dalam Islam antara Legislatif, Eksekutif dan Judisiari di mana tanpanya akan menyebabkan pelbagai kecelaruan.

Jelasnya banyak sistem pentadbiran Barat yang diciplak dari Islam dan oleh sebab itu bila PAS memerintah negara, tidak menjadi masalah pegawai-pegawai mengikut sistem pentadbiran British, tetapi masukkan roh Islam.

"Macam mana yang kuat Umno ini kita memerintah nak pecat ke? Tak boleh, kita kena faham, itu bukan cara kita. Bila kita memerintah, pegawai yang sama. Cuma kena ikut cara kita, dia kena ikut kerajaan yang memerintah.

"Bila kita memerintah kali kedua di Kelantan, lepas itu kedua di Terengganu, pegawai kerajaan walaupun mereka wala' setia kepada Umno, bila kita memerintah, kita tunjuk cara kita, pengurusan kita kerajaan yang bersih.

"Kerajaan yang tak menekan, tak menindas, menyebabkan pegawai itu jadi berubah, dia berubah dan bersama dengan kita pada akhirnya. Akan jadi begitu, yang Umno pun tak koho Umno," ujarnya disambut ketawa.

Menjawab mengenai demokrasi, Tuan Guru memetik pandangan Imam al-Maududi dan Mussolini dengan beliau menegaskan bahawa Islam meletakkan Ahlul Halli Wal 'Aqdi.

Iaitu jelasnya, mereka yang dipilih menjadi pemimpin dengan syarat-syarat agama, ilmu dan akhlak serta dipilih rakyat.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/x3
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=34100