PKR Sabah, S'wak tolak RUU Hadi Belakangi Pendapat Anwar Ibrahim
Tarikh : Friday, April 21 @ 21:34:59 MYT
Topik : Berita




PKR Sabah dan Sarawak menolak Rang Undang-undang ahli persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Keputusan itu ditegaskan, meskipun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan pendirian bahawa ia adalah hak Abdul Hadi untuk membentangkan RUU berkenaan.

"Kami merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin PKR yang sependapat dengan (Ketua Umum PKR) Anwar Ibrahim dalam 'menghormati hak' Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membentangkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

"Kenyataan-kenyataan ini telah diterima secara negatif di Sabah dan Sarawak dan disalah anggap oleh sesetengah kita bahawa dalam PKR menyokong rang undang-undang tersebut.

"Kami bersetuju bahawa Hadi Awang, atau sememangnya mana-mana anggota parlimen, adalah berhak membentang rang undang-undang, tetapi itu adalah setakat perjanjian kami.

"Dengan hormat, kami berbeza dengan pandangan bahawa rang undang-undang itu adalah semata-mata untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah.

"Kami menentang rang undang-undang itu yang jelas satu cara untuk membuka jalan kepada hudud, yang akan memperkenalkan dua sistem keadilan jenayah, seperti yang dijelaskan oleh Profesor Shad Faruqi dalam tulisan 'Enhancing syariah courts' powers', yang diterbitkan pada 9 Jun 2016 dalam The Star," jelas kenyataan bersama tersebut.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/x3
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=34644