Teknik terkini bedah otak
Tarikh : Saturday, May 06 @ 10:40:43 MYT
Topik : Kesihatan


Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Otak adalah bahagian paling penting dalam anatomi manusia untuk menjamin kualiti hidup yang optimum kerana ia organ paling kompleks diibaratkan sebagai takhta kepintaran, penterjemah pancaindera, pemacu pergerakan badan dan pengawal tingkah laku.

Apabila berlaku sesuatu tidak diingini membabitkan rawatan saraf, bahagian otak perlu diberi penjagaan paling rapi, apatah lagi jika ia membabitkan prosedur invasif atau pembedahan.

Pembedahan otak boleh menimbulkan ketakutan, namun kemahiran pakar perubatan profesional boleh memberi kelegaan dan sinar baru kepada penghidap pelbagai penyakit atau mengalami masalah perubatan.

Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf Pusat Perubatan Tropicana, Dr Saiful Razman Mohd Noor berkata, seiring peredaran zaman, teknik pembedahan kepala atau otak turut mengalami pembaharuan dikenali sebagai teknik supraorbital keyhole craniotomy.

Jelas beliau, teknik itu sudah lama diperkenalkan di Eropah tetapi hanya dua tahun kebelakangan ini dipraktikkan di Malaysia.

“Teknik supraorbital keyhole craniotomy mula dipraktikkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) diikuti Hospital Sultanah Nurzahirah Kuala Terengganu tetapi kini kami turut menyediakan perkhidmatan berkenaan.

“Teknik itu sesuai untuk mereka yang mempunyai ketumbuhan atau kanser otak, salur darah yang tidak normal, pembuluh darah pecah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai simptom sakit kepala yang secara perlahan menjadi semakin sakit dari minggu ke minggu atau bulan ke bulan supaya segera berjumpa doktor.

“Jangan ambil ringan simptom sakit kepala kerana boleh jadi anda berisiko mendapat kanser otak. Sebab itu disarankan membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengenal pasti masalah kesihatan pada peringkat awal,” katanya.

Antara kelebihan teknik supraorbital keyhole craniotomy ialah kadar sembuh yang lebih cepat, teknik pembedahan bukaan tempurung yang lebih kecil, pembedahan dilakukan dalam alis mata serta tiada kesan parut yang jelas, kurang risiko jangkitan kuman, kurang pendarahan dan sebagainya.

Konsep pembedahan lubang kunci (keyhole surgery) adalah mengeluarkan tumor secara selamat melalui bukaan kecil, bukaan yang lebih tepat yang meminimumkan kerosakan di sekitar kulit kepala, tempurung, otak, saluran darah dan saraf. Kini, pembedahan kepala bukan sesuatu yang menjadi igauan ngeri lagi.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/v12
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=34812