PAS tak halang untuk PKR letak jawatan, tapi lebih baik kekal
Tarikh : Wednesday, May 17 @ 16:26:45 MYT
Topik : Berita




PAS tidak menjangkakan Biro Politik PKR membuat keputusan drastik dengan mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta.

Walau bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata keputusan untuk kekal adalah lebih baik, meskipun parti itu tidak menghalang jika mereka mahu melepaskan jawatan masing-masing.

"Kami mengalukan mana-mana ahli PKR yang mahu kekal dengan lantikan itu supaya dapat bersama-sama memberi khidmat kepada rakyat... itu lagi penting.

"Bagaimanapun, kita tidak menghalang jika mereka mahu meletak jawatan, namun keputusan kekal (jawatan dalam kerajaan negeri) adalah lebih baik.

"Apa pun, ia terserah kepada mereka dan kita mengalu-alukan apa saja keputusan yang dibuat," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online selepas mesyuarat exco negeri, di Kota Bharu, hari ini.

Menurut Mohd Amar, keputusan itu adalah tindakan drastik pucuk kepemimpinan PKR, memandangkan pihaknya menjangkakan ketika ini adalah tempoh bertenang susulan isu hubungan kedua-dua parti terbabit.

Beliau yang juga timbalan menteri besar, turut dipetik berkata setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang surat daripada ahli PKR di negeri ini berhubung keputusan berkenaan.

"Bagi kerajaan, apa saja keputusan tidak menjejaskan pentadbiran negeri, cuma mereka akan rugi kerana tidak boleh berkhidmat kepada rakyat.

"Kami harap supaya mereka kekal sekurang-kurangnya hingga hujung tahun atau sehingga pilihan raya umum nanti," katanya.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/v12
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=34965