PAS masuk kuil, Beri penerangan tentang Akta 355
Tarikh : Wednesday, May 17 @ 16:28:56 MYT
Topik : Berita




PAS mahu merintis kembali hubungan dengan masyarakat bukan Islam.

Perkara itu dimulakan dengan kunjungan ke rumah-rumah ibadat golongan itu supaya kedua-dua pihak faham agama dan budaya masing-masing.



Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan semalam memuat naik kunjungan anggotanya di kawasan Batu di ibu negara ke Gereja Saint Mary, Kuil Ahthiswaran dan Kuil Buddha Sri Lanka di Sentul.

“Kami merintis pertemuan antara kaum ini bagi mewujudkan suasana harmoni antara kaum dalam masyarakat berbilang bangsa,” kata Nasrudin.

PAS Kawasan Batu diwakili oleh Nurul Islam Mohamed Yusoff, Azhar Yahya dan Salbiah Wahab.

Nurul Islam ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi berkata kunjungan mereka disambut baik.

Malah, menurutnya, seorang sami Buddha memberitahu mereka, sejak 30 tahun tinggal di situ, tak pernah ada pimpinan politik atau orang Islam datang untuk kunjungan mahabbah.

“Ini kali pertama dan dia sangat happy (gembira).

“Dia pun tanya tentang Islam dan kita bagi jawapan bahawa Islam tidak menghalang agama lain, malah kita sebagai orang Islam perlu menghormati agama lain.

“Kita terangkan ayat al-Quran- lakum dinikum waliyadin (untukmu agamamu, untukku agamaku) dan dia sangat happy,” katanya.

Beliau juga mendedahkan bahawa isu berkaitan pindaan Akta 355 untuk melipatgandakan hukuman mahkamah syariah turut berbangkit.

“Ada juga tanya pasal RUU dan kita bagi penjelasan tentang RRU tiada kaitan dengan bukan Islam, ia untuk orang Islam dan dari segi hukuman kita bagi penjelasan. Dan mereka nampak faham,” katanya.

“Kita kata lepas ni kalau ada apa-apa you tak faham tentang Islam, you boleh tanya dengan kita. Kita sanggup jadi ejen untuk bagi pencerahan kepada mereka. Dan mereka pula kita minta supaya jadi ejen pencerah kepada penganut agama mereka yang lain.”

Nurul Islam berkata, mereka juga setuju untuk mengadakan lebih banyak lagi program bersama.

“Selepas ni jika kita buat program, mereka minta kita undang mereka,” kata Nurul Islam.




Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/v12
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=34966