Pokok kontroversi RM180,000 mati, cuaca tidak sesuai
Tarikh : Thursday, May 18 @ 11:26:07 MYT
Topik : Berita


KUALA TERENGGANU, 18 Mei — Dulu pokok benang sutera ini mencetus kontroversi apabila harganya didakwa mencecah RM180,000 tetapi kini “ikon” itu sudah mati.Pokok itu, nama sainsnya Ceiba chodatii, ditanam di Kuala Nerus oleh kontraktor pada Januari lalu tetapi tidak dapat menahan masalah cuaca.

Seorang exco Terengganu berkata tanah dan baja semula jadi juga menjejaskan kesuburan pokok itu, lapor Harian Metro.

“Apa boleh dibuat jika pokok itu mati. Kami (kerajaan negeri) tidak akan ganti kerana kerajaan negeri tidak mengeluarkan belanja membeli pokok itu.

“Sebaliknya ia disumbangkan oleh pemaju Bandar Baharu Kuala Nerus,” kata exco infrastruktur, kemudahan awam, tenaga dan teknologi hijau Ir Rosli Othman.

“Memang sayang apabila pokok unik itu mati, tetapi ia tidak dapat dielakkan atas faktor terbabit. Walaupun cuaca di Brazil dan Malaysia panas, perbezaan tetap ada sehingga menyebabkan pokok itu tidak sesuai untuk hidup subur.”

Beliau mahu orang ramai, termasuk pembangkang, supaya tidak mensensasikan perkara itu kerana pemaju tidak menyangka pokok import itu tidak tahan di situ.

Januari lalu, pokok tersebut menjadi buah mulut ramai di media sosial apabila ia didakwa terlalu mahal dan menggunakan wang kerajaan.

Harga yang disebut-sebut dalam media RM180,000 sebatang tetapi tiada pihak mengesahkan angka ini. Desas-desus menyatakan dua pokok tersebut ditanam.

Namun, Mac lalu, Rosli menjelaskan hanya sebatang ditanam oleh syarikat swasta dan ia bukan ikon bandar baru itu tetapi sekadar hiasan lanskap.

“Saya juga nafikan terdapat dua pokok gergasi itu di Kuala Nerus, sebaliknya yang ada hanya sepokok sahaja,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Rosli berkata penyelenggaraan pokok itu juga tidak melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya diuruskan oleh kontraktor secara percuma.

- themalaymailonline.com



Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/v12
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=34987