PAS mahu dapatkan 1 bilion untuk Terengganu
Tarikh : Thursday, May 18 @ 12:17:10 MYT
Topik : Berita


Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA NERUS: Meningkatkan sumber kewangan paling kurang satu bilion setahun untuk Terengganu antara usaha keras yang akan dilakukan oleh PAS sekiranya berjaya mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.



Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, PAS akan mencari jalan untuk mendapatkan jumlah tersebut kerana masalah utama yang menjadi kekangan kepada Terengganu ketika ini ialah kewangan negeri yang terhad.

“Kekangan yang paling besar sekali kewangan. Hasil Terengganu hanya RM200 juta sahaja tanpa royalti (dana khas).

“Lebih 80 peratus hasil lain bergantung kepada Dana Persekutuan (royalti). Kewangan untuk bayar gaji kakitangan kerajaan sahaja hampir RM500 juta.

  “Itu yang akan PAS fikir dan cuba selesaikan, bagaimana kita hendak dapat sumber kewangan negeri RM1 bilion setahun,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT), di Kuala Nerus baru-baru ini.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat selain itu turut yakin PAS akan kembali memerintah negeri itu tidak lama lagi.

Beliau berkata krisis yang belaku dalam Umno Terengganu ketika ini menjadikan PAS lebih berpotensi menang dan memerintah negeri berbanding dengan perkembangan di negeri-negeri lain seperti Selangor.

Katanya, ketika ini perpecahan dan perbalahan Umno Terengganu semakin serius termasuk isu calon Menteri Besar.

“Mereka sedang mencari siapa yang bakal menggantikan Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebagai calon Menteri Besarnya.

“Ada ura-ura yang Ahmad Razif tidak lagi bertanding di Dun Seberang Takir dan beralih ke Parlimen Kuala Nerus. Ini kerana, perpecahan dalaman Umno negeri Ahmad Razif tidak boleh tangani.

“Nama Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek (Ahli Parlimen Kemaman) dan Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan kini disebut antara calon MB. Di setiap Dun juga Umno semakin parah berpecah,” ujar beliau.

Selain itu menurut Ariffin, PAS Terengganu meletakkan sasaran untuk memenangi sekurangkurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU14 akan datang.

Katanya pembangkang telah berjaya memperolehi 15 kerusi Dun pada PRU13 lalu dan hanya kekurangan dua kerusi sahaja untuk memerintah.

“Terengganu ada 32 Dewan Undangan Negeri, kita (pembangkang) sudah menang 15 kerusi (termasuk satu PKR) dan kita (PAS) hanya untuk dapat dua Dun lagi bagi mencapai kemenangan (memerintah) di Terengganu.

“PAS meletakkan ‘target’ 22 kerusi Dun. Jika kita menang 17 sahaja pun daripada 32 kerusi Dun, Insya-Allah…kita boleh memerintah negeri Terengganu.

“Suasana politik di Terengganu hari ini, sudah ‘terbayang-bayang’ boleh memerintah. Sasaran 17 kerusi menang itu tidak mustahil untuk kita perolehi dan menguasai negeri Terengganu,” kata beliau.

Turut hadir dalam mesyuarat YAMCT itu Bendahari Yayasan Amal Malaysia, Zaman Abdullah dan Pengerusi YAMCT, Dr Suhazeli Abdullah.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/v12
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=34988