Mana Laporan Kematian Thaqif, Soal Gabungan Sekolah Tahfiz
Tarikh : Thursday, May 18 @ 13:40:42 MYT
Topik : Berita




KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan mewakili sekolah tahfiz di Malaysia melahirkan rasa terkilan dengan kelewatan pihak berkuasa mendedahkan laporan perubatan kematian pelajar tahfiz, Mohd Thaqif Amin Mohd Gaddafi, bulan lalu.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood, mengesyaki ada sesuatu yang cuba disembunyikan dan tidak dapat didedahkan kepada umum.

Beliau berkata pihaknya dan Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kota Tinggi, Johor yang menjadi fokus media susulan kecederaan dialami Thaqif selepas didakwa dipukul oleh seorang pembantu warden, masih belum mendapat sebarang jawapan mengenai punca kematian Thaqif.

"Mungkin ada sebab tertentu yang kerajaan dan pihak perubatan (Kementerian Kesihatan) tidak cerita apa sebenarnya kes Thaqif.

"Dari segi polis, mereka sudah tahu sebab kata 2 minggu sahaja laporan perubatan (siap). Tetapi kita dapati pembantu warden yang ditahan reman sebelum ini dibebaskan atas jaminan bon mahkamah.

"Yang menjadi musykil, apa sebenarnya punca Thaqif meninggal, tidak ada laporan daripada pihak perubatan. Kami tidak mendapat maklum sehingga hari ini," katanya kepada FMT ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Thaqif, 11, meninggal dunia pada 27 April di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru kerana mengalami pembekuan darah.

Sebelum kematiannya, doktor terpaksa menjalankan pembedahan memotong kakinya kerana jangkitan bakteria, dan menunggu pembedahan untuk memotong lengannya.

Ibu Thaqif membuat laporan polis mendakwa anaknya dirotan di tapak kaki dengan paip getah.

Susulan itu, polis menahan seorang pembantu warden asrama MTAJ, untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2010.

Selepas kematian Thaqif, siasatan diubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.

Bagaimanapun, pembantu warden berusia 29 tahun itu dibebaskan pada 3 Mei dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000, selepas polis mengesahkan kekurangan bukti untuk mendakwanya.

Bersihkan nama

Zahid meminta kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan mengumumkan laporan kematian Thaqif kepada umum, dengan harapan ia dapat membersihkan nama sekolah tahfiz seluruh negara.

"Ini penting agar masyarakat tidak cepat menunding jari dan membuat keputusan apabila berlaku sesuatu kes seperti Thaqif pada masa akan datang.

"Bersihkan nama sekolah tahfiz khususnya MTAJ, bersihkan nama pembantu warden itu sendiri dan seluruh sekolah tahfiz yang beroperasi d Malaysia," katanya.

Zahid berkata pihaknya merancang sidang media khas di Johor mengenai perkara itu.

CCTV

Zahid mendakwa ada sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan melalui kes Thaqif untuk menggambarkan sekolah tahfiz sebagai sarang pengganas.

Katanya, ini termasuk media yang melaporkan pembantu warden itu menggunakan kekerasan dan mendera menggunakan batang paip getah.

"Di sekolah itu ada 22 rakaman video kamera litar tertutup (CCTV). Dan polis juga sudah lihat kesemua CCTV di sekolah itu dan tidak ada bukti nak dakwa pembantu warden itu.

"Dalam CCTV juga menunjukkan pembantu warden itu memukul di tapak kaki dan tidak kuat sehingga mencederakan. Pandangan yang tidak betul terhadap sekolah tahfiz perlu dibetulkan," katanya.

Zahid bagaimanapun berkata insiden melibatkan Thaqif tidak menjejaskan populariti sekolah tahfiz, malah ia makin dikenali dan semakin berkembang.

"Bila ada orang cakap macam ini, masyarakat lebih tahu mengenai sekolah tahfiz," katanya.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/x3
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=34991