Sekali lagi Azmin ulang Penggugat kestabilan Selangor musuh, pengkhianat rakyat
Tarikh : Saturday, May 20 @ 10:52:39 MYT
Topik : Berita




PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengisytiharkan mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menggugat kestabilan di Selangor sebagai pengkhianat amanah rakyat dan musuh kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

“Ingat, mereka berdepan Azmin Ali dan PKR. Mana-mana pihak, sama ada individu atau kumpulan yang cuba gugat kestabilan Selangor, mereka adalah pengkhianat amanah rakyat.

“Mereka adalah musuh kita dan kita akan lawan habis-habisan. Lawan tetap lawan, lawan sampai menang,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Wanita dan Pemuda PKR ke-12 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Pada 5 Mei lalu, Azmin menolak dakwaan akan berlaku pilihan raya mengejut di Selangor, di sebalik spekulasi beliau berdepan kehilangan sokongan adun.

Beliau menyifatkan ia sebagai provokasi politik jahat dan tidak bertanggungjawab untuk menggugat kestabilan kerajaan Selangor.

Pada 4 Mei lalu, Adun Batu Tiga daripada PKR, Rodziah Ismail turut menafikan spekulasi beliau menyertai delegasi 6 wakil rakyat ke Istana Selangor untuk mengumumkan penarikan balik sokongan kepada Azmin.

Dalam sidang media selepas majlis perasmian malam ini, menteri besar Selangor itu terus berteka-teki dengan pihak atau individu yang beliau maksudkan sebagai musuh dan pengkhianat amanah rakyat itu.

“Terpulang kepada anda (pemberita) untuk melakukan spekulasi, tetapi itulah yang saya nyatakan, kerana ia boleh jadi Umno. Anda sendiri tentukan,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar melabelkan PAS Selangor sebagai parti “tidak bermaruah” dan oportunis kerana mahu berada dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas menamatkan hubungan kerjasama politik dengan PKR.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tindakan PAS Selangor itu akan menyebabkan berlaku tindakan lompat parti dalam kalangan ahli PAS, adun atau exco kerajaan negeri daripada parti Islam itu.

Dalam pada itu, Azmin yang juga timbalan presiden PKR menasihatkan perwakilan parti itu tidak memfokuskan situasi politik di Selangor, sebaliknya mereka perlu teguh mempertahankan parti.

“Keadilan tidak akan benarkan mana-mana pihak, sama ada parti politik atau individu yang menjadikan PKR sebagai ‘tebusan’. Kita akan lawan mereka habis-habisan.

“Sementara kita akui wujud pandangan berbeza, tetapi tidak bermaksud kita harus bersengketa, runtuh kekuatan yang kita bina melalui muafakat dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan,” kata ahli Parlimen Gombak itu.

Minggu lalu, Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara menamatkan “tahaluf siyasi” dengan PKR serta-merta. Keputusan itu memberi impak kepada kedudukan 3 exco PAS dalam kerajaan Selangor pimpinan Azmin.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, 3 exco itu – Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib kekal berkhidmat dalam kerajaan negeri sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan seperti dinyatakan Azmin.

Berlawanan dengan pendirian PAS itu, PKR sebaliknya mengarahkan semua lantikan politiknya di kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS untuk meletak jawatan serta-merta, pada Selasa lalu.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/v12
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=35015