Perkasa desak RCI siasat dakwaan DoJ
Tarikh : Monday, June 19 @ 20:15:58 MYT
Topik : Berita




KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengulangi desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan susulan pendedahan Jabatan Kehakiman (DoJ), Amerika Syarikat berhubung penggunaan dana dipercayai milik 1MDB untuk membeli pelbagai aset di negara itu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, hanya RCI yang dapat merungkai segala kemelut yang berlaku, sekali gus membersihkan nama negara di persada antarabangsa.

“Isu 1MDB meletup kembali apabila DoJ ingin memfailkan di mahkamah Amerika Syarikat untuk merampas aset yang dikatakan daripada 1MDB.

“Pendirian Perkasa kita menyeru dan mendesak pihak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu 1MDB, sebab kalau tidak ditubuhkan RCI ini, pelbagai tuduhan akan timbul, ada pihak nafi ada pihak yang tuduh-menuduh sehingga mengelirukan rakyat,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Khamis lalu, DoJ memfailkan permohonan untuk merampas aset-aset yang didakwa diperolehi menerusi dana yang diseleweng daripada 1MDB, antaranya lukisan, kapal layar dan barang kemas.

Dokumen lebih 200 muka surat turut menyenaraikan 27 barang kemas yang dihadiahkan kepada isteri Malaysian Official 1 (MO1) berjumlah AS$1.3 juta (RM5.5 juta) daripada taikun kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, atau Jho Low.

Dokumen yang dikeluarkan DoJ minggu lalu merupakan rentetan daripada kertas siasatan yang diumumkan pada Julai lalu, di mana pihak berkuasa AS membuat permohonan menyita aset yang dikaitkan dengan wang 1MDB berjumlah lebih AS$1 bilion.

Mengulas mengenai cadangan supaya sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan pendedahan DoJ itu, Ibrahim berkata, usaha tersebut tidak akan menyelesaikan masalah berbangkit dan hanya akan membiarkan isu tersebut dalam keadaan tergantung.

“Kalau desak ada sidang khas Parlimen, itu hal ahli Parlimen nak bawa tak salah, tapi kita tengok sebelum ini diwujudkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan nak debat dalam Parlimen kata tak cukup masa dan isu itu tergantung dan tidak selesai.

“Jadi  langkah terbaik ialah tubuhkan RCI.

“Kalau tubuh RCI, ia akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang terdiri daripada tokoh berwibawa. Bila siasatan dibuat RCI, format siasatan dibuat macam perbicaraan di mahkamah dan laporan didedah kepada umum dan rakyat boleh nilai,” katanya.

Mengulas lanjut, Ibarhim berkata, pihaknya juga akan membawa cadangan tersebut kepada Majlis Raja-raja Melayu kerana isu 1MDB melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

“Sebelum ini kita dah hantar surat kepada perdana menteri, mungkin kali ini kita akan hantar kepada Majlis Raja-raja Melayu untuk kebaikan negara dan semua pihak,” katanya.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/x3
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=35489