Konsep Kepimpinan Ulama'
Tarikh: Sunday, May 03 @ 20:58:28 MYT
Topik: Artikel Pilihan


Oleh Ustaz Nasrudin Tantawi

 Menyokong Kenyataan :
Soohibus Samaahah al Ustaz Mohd Daud Al I'raaqi dan Ybg Dato' Hj. Mustafa A'li


Soohibus Samaahah al ustaz Mohd Daud al I'raaqi Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat baru - baru ini telah menyuarakan pandangannya agar Presiden dan Timbalan Presiden mestilah dikalangan ulama' .
Ybg Dato' Hj. Mustafa A'li Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang juga merupakan Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat turut menegaskan perkara yang sama ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu kelmarin .

Dato' Mustafa Ali adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang bertanggungjawab menggagaskan Kepimpinan Ulama' dalam PAS pada tahun 1982 yang lalu . Saya kira beliau antara yang paling layak untuk mempertegaskan apakah yang dimaksudkan dengan konsep Kepimpinan Ulama' .

Beliau menyebut bahawa Presiden dan Timbalan Presiden mestilah dikalangan ulama' sekaligus menyokong kenyataan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat yang baru - baru ini mendapat kritikan hebat dari pelbagai pihak termasuk sebahagian dari pemimpin parti sendiri .

Saya secara peribadi sangat bersetuju dengan pandangan kedua - dua tokoh tersebut . Saya memohon maaf berbanyak maaf dari semua pihak agar tidaklah pula saya menjadi sasaran kritikan selepas ini kerana menyokong pandangan kedua - dua tokoh pimpinan tersebut . Saya menyokong dan menyebutnya disini sekadar untuk berhujjah sementara saya menghormati pandangan - pandangan pihak lain .

Melalui hujjah sokongan saya kelak , saya akan pastikan bahawa saya tidak akan menyentuh jauh sekali mempertikai dan mendedahkan keaiban peribadi sesiapa . Malah sememangnya sejak dulu saya sangat berhati - hati agar tulisan saya tidak secara terbuka mendedahkan keaiban individu - individu tertentu . Saya hanya akan mengkritik hujjah dengan maksud hujjah lawan hujjah atau pandangan dinilai dengan pandangan yang kedua .

Konsep Kepimpinan Ulama'

Benar saya sangat bersetuju bahawa tiada hitam putih dalam perlembagaan parti [ PAS ] yang menyebut mengenai kedudukan Presiden dan timbalannya mestilah dikalangan ulama' dan inilah yang menjadi hujjah sebahagian dikalangan kita untuk tidak bersetuju dengan pandangan Ketua Dewan Ulama' dan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat tadi .

Namun begitu , semangat Kepimpinan Ulama' telah diterjemah tanpa sebarang pertikaian sejak mula Konsep kepimpinan Ulama' ini diterima pakai dalam parti dengan meletakkan Presiden , Timbalan Presiden dan salah seorang dari Naib Presiden adalah dikalangan ulama' . Sekian lama parti mengatur gerakkerja , mengkader jentera pelapis , memantapkan aqidah dan fikrah perjuangan dengan begitu lancar tanpa sebarang halangan dan pertikaian dikalangan ahli .

Malah , menerusi konsep Kepimpinan Ulama' inilah [ yang turut menyaksikan gandingan hebat dan mantap golongan ulama' dan profesional ] PAS telah berjaya membawa pulang kemenangan demi kemenangan malah turut membawa PAS berwajah hebat dan gah di persada politik tanahair .

Cuma kini , setelah PAS berada di mercu kejayaan maka timbullah pertikaian betapa Presiden dan Timbalannya tidak semestinya dikalangan ulama' . Lahirlah kalimah kepimpinan islam , Kepimpinan bertaqwa dan sebagainya bagi menjelaskan bahawa Kepimpinan Ulama' tidak lagi relevan masa kini . Mereka cuba untuk menggantikan konsep kepimpinan ulama' tersebut .

Persoalannya kenapa sekarang timbul pertikaian ini ? kenapa sekarang konsep yang telah diterima pakai sejak sekian lama mahu dipertikai ?

[ Apakah sejarah ulama' sepanjang abad akan berulang dalam parti ini ? Kita tentu masih ingat bagaimana nasib para ulama' yang turun ke medan juang memimpin ummah dan menggerakkan jihad menentang penjajah dan musuh - musuh Allah swt. di seluruh dunia , tetapi akhirnya apabila penjajah berjaya dihalau keluar dari tanahair mereka , maka golongan sekular naik menjadi pemerintah .

Inilah yang berlaku kepada Tengku Dawud Beureueh di Indonesia [ beliau berjaya memimpin dan menggerak para ulama' dan pelajar pondok bangkit menentang penjajah ] , namun setelah berjaya menghalau Belanda , Tengku Dawud Beureueh dipenjara dan Sukarno yang naik memerintah negara sebagai Presiden .

Demikianlah nasib para ulama' di negara - negara lain , [ sekadar menyebut beberapa contoh seperti Omar Mokhtar di Libya , Said Badiuzzaman An Nursi di Turki ] termasuk negara kita . Perjuangan menetang penjajah dimula dan digerakkan oleh para ulama' seperti Tuan Guru Hj. Hassan bin Munas di Pasir Puteh dan Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Limbong di Terengganu yang akhirnya mereka di bunuh dan dibuang daerah , sementara yang mencipta nama untuk memerdekakan negara ialah Tunku Abdul Rahman yang tidak pernah menitis walau setitik darah dibumi bertuah ini .]

Saya bimbang ulama' hanya dijadikan seperti penolak kereta buruk . Sewaktu kereta itu rosak dan tidak mampu dihidupkan enjinnya , maka ulama' dipanggil untuk menolak kereta tersebut agar dapat membantu menghidupkan enjinnya . Malangnya , sebaik sahaja enjin kereta itu hidup dan dapat meneruskan perjalanan , kereta dan pemandunya terus meluncur laju kehadapan tanpa menoleh kepada orang yang bantu menolak kereta tersebut . sebaliknya hanya ditinggalkan asap sahaja buat mereka jauh sekali mahu mendengar ucapan terima kasih .

Apakah setelah ulama' berjaya mengembeling tenaga dan para kadernya sejak sekian lama membangunkan parti [ sehingga berjaya ke tahap ini ] , sekali lagi mereka akan makan asap ? asap hitam pulak tuu .....

Terima Kepimpinan Ulama' ?

Mereka berhujjah bahawa mereka menerima kepimpinan ulama tetapi Presiden dan Timbalan Presiden tidak mesti Ulama' . Sebaliknya kepimpinan ulama' itu dirujuk kepada tertubuhnya Majlis Syura Ulama' . " Lagi pun , mana ada dalam perlembagaan PAS bahawa Presiden dan timbalannya mesti ulama' ! .." begitulah hujjah dikemukakan .

Pertama : Saya teringat hujjah popular yang digunakan oleh Al marhum Ustaz Buniyamin Yaacob apabila berdepan hujjah yang mengatakan , kenapalah PAS beria - ia benar mahu menegakkan negara Islam sedang Negara Islam tidak tercatat di dalam rukun Islam mahupun rukun Iman .

Benar , tiada disebut mengenai negara Islam dalam rukun Iman dan rukun Islam . Tetapi ia menjadi semangat atau ruh yang mesti diperjuangkan setelah kita menerima rukun Islam dan rukun Iman . Samalah seperti basuh berak kata Al marhum ustaz Buniyamin . Perbuatan basuh berak tidak disebut dalam mana - mana rukun Iman mahupun Islam . Tetapi kenapa kita basuh berak ? atau ada sesiapa yang tidak basuh berak ? semata - mata kerana ia tidak termaktub dalam rukun Iman dan Islam .

Maksud saya , walaupun ketetapan " Presiden dan Timbalannya mesti dikalangan ulama' " tidak termaktub di dalam perlembagaan parti , tetapi semangat dan ruh Kepimpinan Ulama' adalah begitu . Mesti Presiden dan Timbalannya adalah ulama' .

Bagaimana mereka mendakwa bahawa mereka menerima konsep kepimpinan Ulama' tetapi tidak bersetuju Presiden dan Timbalannya dikalangan ulama' ?

Konsep Kepimpinan Ulama' yang mereka faham itu bagaimana ? dimana mereka meletakkan ulama' dalam kepimpinan ini ? Apakah cukup sekadar ulama' berada di saf kepimpinan PAS pusat seperti yang lain ... Jika ini maksudnya , maka tidak perlulah konsep Kepimpinan Ulama' tersebut dipakai dalam parti . Sebab .... tanpa konsep ini pun ulama' memang sedia wujud di dalam saff kepimpinan PAS Pusat .

Tentunya penerimaan konsep Kepimpinan Ulama' meletakkan keistemewaan tersendiri kepada parti di mana ulama' mesti diberi diberi kepercayaan untuk memimpin parti di kerusi tertinggi seperti Presiden dan timbalannya .

Ini tidak pula bermakna parti menafikan sumbangan tenaga pihak lain seperti aktivis parti dan para profesional . Mereka tetap bernilai dan berharga tinggi kepada parti sebagai supporter group kepada kepimpinan ulama' .

Kedua : Kalau kepimpinan Ulama' itu bermaksud Majlis Syura Ulama' , maka ia juga tidak menafsirkan keistemewaan Konsep Kepimpinan Ulama' yang diterima pakai selama ini . kerana .....Majlis Syura Ulama' ditubuhkan berfungsi bukan sebagai satu badan yang mengarah dan memimpin tindakan politik parti . Sebaliknya berfungsi untuk mengawal matlamat dan objektif perjuangan parti agar tidak terseleweng dari landasan syarak dan sekaligus berfungsi sebagai pemutus polisi parti dalam menetapkan misi dan visi parti .

Kalau dirujuk kepada perlembagaan parti Fasal 7 perkara 3 (a) (b) (c) kita dapat memahami bagaimana Kepimpinan Ulama' tidak terhenti dengan penubuhan Majlis Syura Ulama' tetapi mestilah Ulama' memimpin tindakan politik sebagai Presiden dan Timbalan Presiden .

Kuasa Majlis Syura Ulamak menurut
Perlembagaan PAS pindaan 2001 Fasal 7 3 (a) (b) (c)

(a) Menghurai , menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana - mana peruntukan di dalam perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya .

(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana -mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak - kehendak dalam perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan , gerakan dan pentadbiran PAS .

(c) Memelihara , menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik ahli - ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukan dalam fasal 75 Perlembagaan ini .

Kenapa Timbalan Presiden juga mesti Ulama'

Timbalan adalah peganti kepada Presiden diwaktu ketiadaannya malah boleh dikatakan Timbalan Presidenlah bakal menggantikan Presiden pada masa yang akan datang secara tradisinya . Justeru itu , mereka yang mahu sampai ke kerusi Presiden juga mestilah ulama' . Saya tidak menyebut siapa ? apa namanya ? tetapi saya menyebut ulama' .

Asal hukum wudhu' tidaklah wajib , tetapi apabila mahu mendirikan solat sedang solat itu hukumnya wajib dan wajib pula bersih dari hadas maka wudhu' menjadi wajib . Teori atau kaedah yang sama boleh dimanafaatkan , Oleh kerana Presiden mesti dikalangan ulama' , sedang timbalannya akan mengambil tempat Presiden dikala ia tiada atau berkeuzuran , maka timbalan Presiden juga mestilah dikalangan ulama' .

Ulama' yang saya maksudkan

Ulama' yang tinggi ilmunya , beriman , bertaqwa dan beramal dengan ilmunya . Ulama' yang turun ke medan berjuang menegakkan agama Allah swt disamping itu , ulama' ini berkeupayaan menggerakkan jentera dan organisasi . Mengurus gerakkerja dan mengatur pentadbiran parti .
Insyaallah , ulama' seperti ini ramai di dalam parti .

Wajar dan syari'enya ulama' memimpin kerana ilmu dan taqwa yang mereka miliki . [ ertinya ulama' yang tidak bertaqwa atau ulama' as suu' ( jahat ) terkeluar dari perbahasan ini walau ia alim .]

Ulama' ni banyak jenis . baru - baru ni heboh satu Malaysia marahkan sahabat saya ustaz Nik Mohd Abduh menyebut pasal Ulama' Mee Celup . Ada pula seorang mufti segera menyampuk bahawa tiada dalam Islam gelaran Ulama' Mee Celup . [ teringat saya pada seorang kawan saya yang digelar Wan mee Celup ]

Islam melalui al quran dan sunnah nabiNya saw banyak tempat menyebut perihal ulama' yang jahat atau juhala' yang mengaku alim .[ saya tidak sempat membawa dalil naqli - jika perlu saya postkan kemudian insyaallah ]

Ada ulama' bisu , ada ulama' suu' [ jahat ] . Tok Guru Nik Aziz sendiri pernah menyebut Ulama' Terompah Kayu dan saya selalu guna Ulama' Kuda Kepang . Ertinya ulama' yang berilmu tetapi mudahnya mereka tidak beramal dengan ilmu yang ada pada mereka . Menyembunyikan kebenaran dan menggunakan ilmu hanya kerana kepentingan periuk nasi , yang ini saya kata Ulama' Rice Cooker .

Ustaz Nik Mohd Abduh sebut Ulama' Mee Celup tu untuk menggambarkan mereka yang jahil tetapi mengaku atau berlagak alim , akhirnya banyaklah salah dan silapnya dalam membawa kefahaman kepada ummah . Jika dia memang alim dan tahu Islam maka dia bukan Ulama' Mee Celup ..... usahlah gusar .





Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)


This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8

The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4355