Kempen 'Puteriku Sayang' dan 'Basikal Si Pesakit Jantung'
Tarikh: Monday, May 04 @ 19:31:21 MYT
Topik: Bahan Umum


 Siang-siang saya sebutkan, posting ini tujuannya yang utama ada satu. Tujuannya yang utama untuk mendapatkan sumbangan daripada anda, para pembaca.

Samada tujuan tersebut tercapai atau tidak pastinya akan bergantung pada beberapa faktor, antaranya samada anda terkesan atau tidak dengan apa yang dibaca, samada anda bekerja atau tidak, samada anda punya masa yang cukup untuk menghulurkan sumbangan dan sebagainya.

Tetapi faktor-faktor ini pastinya boleh diubah berat timbangannya untuk tercapai atau tidak tujuan penulisan dengan beberapa faktor yang lain. Misalnya faktor samada anak anda berada dalam gambar atau tidak, samada anda akan menghulurkan bantuan semampunya walaupun hanya menanam anggur di belakang rumah dengan keyakinan Allah menerima sumbangan kecil anda dan akan membalasnya dengan ditanam sebagai saham akhirat, dan sebagainya. Kita mulakan;


Kisah 1:
Saya punya seorang sahabat. Sahabat ini pernah hidup dalam keadaan cukup bahagia bersama isterinya. Mereka dikurniakan seorang anak yang comel. Tak semena-mena angin bertiup kencang, mereka bercerai. Isterinya dahulu bertudung litup, kini mencampakkan tudung. Isterinya dulu menundukkan pandangan, sekarang memeluk jantan tua yang baru dikenali sebulan dua. Isterinya dahulu setiap hari mengusap kepala anak, kini tidak pernah lagi menghubungi. Sahabat saya berusaha dengan segala upaya untuk membantu isterinya kembali ke pangkal jalan, tetapi masih belum berhasil.

Saya tidak pasti tentang anda, tetapi saya pernah mengalami perkara hampir serupa. Saya pernah kehilangan seseorang yang sangat saya kasihi. Kehilangannya cuma lima bulan. Sebelumnya kami bersama ke hulu-hilir, ke mana sahaja. Kami cukup rapat. Jika ada yang mengancam agamanya yang terbayang di kepala saya hanya satu. BUNUH! Jika ada yang mempermainkan maruahnya yang bermain di kepala saya satu sahaja. PUKUL! Saya pernah dimarah oleh ayah kerana tidak memukul balik budak-budak kampung yang membuli adik saya sampai menangis. Saya diangkat menjadi jaguh dan buah mulut di kalangan kawan-kawan ayah dan emak bila saya ditangkap oleh FRU kerana mempertahankan duit minyak ayah saya dalam demonstrasi minyak. Saya disuruh 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan' bila dihambat HEP kerana terlibat memperjuangkan Islam di dalam pilihanraya umum di Tawau. Saya dilatih berdepan cabaran.

Namun kehilangannya yang sekejap cukup memeritkan. Saya hampir hilang arah. Saya menjadi gila sendirian. Saya mabuk mencari jalan. Yang tampak kuat di luar, kosong di dalam. Sampailah ada insan 'agung' menyelamatkan. Sehinggalah Yang Agung mengembalikan.

Kisah sahabat saya mudah. Dia seorang guru. Dia selalu menjadi tempat rujukan atas sifat murabbinya. Dia sentiasa membantu menyelesaikan masalah pelajar. Anak-anak di Sabah ramai yang punya masalah keluarga. Daripada anak usrah saya seramai 12 orang, 10 datang daripada keluarga yang samada tidak solat, atau meminum arak, atau mempunyai perempuan simpanan, atau tidak pernah berjumpa mak ayah, atau semuanya sekali. Mereka tidak bermasalah. Mereka hendakkan kepada Islam. Mereka mencari jalan.


Ada seorang pelajar yang punya masalah keluarga yang terlalu teruk. Masalah yang boleh mengancam akidahnya. Lalu sahabat saya seorang guru ini mengambil risiko, mengambilnya sebagai pasangan hidup. Mentarbiyyah, mendidik dan mengadun hidupnya dengan nilai Islam yang tidak pernah dia kenali. Dia menjadi isteri solehah. Sampailah satu masa, tak semena-mena angin bertiup kencang. Mereka bercerai. Saya yakin yang saya tahu makna sayang. Saya yakin yang saya tahu maksud kasih. Mungkin saya bukan orang yang paling pandai meluahkannya, tetapi saya yakin saya mengerti kedua-duanya. Sedikit sebanyak saya merasai apa yang sahabat saya lalui. Dapatkah anda merasainya? Ia mudah. Bayangkan anda hidup bahagia bersama isteri selama beberapa ketika, isteri solehah yang bertudung litup, pandai memasak dan cantik, dan dikurniakan seorang anak. Satu hari anda bercerai. Bekas isteri anda yang anda didik daripada kosong, dan pernah hidup bersama sehati senyawa kini keluar clubbing, berpakaian seksi dan berpeleseran dengan lelaki lain. Atau anak perempuan anda ditangkap di sekolah kerana merokok, atau bergaduh, atau mencuri, atau berzina. Pejam mata dan bayangkan. Ada sesuatu yang bermain di benak anda? Barangkali itulah sayang.


Remaja-remaja ini tidak bersalah. Mereka mencari haluan, tetapi mereka dibentuk oleh persekitaran. Sebab itu kami cuba sedaya-upaya membantu mereka. Jalan untuk membantu mereka ada dua. Satu, berkahwin dengan mereka dan mengambil risiko yang sahabat saya pernah ambil, atau mendidik mereka dengan segala kemampuan yang ada. Kami tidak mampu berkahwin dengan kesemuanya. Jadi kami memilih jalan kedua.

Untukmu remaja bermasalah, kami melancarkan Kempen Sumbangan Program 'Puteriku Sayang'.

Kisah 2:
Rata-rata pengunjung tegar blog ini telah kenal dengan Adik Elfion. Adik Elfion yang telah PSS bantu daripada katil hospital Queen Elizabeth sampailah ke pagar sekolah setelah dibedah dan dirawat injap yang rosak di jantungnya. Baru-baru ini ibu Elfion menghantar pesanan ringkas. Bunyinya;

"Abang-abang Elfion, saya rasakan kamu seperti melikat-melikat yang diturunkan untuk membantu keluarga saya. Saya tidak tahu bagaimana mahu membalas jasa kamu semua terhadap kami. Sekarang Fion sudah boleh ke sekolah tapi dia selalu lewat. Sebab dia terpaksa menumpang orang dan kemudian berjalan kaki 20 minit untuk sampai ke sekolah. Kalau dia dapat basikal mungkin senang dia sampai sekolah dan tidak akan ditahan oleh pengawas lagi dan didenda sebab lewat. Saya malu nak beritahu kamu sebab saya dah banyak sangat susahkan kamu,"

Ketika itu banyak sangat program terpaksa diatur. Tabung Harapan sudah kering. Saya terpaksa membalas,

"Maaf makcik, orang yang kami bantu terdiri dari mereka yang tidka dapat bersekolah dan tidak cukup makan, kami terpaksa dahulukan mereka,"

dan dijawab semula oleh sang ibu,

"Kalau begitu tidak apalah. Nanti saya cuba belikan dia basikal dan minta untuk bayar secara ansuran. Terima kasih banyak pada abang-abang fion."

Saya terkejut. Bayar ansuran? Setahu saya ibunya bekerja di kilang kayu dan digaji RM50 sebulan sebelum bertukar kerja di kedai runcit dan dibayar RM300 sebulan. Berapa sangat yang dia boleh korbankan untuk membelikan anaknya basikal? Kalau dikorbankan RM20 sebulan daripada gajinya untuk membelikan anaknya basikal, maka setahunlah dia perlu berusaha untuk menghabiskan hutang sekitar RM240 untuk sebuah basikal. Untuk anda yang mengeluarkan ratusan malah ribuan ringgit sebulan untuk membayar ansuran Perdana, Merc dan Waja, berapakah yang mampu anda sumbang untuk membelikan anak kecil ini basikal untuk ke sekolah?

Untukmu Elfion, kami melancarkan Kempen Sumbangan 'Basikal Si Pesakit Jantung'.

Manakah faktor yang menyentuh anda? Kami masih menanti.

p/s : Program 'Puteriku Sayang' akan diadakan secara mingguan di sebuah rumah tumpangan, dan setakat ini 25 orang remaja bermasalah menyatakan keinginan untuk terlibat. Kami terpaksa menapis jumlah tersebut kepada 10 orang untuk permulaan atas sebab kekangan waktu, tenaga dan harta.

Kami mengharapkan sumbangan anda untuk kedua-dua program dalam apa jua bentuk, dan sumbangan boleh disalurkan kepada kami melalui :

Akaun Maybank : Saudara Muhammad Ruslan Azahari
: 162263156276

Akaun CIMB : Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman
: 12180099132527

Untuk sebarang maklumat, hubungi 0198110964 (Saudara Nadir). Minta dimaklumkan sebarang sumbangan. Syukran Jazilan.





Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)


This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8

The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4365