GURU DIPAKSA KERJA SEMASA CUTI UMUM.
Tarikh: Tuesday, May 05 @ 22:00:46 MYT
Topik: Bahan Umum


 Isu pendidikan yang melibatkan guru sekolah tidak pernah selesai. Masalah guru memang kerapkali diluahkan dalam akhbar dan di dalam internet. Tetapi pihak atasan tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan msalah guru malah mengambil  tindakan yang lebih mengusutkan lagi keadaan.  Walaupun Kerajaan atau Kementerian ialah majikan  guru yang sebenar, guru biasanya menerima arahan yang tidak wajar dari Pengetua.

Arahan tidak bertulis ini sering bersifat kontroversi dan ’disputable’. Dalam banyak keadaan, arahan Pengetua tidak diketahui oleh pihak atasan. Pengetua pula  memang selesa dan gemar ’memaksa guru melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan etika, moral dan Perintah Am. Tetapi oleh kerana kuasa memberi markah prestasi ada pada Pengetua, dan sifat ramai guru yang bersikap ’yes man’ maka amat  sukar untuk guru menolak atau mengingkari arahan mereka.

Dalam usaha untuk mencipta nama, mendapat kepujian dan mengekalkan reputasi sekolah, Guru Besar tanpa ragu-ragu memaksa guru melakukan kerja yang tidak wajar, tidak kena pada tempat dan masanya. Mengadakan kelas tambahan tiga atau empat kali setiap minggu adalah perkara biasa. Selepas proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) berakhir pada jam 2.40pm, sekolah ’memaksa’ guru untuk mengadakan kelas tambahan terutama untuk kelas-kelas PMR dan SPM selama 1 hingga 2 jam. Pada musim cuti sekolah, hampir semua guru terlibat dalam mengendalikan kelas tambahan. Terdapat sekolah yang  mengadakan kelas tambahan untuk semua  tingkatan tidak kira kelas SPM atau PMR agar semua guru terlibat (bukan sebahagian guru sahaja) supaya tidak timbul isu ’tidak adil’. 

 
Selain masa selepas P&P dan musim cuti sekolah, terdapat sekolah yang mengadakan aktiviti semasa cuti umum seperti pada Hari Wesak, Hari Maulidur Rasul, Hari Cuti Umum bagi Negeri-negeri, Hari Nuzul Quran dan sebagainya.  Pengetua/Guru Besar ini tidak menghormati cuti umum ini dalam keghairahan mereka untuk mengharumkan nama sekolah dan seterusnya menaikkan nama mereka dalam senarai Guru Besar cemerlang. Yang menjadi mangsanya ialah guru-guru. Mereka telah dinafikan cuti umum yang  boleh digunakan untuk bersama keluarga. Pernah satu kali itu, sekolah di Pekan Pahang tanpa segan silu mengadakan Hari Sukan sekolah pada hari cuti Maulidur Rasul. 

Di sini kami ingin ’mencelikkan semula’ pihak yang  berkenaan bahawa masing-masing pada   7 dan 9hb Mei adalah hari Hol (bagi Negeri Pahang) dan Hari Wesak. Malangnya pada kedua-dua hari tersebut terdapat sekolah-sekolah di Kuantan (dan mungkin di lain-lain negeri juga) mengadakan aktiviti rasmi. Kami mendapat maklumat ada sekolah mengadakan mesyuarat guru panitia, mesyaurat MUET,  kursus-kursus untuk pelajar atau guru, aktiviti kokurikulum dan kelas tambahan.
 
Kami yakin pihak PPD dan Jabatan Pelajaran Pahang maklum tentang perkara ini atau mereka sengaja mendiamkan diri.
 Kita tidak pasti adakah pihak Kementerian merestui kerja-kerja ’tidak wajar’ pemimpin sekolah yang mereka lantik ini. Barangkali ini adalah antara ciri-ciri tersirat perlantikan Guru Besar/Pengetua oleh Kementerian iaitu mereka mesti sanggup buat sesuatu yang bertentangan dengan peraturan yang mereka sendiri buat.  Amalan memaksa guru bekerja lebih masa dan semasa cuti umum adalah perkara biasa sejak dahulu lagi. Isu ini sudah beberapa kali diketengahkan oleh guru-guru yang prihatin tetapi sehingga hari ini, pihak majikan tidak pernah mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini. Mungkin jika kita meminta pihak parti pembangkang mengutarakan isu ini, pihak pemerintah akan terus menuduh isu ini cuba dipolitikkan. Tetapi biarlah ia dipolitikkan asalkan luahan guru-guru yang sentiasa diketepikan oleh ’majikan’ mereka yang cemerlang, gemilang dan terbilang ini diberi pembelaan oleh pihak pembangkang yang mungkin lebih prihatin dari mereka. 




Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)


This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8

The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4378