Lapuran Rakyat Kepada DYMM Agung dan Raja-Raja
Tarikh : Sunday, March 15 @ 09:39:31 MYT
Topik : Aduan @ Laporan


Segala puji milik Allah Subhanahu Wa Ta'ala, Tuhan Pemerintah semesta alam, Maha Berkuasa - Maha Mengetahui, lalu memilih dari kalangan makhluknya untuk dikurniakan kebesaran - untuk diamanahkan tangugngjawab.

Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa ta'ala sehingga ke hari kebangkitan.


Ampun Tuanku, 

Adalah menjadi amalan di Malaysia  bahawa Perdana Menteri dan Menteri-Mentari Besar bertanggungjawab mengemukakan laporan kepada DYMM Yang Dipertuan Agung tentang situasi semasa negara, manakala menteri-menteri besar pula bertanggungjawab melaporkan situasi semasa perjalanan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri. Namun patik percaya, laporan-laporan tersebut kurang lengkap malahan mungkin ditapis untuk kepentingan politik mereka-meraka sahaja.

Jesteru itu, patik memohon keizinan dari tuanku-tuanku untuk mengemukakan laporan terus dari rakyat bawahan diluar istana akan perkembangan semasa situasi yang telah berlaku didalam negara untuk makluman dan pertimbangan tuanku-tuanku bagi tindakan selanjutnya.

Ampun Tuanku,

Keadaan ekonomi negara makin meruncing angkara "financial crisis" yang dihadapi negara-negara besar dunia. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian keewangan telah menyuntik US$ 2 billion wang rakyat bagi meransang ekonomi negara. Wang tersebut telah hangus entah kemana dan lebih buruk lagi tempiasnya pun tidak sampai untuk dinikmati rakyat bawahan. Malahan ada ungkapan-ungkapan nakal dari rakyat bawahan bahawa sebahagian wang tersebut dibelanjakan untuk pilihanraya parlimen Kuala Terengganu serta membeli adun-adun dalam rampasan kuasa di Perak. Sejauh mana kebenarannya tidaklah patik ketahui dan tuanku DYMM yang dipertuan agong perlu meminta laporan lengkap bagaimana wang tersebut dibelanjakan.

Rakyat berhak mebuat spekulasi-spekulasi tersebut kerana selama ini segala perbelanjaan-perbelanjaan negara dan negeri-negeri tidak dilakukan secara "transparent" dan hasilnya terlalu sedikit dinikmati rakyat bawahan. Sejarah membuktikan bahawa kaum kerabat pemimpin-pemimpin besar serta kroni-kroni terdekat menjadi "instant millionaire" malahan ada yang billionaire segera kerana mengaut hasil rakyat secara tidak beramanah. Rakyat bawahan, terus hidup dalam gundah gulana berbekalkan "mee segera" malahan ada ibu yang terpaksa mencuri barang makanan di supermarket untuk memberi sesuap makan buat anak-anak yang dirumah yang kelaparan.

Sejarah juga membuktikan, bahawa wang negara tidak diurus takbir dengan berhemah. Contoh yang ketara lagi sensasi ialah isu pembelian kapal selam Scorpene dimana hanya seorang individu malalui syarikat yang tidak dikenali Parimekar Sdn Bhd mengaut komission lebih setengah billion ringgit atau RM 500 juta wang rakyat. Memang benar kerajaan melalui kementerian pertahanan tidak pernak membayar secara langsung komission tersebut, tetapi membenarkan kerajaan membayar lebihan RM 500 juta adalah tidak munasabah lagi menyeleweng. Itu peristiwa yang diketahui rakyat hasil incident pembunuhan wanita rakyat Monggolia, tidak pula diketahui bagaimana pula ribuan juta Ringgit lagi yang diselewengkan secara tersembunyi dari pengetahuan rakyat.

Kesimpulannya, masalah ekonomi hanya akan dapat diatasi kiranya diurustakbir negara dilakukan secara BERSIH CEKAP dan AMANAH.


Ampun Tuanku,

Isu bahasa sedang hangat diperkatakan rakyat bawahan. Ini berikutan kegagalan sistem pengajaran Sains dan Metematik dalam bahasa Inggeris. Lebih 100,000 rakyat bersatu, berarak secara aman ke Istana Negara untuk mengadu nasib kepada Yang Di Pertuan Agong akan bertapa resahnya perasaan rakyat akan kegagalan perlaksanaan dasar tersebut. Apa yang rakyat dapat adalah simbahan AIR BERACUN yang mencederakan semua lapisan rakyat (warga emas, kanak-kanak, dewasa dan remaja). Hina sangatkah rakyat tuanku, hinggakan dihidangkan AIR BERACUN oleh pihak berkuasa?. air beracun kebiasaannya digunakan untuk membunuh Lalang dan rumput rampai yang mengancam tanaman atau mencemar kawasan perumahan.

Rakyat tidak memberontak, rakyat tidak membuat rusuhan atau kacau-bilau, rakyat secara beramai-ramai hanya mahu menyerah nota suara keresahan (memorandum) kepada Tuanku untuk pertimbangan. Ini dilakukan kerana rakyat masih percaya kapada sistem beraja yang menjadi payung kepada rakyat. Ini juga kerana rakyat percaya bahawa raja berperanan menyatukan warga, membina sebuah negara bangsa berdaulat.

Patik dengan izin mamaklumkan kepada tuanku-tuanku bahawa rakyat bawahan dikampung kampung sana amat terkesan dengan perlaksanaan sistem pengajaran Sains dan Metematik dalam bahasa Inggeris yang dilaksanakan secara terburu-buru. Hasilnya kegagalan dikecapi anak-anak kampung tetapi ada segelintir makhluk opportunist menikmati kekayaan segera hasil perlaksanaan sistem tersebut.

Rakyat percaya kepada slogan "Bahasa Jiwa Bangsa". Malahan sejarah juga membuktikan kamajuan yang dinikmati oleh rakyat Jepun hari ini kerana mereka mendaulatkan bahasa ibunda mereka bukanya bahasa asing. Menteri-menteri tidak dapat memahami keresahan rakyat akan isu bahasa tersebut kerana dengan kekayaan yang melimpah ruah mereka mampu membesar dan menyekolahkan anak-anak mereka di London, Amerika dan lain lain negara eropah. Petani, perkerja awam dan golongan bawahan tidak mampu tuanku. Pendapatan harian dan bulanan yang diterima habis digunakan nagi membayar pinjaman pelajaran anak-anak kerana kerajaan menarik balik skim biasiswa yang pernak dinikmati rakyat seketika dahulu. Rakyat hanya "kais pagi makan pagi", simpanan untuk hari tua berkurangan kerana terpaksa membayar bil-bil hospital, tol dan banyak lagi caj-caj perhidmatan yang disediakan oleh kerajaan yang kebajikannya ditarik balik oleh Barisan Nasional.

Ampun Tuanku,

Dari sudut sosial, rakyat sudah hilang tempat bergantung bilamana hampir kesemua agensi-agensi kerajaan (termasuklah agensi kerajaan yang menggunakan nama "DIRAJA") di pergunakan atau dimanupilasikan untuk kepentingan orang-orang politik demi kepentingan peribadi. Rakyat terbanyak memohon agar harta rakyat (agensi-agensi kerajaan) dikembalikan kepada rakyat dan berlaku adil kepada rakyat. Harta rakyat WAJIB digunakan untuk melindungi rakyat bukannya melindungi kepentingan perinadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri dan kroni-kroni mereka. Harta rakyat tidak boleh digunakan untuk menghalalkan tindakan zalim yang menindas rakyat.

Bilamana pasukan keselamatan digunakan hanya untuk menjaga pemimpin pemimpin sahaja, kesannya rakyat jelata sudah tidak selamat, rakyat sudah tidak terbela, jenayah bermaharajalela dan berleluasa didalam negara, pemimpin pemimpin yang berkuasa makin rakus menindas rakyat - rakyat tuanku tanpa rasa takut.

Katahuilah tuanku, bahawa rakyat kini amat gelisah dan tidak tenteram mengharungi situasi begini. Harapan rakyat, kebijaksanaan dan keadilan tuan-tuanku menjadi pendiding bagi menghalang kerakusan pemerintah-pemerintah tersebut.

Ampun Tuanku,

Disudut perundangan dan perlembagaan pula, rakyat kini menjadi saksi akan hancurnya sistem berpelembagaan dan perundangan negara. Peristiwa rampasan kuasa di perak menjadi bukti bahawa sistem berpelembagaan musnah menjadi debu.

Rakyat tidak kisah sesiapun memerintah asalkan dipilih oleh majoriti rakyat.Rakyat mahukan haknya dikembalikan semuala bagi memilih pemimpin secara demokrasi bukannya merampas kuasa secara tidak berpelembagaan. Adengan "lompat si katak lompat" yang dilakonkan adun adun terbabit adalah budaya yang amat merbahaya kepada sistem demokrasi, malahan mengkhianati amanah rakyat. Lebih buruk lagi, adengan tersebut dihalalkan dengan membelakangi perlembagaan.

Tuanku-Tuanku sendiri boleh saksi krisis di negeri Perak ini dimana sebatang pokok menjadi lebih mulia dari Dewan Undangan Negeri yang dimuziumkan oleh mereka-mereka yang tidak dipilih rakyat.


Ampun Tuanku,


Didoakan semoga Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di pertuan Agong dana Yang teramat Mulia Raja- Raja, dikurniakan segala keberkatan, dianugerahkan kebesaran, memerintah Negara dan negeri negeri di Malaysia dalam keadaan aman dan sentosa, makmur dan sejahtera. Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku!Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Sekianlah Laporan dan pandangan yang tidak sepertinya yang patik dapat laporkan, dalam huraian yang kurang bijak, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, Baginda-baginda jugalah pendeta yang lebih arif lagi bijaksana.


raw

Kiev, Ukraine















Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : tranungkite@hotmail.com atau : tranung2006@yahoo.com
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=3583