Kepimpinan Ulama' : Membina Karisma Kepimpinan
Tarikh : Sunday, March 15 @ 20:28:56 MYT
Topik : Artikel Pilihan


 Kepimpinan adalah jentera utama bagi sebuah organisasi , apatah lagi bagi sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam seperti PAS .

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, telah diketahui umum bahawa teras kepimpinannya ialah Kepimpinan Ulama' dimana ianya telah diasaskan sejak awal 80an lagi .


Namun ia tidaklah boleh dibiarkan mengambil tempoh sekian lama tanpa kepimpinan ini dimuhasabah dan diperkasakan dari masa ke semasa terutama bagi melengkapkan keperluan jamaah dan tuntutan perjuangan yang kian mencabar dewasa kini .

Bahkan kepimpinan parti [ PAS ] janganlah berasa selesa dengan tahap prestasi yang dimiliki melainkan mestilah secara jujur dan bertanggungjawab berusaha segigih mungkin untuk mempertingkatkan kualiti kepimpinan . Sekurang - kurangnya menghampiri garis kepimpinan yang menepati piawaian standard dalam pengurusan organisasi dan juga pengurusan sumber manusia [ ahli / anggota parti ] .

Justeru itu karisma kepimpinan yang berteraskan Kepimpinan Ulama' ini janganlah terhenti di atas penguasaan ilmu agama semata - mata [ tanpa menafikan kepentingannya ] , tetapi mestilah mempunyai kredebiliti dalam menangani peraturan dan arahan gerakkerja dalaman parti serta mendepani strategi dan tindakan terhadap isu atau perkembangan politik .

Sewajarnya kita menyedari bahawa PAS bukanlah halaqah pengajian Fardhu Ain atau Sidang Fatwa yang mana tidak mengapa jika kepimpinan hanya memantau dari jauh atau 'slow' dalam tindakan . Sekadar menanti kalau ada isu yang bertentangan dengan agama untuk bersuara dan bertindak .

Sebaliknya PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang selayaknya aktif dan agerasif meredah cabaran malah membelah halangan membentuk laluan untuk Islam di daulatkan serta menangani isu ummah lantas menjuarainya , maka kepimpinan PAS mestilah kepimpinan yang aktif , hidup dan bertenaga dalam menggerakkan seluruh jentera dan organ parti ke arah mencapai matlamat perjuangan .

Kepimpinan Yang Pasif Tidak diperlukan .

Menyedari zaman yang penuh dengan ancaman dan halangan malah 1001 kesulitan terpaksa dihadapi , ditambah pula kekurangan tenaga dan upaya untuk mendepani segala tahaddiyat ini , meletakkan beban amanah itu semakin besar dan berat kepada pemimpin parti .

Mereka tidak boleh bersikap sambil lewa , hadhir mesyuarat dengan 'kepala kosong' tanpa idea , lebih malang jika gagal menghadhiri mesyuarat sedang potfolio yang disandangnya adalah sandaran parti untuk mencapai objektif dan matlamat perjuangan .

Kepimpinan yang berwibawa pula berkarisma , ialah kepimpinan yang mampu menggerakkan diri , lajnah dan anggotanya bagi melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya . Malang 1001 kali malang jika kepimpinan yang dipilih dan dilantik sekadar menjadikan jawatan itu sebagai populariti atau mengambil manafaat dari title berjawat untuk penampilan diri dalam parti .

Lebih malang kepimpinan pasif ini menjadi penghalang kepada individu - individu tertentu yang memiliki kemahuan dan kesungguhan untuk melaksanakan tugas serta amanah perjuangan tetapi tidak boleh berbuat demikian lantaran tiada ruang kerana tidak berjawat . Kuota pilihan dan lantikan kepimpinan telah dipenuhkan oleh mereka yang tidak berfungsi .

Kepimpinan Pasif ini biasanya hadhir mesyuarat sekadar menongkat dagu dan merenung meja mesyuarat tanpa idea bernas apalagi kertas kerja yang menggariskan tindakan yang perlu dilaksana . Tambah memalukan jika wujud pula "mesyuarat" dalam mesyuarat atau sebarang aksi dan perlakuan sengaja yang jelas menunjukkan sikap tidak menghormati mesyuarat .

Kepimpinan Kalut tidak menambah Kebaikan parti

Sebagaimana kepimpinan pasif tidak diperlukan oleh parti malah mengganggu kelancaran gerakkerja parti dalam melangsungkan misi dan visinya , kepimpinan kalut juga tidak menambah kebaikan dan kekuatan organisasi . Sebaliknya kekalutan itu membuatkan organisasi menjadi semakin kusut dan tidak menentu .

Kepimpinan kalut ini mungkin banyak cakapnya dalam mesyuarat tetapi hanya sekadar menyampuk serta mengkritik aktiviti dan gerakkerja yang dibuat oleh pihak lain sedang tugas atau tanggungjawab sendiri diabaikan malah dilepaskan dengan cukup bijak melalui kepetahannya berkata - kata .

Terkadang kalut dengan 1001 idea tetapi malang , idea itu gagal dilaksanakan walau hanya satu dari idea tersebut . Akhirnya mesyuarat menjadi bising dan hingar seperti pasar tetapi tidak mehadhirkan natijah yang positif dan keputusan yang baik untuk dilaksanakan .

Kepimpinan Ulama' mesti bersih dari imej hambar ini .

Andai kepimpinan yang telah saya sebutkan itu benar - benar berlaku , tentulah ia melakar imej yang negatif kepada institusi Kepimpinan Ulama' .

Justeru itu , semua pihak bertanggungjawab berusaha meletakkan kepimpinan parti sebagai kepimpinan yang dinamis . Jika melibatkan individu ulama' yang alim dan faqih maka mestilah individu tersebut bertindak aktif dan profesional dalam tindakan sebagai penjawat amanah dalam parti agar dilihat kepimpinan ulama' aktif , cerdas dan cergas .

Sementara yang melibatkan individu profesional dan aktivis pula , mestilah individu terbabit melandaskan tindakan mereka berasaskan feqh Islami agar dilihat pula sebagai kompenan institusi Kepimpinan Ulama' yang tidak tersasar dari ketulenan manhaj perjuangan Islam .

Tegasnya , kepimpinan Ulama' bukanlah merujuk kepada batang tubuh individu ulama' yang wujud dalam parti tetapi berasaskan kolektif kepimpinan parti yang mendasarkan matlamat , tindakan dan hala tuju perjuangan di atas keputusan dan pemantauan syura ulama yang telah diinstitusikan di dalam parti .

Peranan Perwakilan menjelang Muktamar

Muktamar parti memberi hak kepada anggotanya memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti sekaligus memacu tindakan ke arah menepati objektif dan mencapai matlamat perjuangan . Menginsafi realiti tersebut , tugas perwakilan tidaklah mudah dalam membuat pilihan mengenegahkan pemimpin yang layak dan mengangkat pemimpin yang memiliki karisma .

Pemilihan tangkap muat , pangkah borong dan ikut mana yang sempat sama lah rendah kualitinya dengan cara memilih pemimpin berasaskan populariti atau mana yang pandai ceramah tapi zero prestasi kerjanya . Juga jelas tidak benar jika pemilihan itu turut berasaskan kroni bukan berasaskan merit .

Perwakilan mestilah terlebih dahulu benar - benar mengenal pasti calon yang yang akan dipilih agar tidak salah pilih atau memilih mereka yang tidak banyak membantu parti . Secara umumnya , calon parti PAS semuanya baik dari segi akhlak dan ikhlas pula dari segi niat . Tetapi kepimpinan tidak cukup sekadar baik akhlak dan ikhlas niat tetapi mestilah ada kesungguhan bekerja dan berjuang dan mampu menangani berat beban tanggungjawab yang digalas .

Peranan individu yang dicalonkan .

Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan tetapi adalah satu taklif atau tanggungjawab yang mesti ditunai . Janganlah menjadikan jawatan sekadar untuk disandang sedang kita menyedari bahawa kita tidak bersedia untuk memimpin . Alangkah jika kita dengan rendah diri boleh menarik diri lalu memberi laluan kepada mereka yang berkelayakkan dan mampu menunaikan tugas dengan baik .

Apa yang kita fikir ialah untuk perjuangan yang kita dokong agar ianya digerakkan dengan sebaik mungkin bukan tergendala pergerakkannya ekoran kepimpinan yang pasif dan bersahaja dalam parti .

Namun saya berpendapat , jika ada dikalangan kita mendapat pencalonan , maka bersedialah untuk memikul tanggungjawab perjuangan ini sebaik mungkin dan mohonlah petunjuk Allah swt agar dikurniakan petunjuk dan kekuatan bagi melaksanakan tugas besar perjuangan ini . Tekad dan ikrarlah untuk menunaikan amanah yang bakal digalas .

Pun begitu , kita tahu akan keupayaan kita sendiri . Jika ada orang yang lebih layak daripada kita , pastinya tanggungjawab itu mesti diserahkan kepada mereka yang lebih layak dengan kita menarik diri lalu ruang dan peluang itu diberi kepada mereka .

Peranan Pemimpin yang telah dipilih dan dilantik .

Kepimpinan ini adalah masu'uliyah yang akan dipersoalkan dihadapan Allah kelak . Jawatan yang disandang sekali lagi saya tegaskan bukanlah sebagai satu kemuliaan jauh sekali satu keseronokan sebaliknya ia menjadi ujian besar buat kita membuktikan ubudiyah kita kepada Allah swt . sejauh mana kita bersedia menunaikan amanah apabila amanah itu diserahkan kepada kita . mengabaikan amanah tentu sahaja satu pengkhianatan dan kelak kita akan dihukum oleh Allah swt .

a ] Kenal pasti bidang tugas , kemudian cari jalan dengan segala upaya bagi menunaikan tanggungjawab dengan memberikan apa yang terbaik dari kita buat perjuangan suci ini .

b ] Perjuangan ini diurus tadbir secara berjamaah , justeru itu elakkan bertindak secara Lone Rangers atau Zorro . Kita bukan mengejar populariti secara individu jauh sekali publisiti diri . Sebaliknya kita mengangkat wadah perjuangan dan berjuang secara kolektif .

c ] Meskipun sukar dan penat memikul beban amanah perjuangan ini , sebagai pemimpin kita selayaknya bertahan dengan segala upaya yang kita miliki . Jangan manja dan jangan pula cepat merajuk .

d ] Selia perjuangan ini dengan semangat dan jiwa yang tenang . Jangan terlalu ikut "angin pasang surut" kita yang tidak menentu itu kerana ia menganggu prestasi . Berjuanglah dengan kesedaran dan kewajaran bukan mood dan perasaan .

e ] Dekatkan diri kepada Allah swt menjadikan kita kuat dan bertenaga menangani kerencaman masaalah perjuangan , dalaman atau luaran .

f ] Bertanggungjawab terhadap ahli biar pun hanya ahli biasa dengan memimpin mereka dan hidup bersama mereka . Tiada kepimpinan elit dalam perjuangan Islam sebagaimana tiada juga pemimpin yang kalis tarbiyah .

g ] Tunjangi tindakan dengan prinsip istisyarah dan istikharah agar kepimpinan kita biarpun dalam apa jua sentuhan yang kita lakukan tidak terhindar dari petunjuk Allah swt .

h ] Miliki semangat setia kawan berasaskan ukhuwwah fillah , basmi politik cantas sesama sendiri , jangan biarkan tenaga terbiar atau terbuang serta berlaku adil dalam tanggapan dan tindakan

i ] Berdisiplin , berakhlak , beradab dan thiqah sesama sendiri , dengan jamaah dan terhadap pimpinan jamaah .



Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=3606