Penggantungan Harakah, tembakan pemedih mata dan pencalonan Nizar
Tarikh : Tuesday, March 24 @ 22:12:34 MYT
Topik : Artikel Pilihan


Oleh Ahmad Lutfi Othman

 ISNIN 23 Mac, hari bergelora. Meskipun tiada hujan, namun langit kelabu. Sejak Harakah dilancarkan 22 tahun lalu, tiada detik sukar seperti petang itu.

Tepat jam 4.55 petang, faks dari Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, memancung keheningan pejabat. Saya agak keletihan, baru pulang dari Putrajaya. Fikrah Harakah edisi Isnin menunggu untuk diisi. Bahan belum mencukupi.

Sebaik keluar lif di tingkat dua, rakan wartawan Nyza Ayob menyapa: "Dah tengok surat KDN?' Tanpa menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku, saya hanya menggeleng. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja debar jantung berdegup kencang.

"Harakah kena gantung tiga bulan!" Maklum Nyza, masih tersenyum. Bagi saya, ia bagai petir menyambar. Surat ringkas dua perenggan hanya memaklumkan KDN menggantung permit lidah rasmi PAS yang kini sudah dianggap akhbar alternatif no. 1 itu, selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

ImageTerdetik di hati, "masakan secepat itu, bukankah baru kelmarin Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar menelefon pegawai KDN menjelaskan isu surat tunjuk sebab dari KDN?"

Segera saya memanggil pembantu, Atriza Umar, mencarikan surat bertarikh 26 Feb lalu, yang ditandatangani Che Din Yusoh. Saya mahu dapatkan nombor telefon bimbitnya -- sambil menahan sabar -- untuk mendapatkan penjelasan. Ya, mengapa KDN harus tergesa-gesa sekali? Dunia belum kiamat. Umno belum terlungkup.

Bukankah selama ini KDN banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan, sehingga terpaksa menarik balik, atau dalam beberapa kes tahanan ISA, antaranya membabitkan seorang wartawan wanita sebuah akhbar Cina, harus membebaskan segera selepas memberikan alasan penahanan yang tidak masuk akal.

Memang KDN tidak belajar dari kesalahan walaupun menterinya bertukar, perdana menteri bergilir.

ImagePerbualan saya dengan Che Din tidak wajar dirakamkan di sini. Nokhtah.

Saya mula berkhidmat di Harakah seawal seminggu sebelum Harakah sulung diterbitkan, April 1987. Walaupun keluar-masuk Harakah lima enam kali, rasa saya tidak pernah sekalipun Harakah gagal diterbitkan atas halangan KDN, waimma satu keluaran.

Apa yang tidak disebut tentang "kediktatoran" Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri? Namun beliau hanya mencantas kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Dalam era reformasi yang memuncak itu, ketika edaran Harakah meningkat daripada 60,000 naskhah sehingga mencecah 400,000 naskhah, dan Mahathir cemas menghadapi pilihan paling getir baginya, 1999, tetapi Harakah tidak pernah diganggu seteruk ini.

ImageMemang jualannya dihadkan kepada ahli PAS di premis parti sahaja dan kandungannya ditekankan agar mematuhi skop dan konsep yang diluluskan, iaitu hanya memuatkan berita dan rencana yang berkaitan PAS sahaja, tetapi arahan gantung, apatah lagi selama 3 tahun - satu tempoh yang relatif panjang - tidak pernah dikuat-kuasakan.

Abdulah Ahmad Badawi pula, selepas kalah lebih teruk pada 8 Mac 2008, yakni lebih buruk berbanding prestasi Mahathir pada Nov 1999, namun beliau tetap menerima permohonan PAS untuk mengembalikan kekerapan Harakah kepada dua kali seminggu. Ada tanda jiwa besar di situ.

Lalu, bahana siapakah yang mencetuskan onar sedahsyat ini? Menterinya masih Syed Hamid Albar, Abdullah tetap PM, tapi siapakah yang mahu percaya dengan dakwaaan bahawa tindakan zalim ini bukan didorong oleh kepentingan politik yang cukup sarat? Zaman sudah berubah. Dunia semakin telus. Media baru membentuk realiti.

ImageTanpa perlu berpakat, semua mata tertumpu kepada Najib Razak. Tuduhan ditujukan kepadanya. Beberapa hari lepas saya menelefon Zunar, Ketua Pengarang Suara Keadilan, memberitahu Harakah kena surat tunjuk sebab, atas alasan teknikal yang lazim digunakan.

Zunar menyanggah tanggapan bahawa Najib akan secepat itu "main kasar" dengan akhbar alternatif. Saya boleh bersetuju dengan Zunar. Kami langsung tidak terlintas Najib akan melakukan perbuatan sehodoh ini.

Malamnya, selepas makan di Restpran Haslam, saya mendapat SMS daripada Azizi Hj Abdullah: "Belum apa-apa gas dan water canon dah disembur di Padang Awam Cinta Sayang, Sungai Petani malam ini. Dajai. Habis cempera."

Saya terus hubungi wartawan Kedah, Izwan Abdul Halim. Dari jauh, suara Izwan serak, macam menanggung pedih disembur gas pemedih. Segera saya putuskan talian. Darah menyirap lagi. Nampak jelas penggantungan Harakah, Suara Keadilan memang dirancang untuk menghadapi situasi sulit BN terutama pilihan raya kecil dan perhimpunan Umno yang penuh rasuah itu.

Mujur ada berita menyejukkan hati. Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih calon PAS Bukit Gantang. Peluang Nizar terbuka, tapi tidak boleh diremehkan potensi menang BN. Ini pilihan raya paling kritikal buat Umno. Banyak peluru yang disimpannya. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu bukan indikator segalanya cerah di sini.

Memang Nizar aset terbaik bagi menguji penerimaan rakyat Perak atas kemelut yang berkecamuk di negeri itu.

Sama-samalah kita bergelut dalam pesta demokrasi yang serba pincang ini, ya ... walaupun mungkin tanpa Harakah, berdepan tembakan gas pemedih mata, dan 'kesamsengan' jentera BN di bawah pengarah barunya ini, sambil mengharapkan ada kewarasan bagi membetulkan keadaan. _



Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=3891