Mencari Khalifah Untuk Selamatkan Bumi Yang Parah
Tarikh : Friday, March 27 @ 09:04:21 MYT
Topik : Tazkirah


“Wah, tahun 2000 nanti umur aku sudah 25 tahun! Macam manalah agak hidup pada masa itu?” saya bermonolog sendirian di bangku rehat.

Pemandangan dari kerusi favourite saya itu sangat mendamaikan. Padang sekolah yang luas terbentang, bukit SIS yang menghijau di seberang sana, pohon pine meliuk-liuk disapa bayu, kerusi batu yang tua dan usang itu adalah tempat saya mencari kerehatan selepas penat mengulangkaji pelajaran dan melayan 1001 kerenah manusia di sekolah.

Ketika itu saya baru berusia 17 tahun.

Mungkin tanpa sedar, salah satu sebab mengapa saya amat sayangkan Sekolah Izzuddin Shah, adalah kerana sejuknya sekolah itu dengan alam sekitar yang nyaman, biar pun ia terletak di tengah-tengah hiruk pikuk bandaraya Ipoh. Kerusi di tepi padang sekolah itu pula, adalah tempat saya berangan-angan, melihat masa depan.

Ketika itu pelbagai imaginasi dibuat tentang milenia baru nanti.

Saya masih ingat, Bing dan Bong dalam rancangan belajar Bahasa Inggeris di TV Pendidikan. Mereka duduk di rumah seperti UFO dan hanya makan pil untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan malam. Dalam hangat-hangat era kebangkitan Islam, al-Arqam juga menerbitkan majalah Dunia Baru Islam yang penuh ilustrasi futuristik, manusia berserban dan berjubah mengendalikan kereta terbang dan macam-macam lagi.

Polis pula mendenda pesalah laku di jalan raya dengan istighfar 100 kali dan bersedekah kepada fakir miskin.

Hebatnya bayangan manusia tentang tahun 2000.

Rupa-rupanya tahun 2000 manusia masih manusia yang sama. Mereka bersarapan dengan roti telur yang sudah tidak dibubuh bawang, mereka makan tengah hari dengan nasi berlaukkan ikan patin yang dibela dalam sangkar, dan mereka makan malam dengan nasi lemak panas yang dahulunya hanya kedapatan di pagi hari.

Oh ya, selepas Asar mereka makan lemang dicicah rendang yang dibeli di tepi jalan. Kalendar masih berbulan jauh menuju Syawwal.

Ya, manusia masih manusia yang sama.

Tetapi selera mereka sudah berbeza.

Selera yang besar itu menuntut dunia untuk tunduk memperhambakan diri kepadanya, biar pun dia tidak pernah bertanya dia itu hamba kepada Siapa!

Tahun 2000, manusia masih manusia yang sama, tetapi dunia semakin menderita. Hutan musnah, siang makin panas, hujan macam langit nak runtuh, banjir sudah tidak mengira musim. Sungai kotor berganda-ganda, air tercemar kotor penuh onar.

Dalam tafakur saya memikirkan akan hal ini, sahabat saya Erwan Johari menghulurkan kaset rakaman lagu baru ciptaannya. Saya diberi kepercayaan menulis lirik untuk lagu itu.

Inilah hasilnya:


DUNIA INI

Dunia ini indah cantik dipandang
Rahmat Allah kepada hamba-Nya
Suria tersenyum riang insan aman bahagia
Menikmati kasih sayang-Nya

Dunia ini insan hidup harmoni
Dengan keadilan Ilahi
Pemerintah bertaqwa rakyat taat setia
Menjunjung Islam yang mulia

Sayangnya itu cuma semalam
Manusia lupa pada Tuhannya
Pohon rebah ke bumi gunung runtuh berkecai
Rakusnya hawa nafsu mereka

Bumi merintih hiba Tuhan semakin murka
Lantaran makhluk yang durhaka

Dunia ini selamatkan segera
Dari tangan insan durjana
Membina kesombongan lupa kemanusiaan
Bencana tak berkesudahan

Dunia ini kembalikan segera
Kepada sistem Penciptanya
Pemerintahan Islam rahmat untuk semua
Adil, diberkati dan saksama

Malangnya jika kita semua
Lupa kepada janji Tuhan
Islam penyelesaian, tiada dua dan tiga
Sejarah telah membuktikan

Bumi merintih rinduTuhan terus menunggu
Insan pulang ke pangkuan-Nya

LAGU: ERWAN JOHARI
LIRIK: HASRIZAL ABDUL JAMIL
PERSEMBAHAN: USRAH AL-FIRDAUS
ALBUM: DUNIA INI (1996 JORDAN)

Sesungguhnya semakin tinggi semangat Islam seseorang, semakin bersungguhlah dirinya bertindak menyelamatkan alam. Isu alam sekitar bukan agenda NGO, sebaliknya ia adalah isu yang mesti dijuarai oleh setiap pejuang Islam. Amat kekok memikirkan manusia memperjuangkan segala yang diperjuangkannya atas nama Islam, tetapi memejamkan mata terhadap kemusnahan yang menimpa Bumi yang satu ini, tapak untuknya sujud sebagai hamba, dan berdiri sebagai khalifah-Nya.

Berusahalah hari ini untuk menyelamatkan hari esok. Selamatkan dunia, selamatkan manusianya. Selamatkan generasi pewaris masa depannya.

Saya teringat kepada dialog lebih setahun yang lalu semasa saya dan rakan-rakan peserta dari seluruh dunia bersidang di Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP):

Semua orang bercakap tentang remaja. 90% berbincang tentang produk yang ingin dijual kepada remaja. Hanya 10% sahaja yang berminat untuk berbincang bagaimana menyelamatkan remaja. Dan dari 10% itu, hanya segelintir yang memindahkan perbincangan kepada agenda. Moga kita termasuk di dalam segelintir yang kecil itu!

Dan alam yang mahu diwariskan kepada generasi anak-anak kita, juga perlu diselamatkan. Biar pun agendanya besar, bertindaklah pada upaya masing-masing biar sekecil mana pun ia.

Saya menyeru para pembaca untuk menjayakan kempen EARTH HOUR 2009 dengan memadamkan semua alat elektrik sedaya mungkin selama satu jam pada 8:30 malam, Sabtu 28 Mac 2009.  Setiap rumah yang berpatisipasi, menyumbang kepada penjimatan sejumlah besar penggunaan tenaga, dan mencetuskan kesedaran yang amat payah untuk diketengahkan di era AKU TIDAK PEDULISMA masa kini.

Selamat bertindak.

Baca juga:

Alam Tercemar Bila Iman Terhakis

Jika Batu Takutkan Allah

Tsunami: Teladan al-Quran Daripada Kisah Nuh ‘alayhi al-Salaam

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Sumber:

(http://saifulislam.com/?p=5023)

P/S: Baca juga komen-komennya.


Artikel dari sumber lain berkenaan kempen Earth Hour 2009:

Kebodohan Kempen Yang Tak Dipedulikan


Artikel dari saya berkenaan kempen Earth Hour 2009:

Earth Hour


Artikel dari saya berkenaan isu pemanasan global:

Pemanasan Global - Buletin Pengguna

Pemanasan Global


Lain-lain artikel sebagai lampiran untuk dibaca:

Pengguna Perlu Digalak Meminimumkan Tenaga

Jimat Tenaga, Selamat Alam Sekitar

“Earth Hour” di Malaysia

Dasar Pencahayaan NS Diperluas

Tenaga Solar Sumber Alternatif

Cara Mudah Berjimat Bermula Dengan Komputer Anda

Singapura Lancar Pertandingan Untuk Jimat Elektrik

Cepatkan Waktu Negara 1 Jam, Boleh Jimat Elektrik

Hari Jimat Tenaga Di Brunei Darussalam

Lagi Pertandingan Jimat Elektrik

Sejarah Kereta Elektrik

Kuasa Solar Di Malaysia

LED Jimat 40% Kos Elektrik

TNB Terpaksa Bayar IPP “Tenaga Tak Diguna” Tambahan RM500 juta Tahun Hadapan!

Malacca: City of lights (Bandaraya Bercahaya)

Tarif Elektrik Terkini









Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=3979