Pemimpin Berjiwa Akhirat
Tarikh : Wednesday, April 01 @ 07:02:17 MYT
Topik : Pendapat


Assalamualaikum. Selesai sudah Perhimpunan Agung Umno. Lengkaplah sudah barisan kepimpinan baru bagi kelompok atas parti tersebut. Ada yang dalam jangkauan dan ada pula yang tidak, ada yang dipersoal keputusannya dan macam-macam lagi.

Tidak lama lagi tiga kawasan akan berdepan dengan pilihanraya kecil. Semenjak pilihanraya umum yang lalu, Malaysia yang dahulunya terkenal sebagai negara membangun kini lebih tepat kalau digelar sebagai negara pilihanraya, susulan satu persatu pilihanraya kecil yang diadakan.


Apapun, inilah dia peruntukan di zaman demokrasi ini dalam hal ehwal memilih pemimpin. Kuasa dan penilaian manusia dijadikan penentu utama dalam memilih seseorang yang bakal menjadi pemimpin.

Barangkali, sebab itulah wujudnya istilah pemimpin berjiwa rakyat, mungkin untuk menggambarkan individu tersebut sebagai seorang yang layak dijadikan kepala kepada rakyat.

Meletakkan manusia sebagai paksi ditambah pula dengan keasyikan memegang tampuk kuasa menjadikan calon pemimpin terdedah kepada sindrom yang bernama gila kuasa.

Mengapa? Bukankah pemimpin itu berjuang untuk rakyat?

Bagi mengupas persepsi seperti ini, kita perlu melihat dengan lebih jauh konteks 'untuk rakyat' itu.

Untuk keluar sebagai pemimpin kepada rakyat yang berjiwa rempit, perlukah pemimpin menyediakan segala prasarana untuk rakyat berjiwa rempit itu merempit?



Sekiranya yang hendak dipimpin itu samseng dan taiko, perlukah pemimpin menjadi kepala taiko? Perlukah pemimpin menyenangkan serta memberi lampu hijau kepada para samseng ini untuk terus menunjukkan lagak mereka?

Jika rakyat gila hiburan, perlukah pemimpin melaksanakan pelbagai program demi memenuhi jiwa mahu berhibur rakyatnya?

Lalu, apakah yang harus ada di jiwa pemimpin? Orang selalu berkata tentang pemimpin zaman ini yang berjiwa wang, pangkat dan kerusi, dan pemimpin jenis ini diklasifikasikan sebagai pemimpin yang teruk dan jahat.

Namun, apakah dengan berjiwa rakyat, pemimpin itu adalah seorang yang terjamin kebaikan dan kehebatan kepimpinannya? Tidak sama sekali.

Masakan seorang pemimpin, yang tahu akan beratnya tanggungjawab kepimpinan boleh bersorak gembira bersama penyokongnya apabila menang dalam pemilihan? Menang loterikah?

Sedangkan, para sahabat dan tokoh-tokoh Islam begitu takut dengan kerusi pemimpin!

Jiwa pemimpin itu harus akhirat! Dan pemimpin bertanggungjawab untuk mengakhiratkan jiwa rakyat mereka.

Bukan bererti pemimpin itu tidak perlu menitik beratkan hal ekonomi, pendidikan dsb, tetapi jika seseorang pemimpin itu meletakkan akhirat sebagai motivasi kepimpinannya, pemimpin itu boleh melahirkan impak yang cukup besar kepada masyarakat yang dipimpin.

Kejujuran, ketegasan dan kebijaksanaan adalah berdasarkan suatu ukuran yang sangat jauh tetapi penting. Akhirat adalah destinasi yang pasti, dan negara akhir semua manusia.



Nama-nama pemimpin yang agung dalam sejarah Islam seperti Khulafa' Ar-Rayidin, Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayyubi dan ramai lagi telah membuktikan bahawa ilmu kepimpinan yang diajar oleh rasulullah SAW iaitu menitik beratkan soal akhirat dalam jiwa mereka adalah formula yang sangat unggul.

Kisah rasulullah SAW yang mengikat kain berisi batu kecil pada perut baginda SAW kerana menahan lapar, sehingga mengakibatkan sebak di dada para sahabat kerana jawapan baginda, yang tidak mahu sahabat-sahabat mendapat beban serta khuatir akan pertanyaan Allah di hari pembalasan nanti tentang satu persatu hal dalam kepimpinan baginda menunjukkan akhirat akan memurnikan hati seorang pemimpin. Dan pimpinannya yang turut disemai dengan kefahaman yang sama juga akan lebih mengerti akan nilai kehidupan di alam dunia ini.

Pemimpin mesti berjiwa akhirat. Akhirat bukan punca kemandulan dan kejumudan, malah mengerti akan kepentingan hal ini boleh secara tidak langsung mendisiplinkan pemimpin dan rakyat.

Umar Al-Khattab RA yang menolak untuk berpakaian mahal sekalipun beliau seorang pemimpin yang hebat serta adil, di zamannya pula empayar Islam berkembang pesat, kerana tidak mahu semua itu menjadi fitnah di hari pengadilan. Lihatlah sahsiah beliau, sekalipun darjatnya tinggi sebagai salah seorang sahabat yang dikasihi rasulullah SAW, namun kefahaman beliau tentang rasionaliti mencari akhirat membuatkan kehidupan duniawi beliau sungguh kemas dan tertib!

Pemimpin yang berjiwa akhirat akan melakukan pembangunan rohani, sebagai benih utama dalam pembentukan jatidiri dirinya sendiri serta rakyatnya (orang yang dipimpin).

Kemajuan perlulah dimulakan dengan mendidik jiwa akan sementaranya dunia ini. Akhirat adalah yang ditujui, baik sedar mahupun tidak.

Tanpa rohani yang baik, tamadun tetap sahaja boleh dibangunkan, tetapi pengisiannya pasti penuh kecelaruan.

Seperti yang berpeluang kita lihat dan rasai dalam era tamadun demokrasi dan kapitalis ini, di mana manusia sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja yang mereka suka, dengan lesen hak asasi individu.

Akhirnya, penindasan akan mengambil alih keadilan.

Jadi, disnilah pentingnya pemimpin yang berjiwa akhirat. Siapakah orang ini? Wallahualam.


Untuk mencari dan mengenalpasti pemimpin seperti ini dalam gelanggang pilihanraya anjuran demokrasi kelihatannya seperti sangat sukar sekali, namun inshaAllah, pemimpin seperti ini, yang mencari naungan dan pimpinan Allah Azzwajjal pasti ada. Amin.

Barakallahufikum.

http://thetinystone.blogspot.com/


Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4136