Ketua Polis Negara perlu tumpu usaha basmi jenayah bukan berpolitik
Tarikh : Wednesday, April 01 @ 17:41:38 MYT
Topik : Kenyataan Media


 Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (pemudawilayah) memandang serius peningkatan kes jenayah yang melibatkan golongan pelajar yang dilaporkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan  semalam.

Utusan Malaysia melaporkan bahawa;



Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini (semalam) melahirkan kebimbangannya dengan trend penglibatan pelajar dalam kegiatan jenayah yang menunjukkan peningkatan sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, jenayah melibatkan golongan itu yang dianggap serius termasuklah kes bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan pecah rumah.

Katanya, ini dibuktikan apabila pada 2007, sebanyak 1,836 kes dilaporkan dengan melibatkan tangkapan seramai 3,383 pelajar.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 3,241 pelajar orang adalah mereka yang berusia 13 hingga 18 tahun.

“Bagi tahun lalu pula, angka itu terus menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 2,218 kes dengan melibatkan penahanan seramai 3,725 pelajar.

“Daripada jumlah itu seramai 3,629 pelajar adalah berusia 13 hingga 18 tahun,” katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun ke-39 pasukan Kor Kadet Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan jelas pada kita bahawa perlunya satu usaha yang serius diperingkat pasukan Polis dan membendung gejala ini dari terus meningkat.

Pemudawilayah tidak nafikan bahawa ibu bapa, guru dan masyarakat perlu memainkan peranan. Tetapi dalam masa yang sama bila ia sudah dikategorikan sebagai perbuatan jenayah maka tindakan Polis menjadi keutamaan.

Pembanterasan jenayah seharusnya sinonim dengan tugas Polis, namun akhir-akhir ini rakyat sudah melihat seolah-olah penjenayah masakini tanpa mengira usia sudah tidak takut dengan Polis.

Kebanyakkan rakyat membuat persepsi bahawa Polis hanya mampu menerima dan mengeluarkan kertas Laporan Polis bagi tujuan makluman dan claim insurans sahaja. Tindakan susulan seperti siasatan jarang dilakukan terutamanya bagi kes yang melibatkan kerugian kurang dari RM 1000.

Selain itu kes-kes melibatkan keganasan seperti pergaduhan kumpulan samseng, rogol dan bunuh akan diambil tindakan pantas jika ianya disiarkan dalam akhbar. Jika tidak siasatan akan bertangguh-tangguh.

Pemudawilayah sendiri pernah membantu seorang mangsa kes Ah Long membuat laporan Polis. Dan pegawai yang menyiasat kes itu hanya kata, "jika Ah Long itu datang kacau, buat Laporan Polis lagi. Tapi Polis tidak boleh bertindak apa-apa selagi Ah Long tidak pukul atau mencederakan mangsa"

Mangsa telah membuat banyak Laporan Polis tetapi Polis tak buat apa dengan alasan Polis tiada kuasa untuk menyiasat Ah Long itu walaupun mangsa pernah membuat laporan yang rumahnya disimbah cat dan pagarnya dirantai.

Paling mengejutkan, setelah Pemudawilayah menyiasat sendiri kes itu, antara Ah Long yang terlibat adalah mereka yang berumur bawah 21 tahun. Dan ini sudah menunjukan bahawa trend jenayah kini sudah semakin menular kepada golongan muda dan mereka menjadi rekrut untuk kumpulan-kumpulan samseng yang giat melakukan jenayah bersama Ah Long.

Jadi sejauh manakah pihak Polis serius untuk membantu rakyat dan melindungi mereka. Jika kes sekecil itu pun Polis boleh lepas tangan, bagaimana dengan kes-kes besar seperti kes pembunuhan Altantuya yang tidak disiasat dengan bersunguh-sungguh oleh Polis walaupun banyak aduan dibuat tentang penglibatan seorang ahli Politik dalam kes itu.

Malangnya Ketua Polis Negara berpolitik pula dan mengalihkan masa kerjanya untuk memantau aktiviti politik dan pilihanraya di 3 tempat-Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, yang sedang berlangsung sekarang.

Semalam Polis secara tiba-tiba mengeluarkan arahan melarang jentera Pilihanraya di 3 tempat berkenaan untuk menyebut atau bercakap tentang isu Sultan Perak dan Kes Altantuya. Tidak cukup dengan itu, aktiviti kempen juga dihadkan sehinggan jam 11 malam.

Dalam masa yang sama, beribu Polis dihantar ke sana dan menyebabkan banyak tempat kekurangan anggota untuk berkerja membanteras jenayah.

Sepanjang 10 tahun ini tidak ada apa-apa kes yang besar berlaku sepanjang sesi kempen pilihanraya melainkan kes petugas Pas yang dipukul Pemuda Umno di Ijok pada tahun 2007. Itu pun tidak diambil tindakan oleh Polis.

Mereka telah dibelasah teruk oleh kumpulan Pemuda Umno berhampiran Balai Polis hingga masuk wad, tetapi hingga kini tiada tangkapan dan dakwaan dibuat.

Jadi apa gunanya pihak Polis mencampuri urusan Politik dan Pilihanraya. Apa sebenarnya keutamaan Polis.

Pihak Polis perlu membuka semula Fail Meja mereka dan membaca kembali senarai tugas mereka.  Jika mahu Polis dipandang tinggi oleh rakyat, mereka perlulah membuat senarai keutamaan tugas mereka dengan meletakkan pembanterasan jenayah sebagai tugas utama.

Pemudawilayah tidak menolak sumbangan Polis pada negara, tetapi mereka perlulah meletakan diri mereka ditempat yang betul untuk dilihat oleh rakyat, bukannya sibuk berkepit dengan orang Politik dengan harapan dapat naik pangkat atau dapat gelaran Dato' dan Tan Sri sahaja.

Jika mahu berpolitik, jadilah orang politik dan bertandinglah dalam Pilihanraya, jangan berselindung dibalik seragam yang mulia itu tetapi membiarkan diri dan organisasi dimanipulasikan oleh orang yang berkepentingan.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan



Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4148