Laluan makin sukar bagi MB Terengganu
Tarikh : Sunday, May 03 @ 16:42:57 MYT
Topik : Komentar


 Dato' Ahmad Said yang dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu selepas Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasanya di negeri ini sejak awal lagi telah membayangkan bahawa beliau mungkin tidak lama menduduki kerusi panas itu.

Beliau membayangkan begitu kerana perlantikannya penuh dengan kontroversi dan menerima tentangan yang sangat hebat daripada penyokong-penyokong Dato' Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu.

Walaupun beliau mendapat restu dari istana, tetapi majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BN tidak menyebelahi beliau, sehingga dilihat sangat sukar bagi beliau ketika hendak melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi membentuk kerajaan.

Setelah setahun berlalu, ternyata bahawa kebimbangan beliau itu ada asasnya. Para penyokong Idris rupanya tidak pernah berdiam diri dari merangka strategi untuk menjatuhkan Ahmad dari kedudukannya itu. Walaupun Idris sendiri membisu seribu bahasa sejak Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas lagi sehingga baru bersuara ketika timbul isu hangat baru-baru ini dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua baru-baru ini, tetapi rupa-rupanya secara diam-diam beliau merancang sesuatu bagi mencapai hasrat dan cita-citanya.

Begitu juga dengan orang kuat Idris, Dato' Rosol Wahid yang berperanan sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dalam DUN Terengganu. Kedudukannya sebagai Pengerusi BBC digunakan habis-habisan untuk mengikat semua anggota DUN dari BN bersama-sama beliau bagi menjatuhkan Menteri Besar.

Jika benar dakwaan Setiausaha BBC, Alias Abdullah yang juga ADUN Alur Limbat bahawa mereka mendapat sokongan dari 18 orang ADUN BN, maka kedudukan penyokong Idris sangat kukuh. Ini bermakna separuh (lima orang) dari Exco yang dilantik oleh Ahmad menyokong Idris.

Sekiranya berlaku usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dalam DUN, Ahmad boleh dijatuhkan dengan bilangan penyokong Idris itu. Kalaupun (katakan) semua ADUN PAS seramai lapan orang itu menyokong Ahmad, masih lagi tidak mampu dipertahankan.

Sebab itulah sebelum ini, sejak awal pemerintahannya, Ahmad mengambil pendekatan berlunak dengan PAS dengan harapan barangkali, ADUN PAS boleh menyelamatkannya dalam suasana ketika kemungkinan berlakunya undi tidak percaya itu. Lagi satu sebabnya ialah hampir semua ADUN BN tidak menyokongnya, maka beliau terpaksa beralih arah untuk berbaik-baik dengan ADUN PAS.

Misalnya, sebelum ini Ahmad sangat keras dan sentiasa tegang dengan Haji Mohd Abdul Wahid Endut (PAS - Wakaf Mempelam), tetapi sejak dilantik Menteri Besar ini, Abdul Wahidlah orang yang dilihat sangat rapat dengan beliau.

Sehingga kita lihat, Ahmad menjadi sasaran kemarahan penyokong BN apabila memberi kebenaran kepada PAS untuk menyewa kemudahan kerajaan bagi program PAS seperti yang berlaku di Kemaman dan Kuala Terengganu.

Kedudukan Ahmad dilihat lebih terancam apabila Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik mengetuai Perhubungan Umno Terengganu dalam penyusunan baru yang dibuat selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Walaupun Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, tetapi kedudukan itu hanya sekadar "ambil rasmi" sahaja kerana beliau adalah Menteri Besar.

Sudah tentu selepas ini, banyak tindakan beliau akan tersekat kerana beliau tidak bebas membuat apa-apa keputusan penting dalam pentadiran kerajaan negeri kerana terpaksa bergantung dan merujuk kepada Pengerusi Perhubungan. Ini berdasarkan konsep "parti menguasai kerajaan" yang diamalkan sekarang.

Maka sudah tentu orang akan melihat bahawa Ahmad adalah Menteri Besar yang tidak ada "power".

Dalam suasana gawat ini, mungkin beliau sudah diarah untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Persoalannya, siapa pula yang akan dilantik menggantikannya? Siapa di kalangan ADUN BN yang akan mendapat perkenan dari DYMM Sultan? Walaupun ada diura-urakan beberapa nama yang akan dicalonkan, tetapi kita tidak pasti setakat mana kemampuannya dan akan diluluskan oleh istana.

Apakah pula dalam suasana ini, langkah terbaik dan "selamat" bagi Ahmad ialah memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN? Mungkin bagi beliau, daripada aku seorang yang jatuh, biar sama-sama jatuh.

Kalau ini yang jadi pilihan Ahmad, maka Terengganu pasti mendahului Perak bagi diadakan pilihan raya negeri.

Sumber: http://ibnugharib.blogspot.com/


Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4342