AMK Selangor Membantah Peraturan Baru SPR
Tarikh : Tuesday, May 05 @ 12:54:52 MYT
Topik : Kenyataan Media


Oleh AMK Selangor

 Angkatan Muda Keadilan Selangor membantah peraturan baru oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) berkenaan parti politik bertanding supaya tidak membawa penyokong mengiringi calon bertanding pada hari penamaan calon melebihi 5,000 orang dan berkenaan mendirikan pondok panas pada hari pilihanraya.

AMK Selangor menegaskan peraturan baru tersebut tidak praktikal langsung untuk dilaksanakan. Mengenai had hanya 5,000 orang yang boleh mengiringi calon. AMK Selangor ingin penjelasan SPR apakah mekanisma dalam menentukan jumlah tersebut dapat dilaksanakan. Jelas terbukti ianya langsung tidak dapat dilaksanakan.

AMK Selangor merasakan rakyat perlu diberi kebebasan untuk bersama-sama menyertai proses demokrasi dan menyuburkan erti semangat pilihanraya yang sebenar.Rakyat perlu diberi hak menjayakan konsep pilihanraya bukannya dengan mengenakan sebarang peraturan yang kurang professional dan kontroversi.

AMK Selangor juga sekali lagi mendesak agar penggunaan dakwat pada jari dapat dilaksanakan secepat mungkin dan tanpa alasan. Penjelasan perlu dikemukakan apakah sebabnya sehingga kini perlaksanaanya tertangguh hanya beberapa hari sebelum PRU-12 lepas.

AMK Selangor menegaskan SPR perlu lebih professional,bebas dan melaksanakan pembaharuan yang sejajar dengan prinsip menyuburkan semangat dan erti demokrasi yang sebenarnya di negara ini. SPR juga perlu lebih proaktif dengan mengadakan sessi dialog dan forum bersama parti-parti di negara ini sebelum melaksanakan sesuatu peraturan baru yang akhirnya mengundang sensasi dan kontroversi.

AMK Selangor yakin kewibawaan SPR akan terus diyakini rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa jika tindakannya selepas ini menunjukkan sikap yang lebih berwibawa,professional dan membawa pembaharuan yang positif kepada sistem demokrasi di negara ini.

Akhirnya, AMK Selangor bertegas sudah tiba masanya SPR bersama-sama dengan denyut nadi arus perubahan dan menunjukkan kewibawaannya bertaraf antarabangsa sebelum tiba badan ini hanya dilihat sebagai agensi pelaksana pilihanraya yang bertindak atas kepentingan pihak tertentu sahaja.

Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor



Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau : [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
This article comes from Tranungkite Online V8
http://www.tranungkite.net/v8
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4373