
SHAH ALAM - Penat akibat sering dilarang untuk berucap semasa berada di sesebuah majlis, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memperkenalkan satu jalan penyelesaian.
Menurutnya, beliau akan membuat kelas debat, pengucapan awam dan pemikiran secara kritis percuma.
"Hanya kumpulkan dalam 20 orang dan saya akan datang mengajar walau di mana sekalipun.
"Menjadi seorang tenaga pengajar sudah ada dalam darah saya, dulu, kini dan selamanya," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Dalam kenyataannya, Syed Saddiq mendakwa beliau sekali lagi dihalang untuk memberikan ucapan dalam satu majlis di sebuah universiti sedangkan tiada unsur politik dan ucapan itu hanya berkaitan topik debat.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agar Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar melakukan sesuatu mengenai perkara ini.
"Kepada DS Idris Jusoh, tolong lakukan sesuatu, saya percaya untuk kita terus #SoaringUpward, kita mesti bebaskan universiti daripada kuasa yang menekan kebebasan akademik.
"Kepada YB KJ, jika YB benar-benar memperjuangkan hak anak muda untuk bersuara, lakukan sesuatu. Kekangan sebegini menguatkan kepercayaan bahawa saya berada di pihak yang benar," katanya lagi.